Proses pengajaran-pembelajaran
yang dilalui oleh pelajar tidak saja pencapaian kognitif atau akliah yang
diutamakan, tetapi aspek penghayatan juga penting. Pendidikan itu sendiri tidak
sekadar suatu proses pemindahan ilmu, maklumat dan kemahiran tetapi juga
perubahan diri manusia. Ia menyentuh langsung isu binaan watak dan peribadi
pelajar.
Natijah akhir proses pendidikan
tidak sekadar ukuran cemerlang dalam peperiksaan tetapi setakat mana pelajar
memiliki kualiti sikap yang baik, disiplin berfikir yang matang, kemampuan
menganalisis yang meyakinkan dan mempunyai peribadi contoh yang menjadi sumber
ikutan dan teladan orang lain.
Ia bergantung kepada proses
pengajaran dan pembelajaran yang terjadi. Dalam tradisi Islam ada lima
pendekatan bagaimana proses pengajaran-pembelajaran berlaku secara seimbang.
Zaman yang membawa tamadun Islam ke puncak tradisi hafazan berkembang, asas
kefahaman (tafahum) terjadi, kemahiran berfikir berlaku, proses internalisasi
(penyerapan) mengambil tempat dan proses manifestasi (menterjemahkan pemikiran
kepada amal) menjadi kenyataan.
Tradisi hafazan bermula di
Madinah, apabila halaqah (usrah) dan suffah terjadi di sekitar Masjid Nabawi.
Hafazan tidak saja merangsang upaya pengingatan tetapi yang dihafaz itu ialah
al-Quran. Al-Quran adalah sumber petunjuk kepada manusia. Latihan menghafaz
adalah penting kerana ingatan boleh membawa keinsafan mengenai peringatan
Allah. Ia menjadi tradisi dalam kalangan umat Islam sehingga kini.
Dalam kalangan huffaz yang lahir
sepanjang zaman al-Quran tidak saja dibaca secara harfiah tetapi diterjemah dan
ditekuni tafsirnya. Ia membawa kepada perkembangan ilmu dan asas ketamaduan.
Lahir kitab tafsir tersohor seperti dari Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Syed Qutb,
Mohd Yusof Ali, Muhammad Assad dan banyak lagi.
Faham tekstual, kontekstual
Menghafaz fakta dan data juga
adalah disiplin yang baik terutama formula sains dan teknologi dan ia membantu
proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Tetapi hafazan saja tidak
memadai. Al-Quran tidak sekadar untuk dihafaz tetapi juga untuk difahami.
Memahami al-Quran tidak saja dengan terjemah dan tafsir. Sumber ilmu ini
memerlukan kefahaman secara tekstual dan juga kontekstual supaya manusia mampu
menghubungkan faktor yang nyata dan tampak (empirikal) dengan faktor ghaib dan
tidak nampak iaitu Pencipta.
Kefahaman tradisi konvensional
tidak mengambil kira faktor agama atau wahyu dalam memberi faham terhadap
faktor sains. Dalam al-Quran banyak ayat mengenai sains dan menjadi pedoman
pentafsir menghubungkan al-Quran dengannya. Air, dalam tradisi konvensional
secara mekanistiknya terhubung dan faktor oksigen dan hidrogen. Al-Quran
menyediakan jawapan air itu sumber kehidupan. Gunung dalam geografi tidak lebih
sebagai longgokan batu-batan dan banjaran panjang. Al-Quran menyediakan jawapan
ia adalah awtad atau pasak bumi. Ia menjadi asas keseimbangan kepada kehadiran
bumi.
Kemahiran berfikir
Perspektif ini penting difahami
kerana akhirnya manusia akan mencari makna sesuatu. Maknalah yang memberi
manusia fahaman sebenar mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan
manusia dengan alam. Kalau ditanya apa makna kemajuan. Akan ada pendapat mengatakan
bahawa kemajuan itu diukur dari segi kemajuan ekonomi dan teknologi dan
kesejahteraan sosial.
Dalam tradisi Islam fokus
kemajuan terletak pada diri manusia itu sendiri (rijal). Jika manusia terbangun
dengan ilmu dan etika yang baik pengurusan ekonomi, teknologi dan kesejahteraan
sosial akan berlaku dengan baik. Bermulanya keluarga yang baik adalah daripada
individu yang baik. Terbinanya masyarakat yang baik adalah daripada keluarga
yang baik. Pembinaan negara atau umat yang baik adalah daripada masyarakat yang
baik. Inilah maksud al-Quran terhadap kehidupan dan pengurusan kehidupan itu
sendiri.
Kefahaman dalam tradisi Islam
harus diikuti dengan upaya artikulasi atau berfikir. Tanpa pemikiran penjanaan
ilmu tidak akan terjadi. Perkara berfikir ini sangat-sangat diutamakan dalam
al-Quran dan tradisi Islam. Dengan memiliki kemahiran berfikir umpamanya kita
boleh menjadi kreatif, kritikal, reflektif, futuristik, strategik, lateral dan
sebagainya.
Perkara utama dalam proses
pengajaran dan pembelajaran ialah isu internalisasi iaitu proses penyerapan apa
yang difikir dan hubungannya dengan faktor dalaman diri manusia ialah hati.
Pembangunan akal-budi adalah sesuatu yang amat utama supaya berlaku sinergi
antara faktor akliah dan faktor wahyu supaya wujud keinsafan yang seimbang yang
sifatnya duniawi dan ukhrawi.
Kefahaman dan pemikiran seimbang
bakal menentukan corak berfikir, cara tindakan dan amalan yang sentiasa
menghubungkan Allah SWT sebagai rujukan puncak dan menginsafi manusia tidak
lebih sebagai khalifah menguruskan manusia dengan amanah, jujur dan adil.
Penulis ialah Profesor
Pendidikan UIAM
Sumber : http : //www.bharian.com,my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan