Jumaat, 23 Ogos 2013

ISU BAHASA ; Bahasa jiwa bangsa


Oleh NURUL ANUAR KARI

AGAK menyedihkan pada ketika  negara menghampiri ulang  tahun kemerdekaan ke-56, masih ada suara-suara sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik sudah didedahkan.

Tidak terkecuali usaha memperkecilkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan Perlembagaan negara apabila tulisan dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa Inggeris diutamakan dalam semua aspek harian termasuk nama jalan, nama bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan banyak lagi.

Tentu sekali semua skrip drama ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit khususnya apabila mereka melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa Melayu yang lemah selepas dihimpit keganasan dan penindasan.

Namun, darjat dan keagungan silam orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke zaman kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia Tenggara satu masa dahulu.

Jika hanya orang Melayu, bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang bertutur bahasa Melayu sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh dunia dan semakin bertambah setiap hari.

Selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta kelompok kecil di beberapa negara lain.

Pada zaman kegemilangan kerajaan Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh ceruk rantau termasuk di China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke tamadun di Barat.

Sungguhpun dunia kini mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis, Mandarin dan Sepanyol yang digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna bahasa-bahasa lain sudah tiada nilainya.

Lihat sahaja semangat orang Jepun yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan diutamakan dalam semua urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang 'mewajibkan' bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kebanggaan bangsa Jepun terhadap bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia menerima bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan Jepun diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan kawasan tumpuan umum di negara-negara besar.

Sejajar Dasar Pandang ke Timur, cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat bahasa Melayu bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan sepenuhnya.

Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa Indonesia, di samping golongan penulis, ahli akademik universiti dan pencinta bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia.

Pada masa sama, tamadun, budaya, kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih mudah diselami masyarakat antarabangsa.

Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi penghargaan sewajarnya.

Lebih malang, taraf bahasa Melayu diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh pihak tertentu khususnya dalam media dan dunia perfileman Barat.

Tafsiran salah itu diburukkan lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan mempermainkan bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.

Walaupun bilangan golongan menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan ramai pelajar asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan universiti di negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan tulisan rumi memudahkan orang luar yang sudah mahir dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa Melayu mudah dikembangkan ke seluruh dunia.

Untuk bergerak ke hadapan dalam membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa kebangsaan negara ke peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua tanpa diselit agenda peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama di negara ini.

Usaha mengangkat bahasa Melayu ini juga mungkin menjadi antara pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti dan jati diri golongan muda di negara ini daripada terus menyalin budaya luar khususnya yang melanggar norma dan batasan agama.

Bahasa merupakan antara ciri kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat sesebuah negara. Sempena bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan kebanggaan kepada ciri-ciri unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara bangsa yang berjaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen