Jumaat, 23 Ogos 2013

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Pemantauan mestilah berterusan


Oleh : M. JASNI MAJED

KEMALANGAN bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Hinglands - Kuala Lumpur kelmarin yang mengorbankan 37 nyawa dan mencederakan 16 penumpang sekali lagi membuka mata pelbagai pihak tentang keselamatan bas yang bertanggungjawab membawa banyak jiwa ke sesuatu destinasi.

Tragedi ini mengingatkan kita kepada tragedi-tragedi lain yang membabitkan bas terutamanya kemalangan di kawasan Bukit Gantang pada tahun 2007 yang mengorbankan 20 jiwa.

Pada 26 Disember 2009, 10 maut dalam kemalangan membabitkan syarikat bas Sani Ekspres di Perak. Sementara, pada 10 Oktober 2010, 12 maut dan 40 cedera dalam kemalangan yang membabitkan syarikat bas Ekspres Delima dengan beberapa buah kenderaan lain di Rembau Negeri Sembilan.

Sudah banyak pihak yang menyuarakan pelbagai pendapat tentang pengangkutan awam di negara kita apatah lagi dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu-lintas tetapi dari satu sudut lain, risiko kemalangan turut menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa sudah berusaha sedaya- upaya membendung kemalangan jalan raya membabitkan bas kerana bas satu-satunya pengangkutan awam darat yang popular, jimat dan mudah.

Oleh itu, kita dapat lihat betapa setiap kali musim perayaan, pemantauan ke atas kenderaan awam ini dibuat dengan teliti sebelum sesebuah bas itu bertolak dari sesuatu destinasi. Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] ditempatkan di terminal bas untuk memastikan bas yang bakal membawa penumpang dalam keadaan selesa dan selamat.

Apabila terjadinya kes seperti yang berlaku kelmarin, tuding-menuding antara pelbagai pihak tentu akan berlaku sekali lagi. Ada penumpang terselamat mendakwa bahawa keadaan bas tidak selesa, buruk, dan dipandu dengan laju.

Apa yang perlu disedari, tanggungjawab seorang pemandu pengangkutan awam bukanlah ringan. Banyak jiwa yang menjadi tanggungannya. Jika seorang pemandu dan sebuah syarikat yang mengendalikan sesuatu pengangkutan awam itu menyedari hakikat tersebut, pelbagai insiden yang tidak diingini boleh dielakkan.

Di samping itu, sesebuah syarikat pengangkutan mestilah memastikan sesebuah bas yang dipertanggungjawabkan membawa sejumlah penumpang itu itu berada dalam keadaan selamat dan meyakinkan. Ciri- ciri keselamatan mestilah diutamakan tanpa memikirkan keuntungan yang lebih sehingga membahayakan nyawa penumpang.

Kualiti pemandu juga mestilah dipentingkan sebagai syarat kedua. Kualiti ini berdasarkan kepada rekod pemandu sama ada mempunyai lesen yang sah atau tidak, mempunyai rekod kesalahan lalu-lintas dengan JPJ atau sebagainya.

Oleh itu, tugas syarikat pengangkutan itu merupakan syarat utama sebelum sesebuah bas itu dibenarkan berlepas untuk membawa penumpang ke sesuatu destinasi.

Tanggungjawab seterusnya adalah terletak di tangan pemandu. Pemandu yang mempunyai tanggungjawab tidak akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan secara sambil lewa tetapi disanggupinya dengan penuh amanah, jujur dan beretika ketika di jalan raya.

Sebelum melakukan perjalanan, mereka juga mesti memastikan bas yang diserahkan kepada mereka untuk membawa penumpang adalah bas yang menepati ciri-ciri keselamatan. Pemandu yang tidak mementingkan diri sendiri akan menjadi lebih bertanggungjawab kepada penumpang yang menjadi sandaran keselamatan mereka.

Pemandu juga mestilah bertanya kepada diri mereka sendiri, adakah mereka benar- benar layak membawa sejumlah besar penumpang ke sesuatu destinasi, ke mana penumpang itu hendak dibawa, berapa jauhnya, berapa jumlah penumpangnya, bagaimana pula tahap kesihatan dan persediaan fizikal dan mental mereka sebelum memulakan perjalanan.

'Dalam pada itu, pemandu bas juga mestilah menghormati penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Apa yang dapat dilihat, oleh sebab hendak mengejar 'trip', ada sesetengah pemandu bas yang melanggar arahan lampu isyarat, memandu laju, malah kerana hendak cepat, ada yang sanggup membunyikan hon kepada pengguna jalan raya lain di depan mereka, walaupun di lampu isyarat berwarna merah.

Apa-apa pun, pemantauan secara berterusan oleh pihak berkuasa sangat penting dan bukan hanya dilakukan secara bermusim. Pihak berkuasa mestilah ditempatkan di setiap terminal bas tidak kira sama ada bas berhenti-henti atau bas ekspres kerana dengan cara ini risiko kemalangan dapat dikurangkan.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen