NEGARA menyaksikan satu lagi
tragedi nahas yang juga terburuk dalam sejarah kemalangan jalan raya apabila 37
orang daripada 53 orang penumpang termasuk pemandu maut dalam kejadian di Kilometer
3.5, Jalan Genting Highlands.
Walaupun nahas ini adalah
kehendak takdir namun jika kita telah melaksanakan usaha yang sewajarnya,
kemungkinan besar nahas seperti ini dapat dielak atau paling tidakpun jumlah
kemalangan maut seperti ini dapat dikurangkan.
Hal ini kerana ini bukanlah
kejadian yang pertama seumpama ini di negara kita. Malah di kawasan yang
berdekatan sendiri telah meragut sejumlah nyawa yang besar sebelum ini.
Misalnya 17 penumpang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terhumban dalam
gaung di Kilometer 1.5 Jalan Genting-Kuala Lumpur pada Julai 1996.
Pada September 2003 pula seorang
maut apabila bas persiaran hilang kawalan sebelum terbabas ke gaung di
Kilometer 19 Jalan Genting-Kuala Lumpur.
Tiga orang maut apabila bas
terbalik ketika menuruni selekoh tajam di Kilometer 13, Jalan Genting-Batang
Kali pada November 2006. Tujuh orang lagi maut apabila sebuah bas pelancongan
terbabas dan terbalik di KM38 Genting Sempah pada Oktober 2010 dan dua
pelancong terbunuh apabila bas terbalik di bahu jalan di KM4.5 Jalan
Genting-Kuala Lumpur pada Mac 2012.
Ini adalah sebahagian daripada
insiden yang berlaku di kawasan yang berhampiran dan belum lagi mengambil kira
statistik kemalangan besar seperti ini terutamanya yang melibatkan bas di
seluruh negara seperti yang pernah berlaku di Bukit Gantang, Perak sebelum ini.
Kebiasaannya kita akan menubuhkan
jawatankuasa siasatan termasuklah untuk tragedi ini seperti yang telah
diumumkan.
Hampir setiap hasil dapatan dan
siasatan jawatankuasa yang ditubuhkan boleh dikatakan lebih kurang sama iaitu
adanya pelbagai unsur kecuaian.
Ini sama ada daripada pihak
pengusaha bas terutamanya melibatkan keadaan keselamatan bas seperti brek
ataupun kecuaian dan kelemahan pemandu bas itu sendiri di samping faktor lain
seperti keadaan permukaan jalan, faktor cuaca dan sudah semestinya faktor
takdir.
Malah dalam kes terbaharu ini
juga dilaporkan bahawa mengikut cerita mangsa yang terselamat dikatakan bas
gagal dikawal kerana dipandu laju. Itu belum lagi soal sama ada berlaku
kecuaian di segi muatan penumpang yang berlebihan.
Persoalannya ialah apa berlaku
dengan segala syor dan cadangan pembetulan dan pencegahan yang telah
dikemukakan oleh semua jawatankuasa siasatan yang telah ditubuhkan untuk setiap
insiden sebelum ini? Berapa banyak hasil siasatan yang telah didedahkan kepada
umum?
Sejauh mana pula pihak yang
berkaitan memandang serius dan mengambil berat serta mengambil tindakan ke atas
syor dan cadangan yang telah dikemukakan agar perkara yang sama tidak terus
berlaku dan berulang.
Kita percaya andai semua cadangan
dan syor ini telah diambil tindakan yang sewajarnya sekurang-kurangnya kita
dapat mengurangkan ataupun dapat mengelak kejadian seperti ini daripada terus
berlaku.
Justeru kita berharap agar
janganlah berhenti setakat pembentukan jawatankuasa siasatan serta penyediaan
laporan semata-mata sebaliknya apa yang penting ialah tindakan pembetulan dan
pencegahan perlu diambil berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar
yang menyiasat sesuatu kejadian terbabit. Jika tidak kejadian seperti itu akan
terus berlaku.
Semoga semua pihak mengambil
iktibar daripada kejadian ini dan segera betulkan keadaan agar dapat mengelak
mahupun mengurangkan kejadian seperti ini. Jangan menyalahkan takdir
semata-mata tanpa sebarang usaha dan inisiatif yang sewajarnya daripada semua
pihak.
Takziah kepada semua keluarga
mangsa yang terlibat.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan