UNIVERSITI-universiti di Malaysia ditubuhkan pada awalnya adalah untuk
menyediakan sumber manusia yang dapat memenuhi keperluan negara khususnya dalam
bidang Sains dan Teknologi.
Hari ini, dengan hampir semua universiti sebahagian besarnya didominasikan
oleh para pensyarah tempatan hasil usaha gigih melalui pelbagai dasar yang ada
untuk membuktikan kemampuan sebenar kita. Namun terdapat banyak pandangan dan
desakan agar kita membuka pintu seluas-luasnya untuk kemasukan tenaga pengajar
luar dan memberi tempat kepada para pelajar antarabangsa, terutamanya dalam
mengejar kedudukan dalam penarafan dunia.
Malah para pensyarah dan penyelidik universiti juga perlu menghasilkan
penyelidikan dan penerbitan yang diiktiraf oleh pihak yang membuat penarafan
dalam kaca mata kepentingan dan keperluan mereka malah menjadi rujukan oleh
rakan-rakan akademia dunia untuk meningkatkan mata dalam penarafan.
Sekarang ini pula, terdapat pihak-pihak tertentu dalam kalangan mereka yang
berada di dunia Barat pun mula melihat betapa kebanyakan penghasilan karya
akademik dalam kerangka pemikiran dan keperluan rakyat tempatan di banyak
negara tidak mendapat tempat dan diambil kira dalam usaha penarafan dan ini
merugikan kepada masyarakat dan negara berkenaan.
Namun, kita perlu sedar bahawa, keutamaan universiti masih lagi kepada
keperluan untuk menyediakan anak-anak muda kita menguasai ilmu pengetahuan dan
mengisi peluang pekerjaan malah menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran
mereka dalam melakukan perubahan dan transformasi dalam menghadapi
cabaran-cabaran baharu masa kini dan masa hadapan.
Mereka yang melihat dirinya hanya datang untuk mendapat segulung ijazah dan
kemudiannya dengan mudah diterima dalam sektor pekerjaan tentunya sudah tidak
relevan dan tidak realistik.
Hakikatnya dengan bilangan besar yang mula menjejak kaki masuk kampus sekarang
ini memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk bersaing dan menjadi
antara yang terbaik. Lihat sahaja persaingan kemasukan ke universiti yang amat
sengit dengan keputusan pelajar sehinggakan PNGK yang 4.0 belum tentu mendapat
tempat jika tidak disertai dengan kesesuaian diri dalam konteks memenuhi
keperluan-keperluan lain yang ditetapkan mengikut keperluan pengajian dalam
ijazah tertentu.
Mereka yang datang ke kampus dengan mimpi mencapai bulan, hidup dalam
angan- angan dan membuang masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, akhirnya
akan meninggalkan kampus dengan tangan kosong tatkala orang lain menggunakan
universiti sebagai landasan untuk membina pembangunan sahsiah yang tinggi, daya
kepimpinan dan bakat dalam diri dalam pelbagai bidang, mencapai kecemerlangan
akademik dan gigih dalam dalam menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.
Masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya bukan sebagai ulat buku
dan bijak dalam akademiknya sahaja, tetapi bersikap bijaksana dalam melihat keperluan
masa hadapan.
Cabaran besar juga menanti mereka yang berada di universiti dengan
menghadapi pelbagai perubahan yang ada. Pertama ialah pembelajaran kendiri yang
tidak lagi bergantung kepada semata-mata kuliah dan pensyarah. Pensyarah hanya
menjadi fasilitator manakala usaha mencari dan menerokai ilmu perlu dilakukan
sepenuhnya oleh pelajar.
Kedua kaedah dan suasana pembelajaran yang jauh berbeza. Anak-anak muda
yang memasuki kampus berhadapan dengan kepentingan untuk membuat keputusan,
memilih dan melakukan yang terbaik untuk dirinya. Mereka perlu lebih
berdisiplin dan menghargai kebebasan yang ada.
Mereka kini yang menentukan apa yang ingin dibuat dan jalan mana yang harus
dipilih, apatah lagi apabila ibu bapa dan keluarga tidak lagi mempunyai peluang
sepenuhnya untuk menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak,
menyediakan keperluan harian dan sebagainya. Anak-anak muda inilah perlu bijak
memilih kawan dan sebagainya.
Ketiga, mereka berhadapan dengan pelbagai isme dan pengaruh. Banyak pihak
yang melihat anak-anak muda sebagai kumpulan yang ideal dalam pemikiran dan
tindakan akan berusaha mempengaruhi sama ada di bilik kuliah dalam kalangan
para pensyarahnya atau pun dalam kalangan pelbagai kumpulan yang cuba menarik
dan memanfaatkan untuk kelompok atau kumpulan masing-masing.
Ini termasuklah dalam bentuk keagamaan, politik mahu pun isme tertentu yang
kadang-kadang menjerat mereka hingga sanggup meninggalkan ibu bapa dan keluarga
termasuk juga meninggalkan pengajian kerana terlalu terpengaruh dan yakin
dengan apa yang ditanam dalam fikiran dan perasaan anak-anak muda ini.
Keempat, cabaran untuk membangunkan idealisme dalam kerangka pemikiran dan
usaha yang realistik dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan. Universiti
menyediakan segala kemudahan dalam menguasai pelbagai bahasa, meneroka dunia di
mana sahaja, aktiviti kesukarelaan yang dapat membangunkan jati diri dan
sahsiah yang tinggi, kegiatan berpersatuan yang mengasah bakat kepimpinan
hinggalah kepada aktiviti penyelidikan bersama para pensyarah berpengalaman
dalam menerokai ilmu sejauh-jauhnya, membangunkan kreativiti, imaginasi dan
inovasi.
Semuanya adalah penting dalam membina dan membangunkan masa hadapan
seseorang mahasiswa sebagai memenuhi kerangka tanggungjawab dan peranan universiti
yang bersifat terbuka dan autonomi diri.
Hakikatnya anak-anak muda yang memasuki universiti perlu bijak berfikir
dari sekarang untuk melihat jauh ke hadapan, membuat keputusan untuk
menggunakan ilmunya untuk terus bergantung kepada orang lain atau membangunkan
semangat keusahawanan dan memanfaatkan ilmunya untuk berdikari dan mencipta
sesuatu yang baharu.
Mereka perlu terus bermain dengan imaginasi, kreativiti, inovasi dan
kekuatan diri untuk terus mengharumkan nama sendiri, berakhlak dan berkeperibadian
tinggi, menjaga maruah ibu bapa dan keluarga, melihat kepada kepentingan bangsa
dan negara malah memaknakan kewujudan universiti sebagai institusi ilmu dan
penyelidikan.
Tiga, empat atau lima tahun dari sekarang mereka bukan lagi akan bermain di
tanah tumpah darahnya ini sahaja, malah menjadi warga dunia yang dapat memberi
khidmat bakti, mencari pengalaman dan mendewasakan diri dengan pengalaman
baharu dengan nilai-nilai universiti tanpa melupakan dari mana dia bermula dan
jati diri yang ada. Kerana itu, mereka perlu siapkan diri dari sekarang kerana
hari esok bermula pada saat ini. Ibu bapa dan keluarga perlu terus memantau,
memahami dan menyokong untuk anak-anak mencapai cita-cita mereka.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat
Naib CanselorUniversiti Sains Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan