Rabu, 4 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Mampukah Komsas melahirkan penulis pelapis?


Oleh  : M JASNI MAJED

MATA pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah diselitkan dengan bahan-bahan sastera iaitu Komsas sejak tahun 2000 dan masih bertahan sampai sekarang. Adalah diharapkan Komsas akan bertahan dalam jangka masa yang panjang memandangkan banyak manfaat yang diperoleh oleh pelajar apabila mempelajari hasil-hasil sastera di sekolah.

Apa yang jelas, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semakin terpinggir. Sudah tidak ramai murid yang mengambil subjek ini atas pelbagai sebab. Malah, di sesetengah sekolah, jika ada pelajar yang mahu mengambil peperiksaan dalam subjek ini, mereka terpaksa belajar sendiri kerana subjek ini tidak termasuk dalam jadual belajar di dalam kelas.

Pemantapan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar turut menjadi sasaran Komsas sejak mula diperkenalkan lagi kepada pelajar. Hasrat ini dianggap penting untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik sastera tetapi lebih jauh daripada itu, pelbagai nilai murni yang terkandung dalam sastera dapat diselami dan dinikmati oleh pelajar.

Tidak dapat dinafikan bahawa di  samping tujuan-tujuan tersurat pendedahan Komsas kepada pelajar, kita tidak boleh menolak matlamat tersiratnya. Salah satunya adalah bertujuan melahirkan penulis pelapis selepas mereka 'kaya' dengan pendedahan hasil-hasil kesusasteraan di sekolah. Pendedahan Komsas yang terdiri daripada pelbagai genre telah menjadikan pelajar mengenali pelbagai jenis hasil kesusasteraan seperti sajak, pantun, cerpen, novel dan sebagainya.

Meskipun ramai yang menulis berdasarkan bakat semula jadi, tetapi dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, seseorang itu mengetahui dengan lebih mendalam tentang kesusasteraan.

Tidak kurang juga yang boleh menulis selepas sering membaca tulisan-tulisan daripada penulis lain di mana-mana media massa. Tidak dinafikan bahawa ramai yang berjaya dalam bidang penulisan bukan disebabkan mereka belajar di mana-mana tetapi atas bakat sendiri dan ditambah dengan kegigihan berkarya.

Bagaimanapun, dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, ia dianggap sebagai satu asas yang kukuh bagi seseorang pelajar untuk menjadi seorang penulis, jika kebetulan pelajar itu berbakat dan berminat.

Persoalannya, mampukah komsas menjadi batu asas ke arah melahirkan penulis di tanah air? Persoalan ini sering menjadi polemik kerana rata-rata menganggap bahawa sistem pendidikan di negara kita yang lebih mengutamakan lulus peperiksaan menjadikan matlamat mempelajari kesusasteraan itu terbelenggu dalam kepompong yang sama, iaitu belajar sekadar untuk memperoleh sijil dan menjamin untuk mendapat pekerjaan.

Malah, apabila Komsas itu disenaraikan berada dalam subjek Bahasa Melayu, bermakna hasil-hasil kesusasteraan itu juga turut menjadi buruan pelajar mempelajarinya kerana ia menjadi wajib dan tidak boleh ditolak. Ramai yang membeli buku ulasan dan kajian sastera kerana mahu memahami dengan lebih lanjut kandungan teks atau genre yang dipelajari.

Dari satu sudut, sebenarnya kebanyakan pelajar kurang bersedia dengan hasil-hasil kesusasteraan. Budaya berfikir secara kritis kurang kedapatan dalam jiwa kebanyakan pelajar kerana kebanyakan mereka bergantung seratus-peratus kepada buku-buku ulasan dan kajian.

Tentu ramai yang akan bertanya, ikhlaskah pelajar mempelajari kesusasteraan di sekolah? Ini dapat dilihat menerusi kurangnya kelangsungan sikap untuk mendekati karya-karya sastera. Bahan-bahan bacaan sastera berlambak di pasaran tetapi siapakah yang membeli dan membacanya.

Bolehkah pelajar-pelajar yang mempelajari Komsas ini menjadi penulis pelapis? Atau, mereka sekadar belajar, mengambil tahu sedikit sebanyak tentang pelbagai genre penulisan kemudian melupakannya begitu sahaja?

Dalam soal ini, guru-guru mempunyai tugas tertentu demi menjadikan komsas sebagai satu asas pembentukan penulis tanah air.

Pertama, mereka mestilah menjadikan Komsas sebagai satu bahan kajian yang bersifat menyeluruh, bukan hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja.

Kedua, mereka mestilah mengesan bakat pelajar di dalam kelas terutamanya yang mempunyai kebolehan dalam menghasilkan karya kreatif.

Ketiga, mereka mestilah membantu pelajar yang berbakat ini agar menjadi penulis.

Keempat, mereka mestilah memandu arah untuk memudahkan pelajar yang berbakat dan berminat untuk menghasilkan karya kemudian menyalurkan karya tersebut ke mana-mana penerbitan.

Kelima, mengadakan bengkel penulisan di sekolah menerusi Persatuan Bahasa Melayu supaya pelajar yang berminat dapat mengasah bakat mereka dalam bidang penulisan.

Keenam, menjemput penulis-penulis yang berjaya ke sekolah untuk memberi tunjuk ajar dan semangat kepada pelajar yang mempunyai minat dalam bidang penulisan.

Ramai percaya bahawa dengan adanya inisiatif pelbagai pihak, Komsas akan berjaya melahirkan penulis yang berwibawa suatu masa nanti.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan