Jumaat, 16 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : Memahami peranan dan tanggungjawab guru


Oleh : M. JASNI MAJED

SETIAP kali sambutan Hari Guru diadakan penulis teringat akan sebuah pantun yang berbunyi:

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Secara tersiratnya, pantun ini memperlihatkan betapa pentingnya guru dalam memberi tunjuk ajar kepada pelajar manakala di pihak pelajar pula, mereka mesti belajar dengan bersungguh-sungguh kerana jika belajar alang kepalang, ilmu yang dicurahkan oleh guru tidak dapat diterima sepenuhnya.

Tugas guru akan menjadi lebih mudah jika para pelajar memberi tumpuan ketika kelas berlangsung. Ini menunjukkan bahawa usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di sesebuah sekolah itu bukan hanya terletak kepada guru semata-mata tetapi tugas ini juga dipikul oleh para pelajar.

Di samping guru terpaksa berdepan dengan pelajar yang celik ilmu dan pelbagai teknologi maklumat, guru-guru juga terpaksa menghadapi kerenah para pelajar yang mampu menjejaskan imej sesebuah sekolah.

Masalah disiplin dalam kalangan pelajar adalah salah satu daripada masalah yang membelenggu institusi pendidikan negara. Isu ini bukanlah isu baharu kerana dari semasa ke semasa, pelbagai kejadian berlaku membabitkan institusi pendidikan terutamanya di sekolah.

Jika pada zaman dahulu, ketika pelajar sangat menghormati dan takut akan guru, jawatan atau khidmat kaunselor tidak diperlukan di sekolah tetapi sekarang kaunselor sudah diwujudkan semata-mata untuk menangani pelbagai masalah pelajar. Salah satu tugas kaunselor adalah untuk merungkai permasalahan pelajar berkaitan disiplin.

Tugas guru yang murni mesti difahami oleh pelbagai pihak apatah lagi ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa mesti memberi kerjasama kepada pihak guru dan sekolah untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka dan yang paling penting mereka mesti menyedari bahawa sekolah merupakan satu tempat untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka.

Ibu bapa mesti mengambil bahagian dalam setiap perjumpaan yang membabitkan mereka di sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG] merupakan satu wadah untuk memahami dengan lebih jauh pencapaian anak-anak mereka di sekolah, masalah anak-anak mereka di sekolah dan sebagainya.

Masyarakat sekeliling mesti memainkan peranan dengan cara memahami peranan dan tanggungjawab guru. Masyarakat sekeliling mesti membantu meringankan bebanan guru di sekolah dengan menjadi mata dan telinga terhadap salah laku pelajar sekolah di luar sekolah.

Sikap membiarkan salah laku atau bersekongkol dengan sebarang tindakan negatif pelajar di luar sekolah akan menjejaskan institusi pendidikan.

Ada pelajar sekolah yang terbabit dengan gangsterisme, pergaduhan, mat rempit, melepak dan sebagainya. Masyarakat yang peka akan masalah ini tidak akan membiarkan gejala ini berterusan, sebaliknya cuba membendung demi masa depan anak-anak bangsa.

Gejala-gejala negatif yang membabitkan pelajar sekolah memperlihatkan bahawa ada dalam kalangan pelajar sudah tidak menghormati guru dan ilmu yang diberikan kepada mereka. Malah, tujuan dan matlamat mereka memasuki sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan sudah terpesong jauh dari landasannya.

Sumbangan besar guru dalam mendidik setiap insan mesti dibalas dengan rasa hormat dan mengenang jasa-jasa guru yang telah memberi didikan semasa di sekolah. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan berbentuk wang ringgit , harta atau hadiah tetapi ingatan tulus ikhlas dan ucapan Selamat Hari Guru sudah memadai sebagai tanda ingatan sepanjang zaman.

Maka, kesempatan pada sambutan hari guru ini, eloklah kita mengenang jasa mereka, mendoakan kesejahteraan mereka atau menziarah mereka yang sudah bersara.

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam sajaknya antara lain menyebut bahawa dengan gurulah lahir pemimpin, sasterawan terkenal, dan pelbagai jenis pekerjaan lain yang mengangkat kemajuan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan