Kemalangan kenderaan awam khasnya
bas ekspres mendapat liputan besar dalam media massa negara kita. Ini kerana impak daripada kemalangan yang
berlaku sudah tentu melibatkan masyarakat awam dalam bilangan yang ramai sama
ada kematian atau kecederaan.
Baru-baru ini kita digemparkan
lagi dengan kemalangan bas ekspres di kilometer 116, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur
di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berdekatan Plaza Tol Temerloh. Sebanyak 16 orang penumpang cedera termasuk
tiga orang yang parah setelah bas terbabas, terbalik ke dalam longkang. Bas
berkenaan membawa 27 orang penumpang. Seminggu sebelumnya, juga sebuah bas
ekspres terlibat dalam kemalangan di kilometer 11, Jalan Bentong - Raub. Kemalangan ini mengorbankan tiga nyawa
termasuk sepasang suami isteri.
Apabila kemalangan maut berlaku
apatah lagi melibatkan kenderaan awam dan nyawa orang ramai, maka tindakan
pencegahan drastik biasanya akan diambil oleh pihak-pihak berwajib berdasarkan
pelbagai bentuk punca kemalangan.
Sebagai contoh apabila dalam siasatan kes kemalangan mendapati pemandu
bas mengambil dadah, maka tindakan pencegahan untuk menjalankan ujian air
kencing di kalangan pemandu terus dibuat di perhentian bas. Ia dibuat secara komprehensif pada
waktu-waktu puncak siang dan malam berdasarkan waktu perjalanan bas.
Apapun, biasanya tindakan positif
ini tidak berpanjangan. Apabila isu
kemalangan ini agak reda di kalangan masyarakat, maka tindakan pencegahan
drastik seumpama ini akan menjadi lemah longlai semula. Tunggulah pula pada musim perayaan atau
berlaku kemalangan baharu. Jadi
masyarakat sentiasa tertanya-tanya motif tindakan pencegahan drastik ini
dilakukan. Adakah ia hanya melepas batuk
di tangga atau meredakan kegusaran masyarakat terhadap punca dan sebab
kemalangan yang baru berlaku?
Tindakan pencegahan secara
drastik yang dilakukan oleh pihak berkenaan adalah bersifat reaktif. Ia biasanya tindakan sebagai jawapan kepada
punca kemalangan yang berlaku. Apabila
pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan didapati mengambil dadah, maka aspek
pencegahan itu yang dititikberatkan sedangkan aspek dan punca kemalangan lain
tidak diberi perhatian yang sama komprehensifnya dan drastiknya.
Tindakan reaktif memberi erti
tindakan balas yang diambil kepada masalah yang berlaku. Dalam tindakan seumpama ini, memang tidak
dinafikan wujud unsur positif tetapi keberkesanannya akan wujud ruang-ruang
terbolos. Mengikut laporan akhbar,
saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu pada hari pertama ujian
dilakukan mendapati semua pemandu didapati negatif. Alhamdulillah tetapi adakah itu memberi
gambaran dan hakikat sebenar yang berlaku.
Kemungkinan mereka yang diperiksa
mengambil kesempatan untuk mengelak saringan berkenaan dengan menukar shif
kerja, atau pun tidak mengambil dadah dalam tempoh tertentu dan pelbagai alasan
lain yang dapat dibuat. Di samping itu,
saringan juga akan mengambil masa pemandu yang mempunyai rekod bersih.
Tindakan reaktif akan mengambil
sikap tunggu, lihat dan apabila sesuatu musibah berlaku barulah tindakan
berkaitan termasuk pencegahan diambil.
Ia sedikit sebanyak memberi kelopongan dalam usaha mengatasi musibah
termasuk kemalangan daripada berlaku. Apa yang boleh dicadangkan ialah sebagai
contoh jika pemeriksaan saringan dadah perlu dilakukan maka ia perlu dilakukan
secara berkala dan berterusan termasuk kaedah secara rambang di kalangan pemandu
dan juga masa yang berbeza-beza.
Saringan ini bukan sahaja tertumpu kepada pemandu bas bahkan setiap
mereka yang menggunakan kenderaan termasuk pemandu lori dan kenderaan
berat. Ini akan memberi satu pengawasan
yang berterusan daripada pihak berwajib.
Dalam Islam pun ada menganjurkan
bahawa kerja buat yang berterusan walaupun sedikit adalah mulia dan memberi
kesan yang baik kepada hasil kerja dan matlamat yang ingin dicapai. Seperti dalam hadis riwayat Saidatina Aisyah
r.a. yang berkata, maksudnya, “Ditanya Nabi SAW tentang amalan-amalan yang
disukai oleh Allah SWT. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun
sedikit”. (Hadis riwayat Bukhari)
Saringan dadah dan pengawasan
berbentuk lain dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan secara berterusan
termasuk dalam kategori inisiatif yang bersifat proaktif. Risiko-risiko kemalangan yang boleh berlaku
di kalangan pengguna jalanraya khasnya pemandu bas dan kenderaan berat yang
boleh membahayakan keselamatan orang ramai perlu kepada plan proaktif. Secara asasnya proaktif membawa maksud
melihat kehadapan dalam sesuatu perkara dan jangkaan perkara-perkara yang akan
berlaku.
Melalui inisiatif yang proaktif
dan dibantu dengan plan reaktif, kemalangan boleh dielakkan atau dikurangkan
risikonya jika sistem dan peraturan yang sedia ada dapat diikuti, dibuat
penambahbaikan, dilakukan kajian tentang keberkesanannya.
Sistem dan peraturan sedia ada
untuk mengelakkan kemalangan perlu didedahkan kepada masyarakat dan pihak-pihak
penguatkuasa bukan sahaja di peringkat pengurusan bahkan kepada pegawai yang
turun ke lapangan. Ini menjadikan pihak-pihak berkepentingan dapat merujuk
sistem yang terbaik sebagai panduan. Pihak pelaksana dan penguatkuasa akhirnya
dapat memantau dan melaksanakan perjalanan sistem dan kepatuhan yang baik tanpa
ada sebarang kompromi yang boleh membahayakan nyawa manusia.
Kod amalan keselamatan, kesihatan
dan persekitaran untuk sektor pengangkutan seperti yang telah dihasilkan dengan
kerjasama beberapa kementerian berkepentingan termasuk Kementerian Pengangkutan
perlu dicernakan ke dalam tindakan penguatkuasaan sebagai langkah pelaksanaan
plan proaktif yang boleh memberi impak positif dalam mengekang kejadian
kemalangan pada masa hadapan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan