Rabu, 22 Jun 2016

ISU SOSIAL : RAMADAN DAN KUASA ILMU


Oleh : PROF. MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD

RAMADAN telah pun memasuki fasa kedua. Sudah pasti masyarakat Muslim akan lebih melipatgandakan usaha bagi meningkatkan amalan masing-masing. Perbanyakkan ibadat agar untung dapat dikaut dan rugi dapat dielak.

Umat Islam dianjurkan mela­kukan banyak kebaikan dalam bulan mulia ini. Satu daripadanya ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran. Lebih penting ialah cuba memahami, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat yang dibaca.

Dalam konteks ini, bolehlah dikatakan bahawa satu daripada hikmah Ramadan ialah menggalak­kan umat Islam sentiasa memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan. Sejajar hasrat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 adalah amat wajar bagi umat Islam terutamanya ibu bapa memastikan usaha mencintai dan mendalami ilmu disubur-kan di jiwa anak-anak dalam bulan ini.

Usaha menuntut ilmu seharusnya dijadikan budaya. Tidak sepatutnya terhenti apabila kita telah menamatkan pengajian di mana-mana peringkat. Setiap hari kita digalakkan menuntut ilmu supaya diri kita hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam dan hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Keadaan semasa menunjukkan masyarakat Malaysia amnya dan Muslim khususnya masih kurang tabiat belajar dan menambah ilmu. Ini dapat dilihat apabila jumlah buku yang dibaca oleh masyarakat dalam setahun masih lagi mendukacitakan.

Satu kajian mendedahkan sekitar 2000 hingga 2005, purata jumlah buku yang dibaca oleh masyarakat hanya dua hingga tiga judul setahun. Kajian terbaru sekitar 2006-2010 pula mendapati sekitar enam hingga tujuh buku dibaca dalam setahun. Walaupun menyaksikan peningkatan, namun masih rendah berbanding dengan masyarakat negara-negara maju.

Keadaan ini berpunca daripada pelbagai sebab. Salah satunya ialah trend dan tujuan membaca itu sendiri. Berdasarkan pemerhatian penulis, masyarakat tidak cenderung untuk menambahkan ilmu apabila tamat dalam sesuatu peringkat pengajian.

Orang yang tamat belajar di sekolah, tiada usaha untuk belajar sendiri selepas itu. Orang yang tamat belajar peringkat ijazah pertama menamatkan pendidikan hanya setakat di universiti. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai sarjana atau doktor falsafah. Destinasi pembelajaran hanya tamat di universiti. Tabiat belajar sendiri masih kurang dalam kalangan masyarakat kita.

Jika ini berlaku, ilmu yang diperoleh tidak akan berkembang dan diri sendiri akan jauh ketinggalan berbanding orang lain. Sebagai contoh, seorang graduan peringkat ijazah pertama biasa-nya berumur 22 tahun. Jika usaha menuntut ilmu berakhir apabila tamat pengajian di pe­ringkat universiti tanpa ada usaha untuk belajar sendiri selepas itu, maka dibimbangkan tahap pengetahuan yang dimiliki hanyalah pada usia 22 tahun.

Di sini menunjukkan betapa pentingnya masyarakat mempunyai tabiat belajar sendiri yang tinggi. Ini bagi memastikan pada setiap masa kita akan mempunyai ilmu baru. Jika kita tidak berusaha menuntut ilmu baru, kita akan ketinggalan. Apabila diri sendiri ketinggalan, masyarakat juga akan turut ketinggalan dan ini akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan pembangunan dan kemajuan negara.

Bagi orang yang kurang berada, menuntut ilmu adalah cara untuk membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan. Demi kelangsungan hidup, ilmu membolehkan kita mendapat pekerjaan lebih baik, yang pasti­nya menjanjikan kualiti kehidupan yang juga lebih baik.

Namun, masyarakat harus memikirkan lebih daripada itu. Azam dan semangat menuntut ilmu sepatutnya bersandarkan kepada cita-cita bagi melengkapkan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan yang luas. Oleh sebab itu, usaha menuntut ilmu tidak hanya berhenti apabila kita menggenggam segulung ijazah.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, ada pelajar universiti yang berumur lebih 60 tahun. Keadaan tersebut tidak janggal di sana tetapi di negara kita amat janggal jika ada mahasiswa berumur sedemikian di universiti awam mahupun swasta. Jika adapun pasti beliau akan diperli, buat apa lagi mahu susah payah belajar? Mungkin ada pula yang berkata, umur sudah sampai masa untuk pencen, berehat sahajalah di rumah. Ini sewajarnya diubah.

Sempena bulan mulia ini, penulis menyeru seluruh masyarakat agar memastikan bahawa selepas meninggalkan sekolah atau universiti, teruskanlah membaca bagi menambah ilmu. Usah ditunggu ada keperluan kerja atau untuk kenaikan pangkat dan gaji, barulah paksa diri untuk belajar. Yakinlah bahawa dengan menambah ilmu penge-tahuan, barulah kita boleh menjadi pe­mimpin yang cemerlang, mempunyai kuasa rujukan, kuasa pakar dan kuasa kedudukan.

Ingatlah bahawa kuasa yang paling dihormati ialah kuasa ilmu pengetahuan. Orang yang boleh memanfaatkan pengetahuan akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

PROF. MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Shafinaz (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/ (21 JUN 2016)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan