KHAMIS lalu, penulis
berkesempatan menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan
Darulaman Heights (SKDH), Jitra, Kedah. Majlis itu dirasmikan oleh Ahli
Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum yang juga Timbalan
Menteri Pertahanan. Semasa menyampaikan ucapannya, beliau banyak menekankan
kepentingan ilmu untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan generasi muda
yang adalah pemimpin pelapis masa hadapan. Selain peranan guru untuk mendidik
generasi muda, peranan ibu bapa juga cukup penting dalam membimbing generasi
muda ke jalan yang benar. Dengan kata lain, pendidikan untuk anak-anak perlu
bermula dari rumah.
Malangnya, kita lihat masih ramai
ibu bapa yang tidak ambil peduli akan kepentingan ilmu dalam mendidik
anak-anak. Kepentingan ilmu ini bukan bermaksud setakat memperoleh
kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga membentuk akhlak mulia dalam
kalangan generasi muda. Sikap tidak ambil peduli sebahagian ibu bapa
menyebabkan anak-anak muda terjebak dengan pelbagai masalah sosial, misalnya
merempit, penagihan dadah dan gengsterisme.
Ambil contoh paling mudah masalah
merempit yang sampai sekarang tidak dapat ditangani dengan baik. Ada dalam
kalangan ibu bapa sendiri yang membuka peluang kepada anak-anak mereka dengan
memberi kebenaran menunggang motosikal tanpa lesen. Walhal, anak-anak muda ini
masih perlu dipantau agar tidak memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain.
Itu belum termasuk dalam hal penagihan dadah yang banyak melibatkan golongan
lelaki muda.
Mengikut statistik terbaharu
Jabatan Perangkaan, bilangan lelaki di Malaysia lebih ramai berbanding
perempuan tetapi rata-rata pelajar lelaki amat kurang kelihatan di menara
gading berbanding perempuan. Umum mengetahui di manakah sebenarnya mereka ini
berada akibat daripada pelbagai masalah sosial yang saban hari semakin parah.
Sehingga sekarang masih belum ada jalan penyelesaian secara menyeluruh untuk
menangani isu ini. Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan
terutamanya ibu bapa yang tidak boleh sesekali melepaskan tanggungjawab mereka
kepada guru.
Anak-anak kecil perlu diberikan
ilmu secukupnya, selain mendidik mereka menghayati ilmu yang disampaikan agar
berakhlak mulia. Sesuatu yang malang sekali apabila ibu bapa hanya
mengharapkan guru untuk mendidik anak-anak mereka agar berakhlak mulia. Hal ini
berlaku kerana mereka terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga
terlupa menjalankan tanggungjawab dalam memberi ilmu yang mencukupi kepada anak
masing-masing.
Selain itu, ilmu juga boleh
diperoleh di mana-mana sahaja termasuklah bersahabat dengan golongan ilmuwan
yang tidak hanya berada di sekolah mahupun di menara gading. Alhamdulillah,
sepanjang penulis menjadi pensyarah, penulis berpeluang berjumpa dengan ramai
ilmuwan yang berada di luar menara gading. Mereka ini berjihad membasmi
kemiskinan ilmu dengan cara sendiri. Kesempatan berbincang dengan ilmuwan di
luar menara gading telah membangkitkan kesedaran kepada penulis betapa banyak
lagi ilmu yang perlu dicari. Dengan kata lain, tiada siapa boleh mendabik dada
dengan penuh bangga bahawa dirinya sahaja cukup hebat dengan ilmu yang ada
walhal ramai lagi ilmuwan yang merendah diri tetapi banyak jasanya kepada umat
Islam itu sendiri.
Mereka ini bukanlah golongan yang
asyik mengkritik orang lain, kononnya orang lain sahaja yang tidak betul dan
diri mereka sahaja yang mahir dalam semua bidang. Kita boleh lihat bagaimana
media sosial digunakan oleh segelintir golongan untuk menonjolkan diri
masing-masing sehingga menyebabkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat
boleh terjejas dengan ketara. Ada antara mereka yang sanggup menghabiskan masa
dengan berhujah berjela-jela agar pandangan mereka didengari.
Cara sebegini amat berbeza sama
sekali berbanding ilmuwan-ilmuwan yang penulis temui sepanjang menjalankan
penyelidikan perakaunan Islam bersama-sama dengan rakan penyelidik lain. Mereka
ini bukan setakat merendah diri tetapi juga menghormati pandangan orang lain
meskipun diketahui ilmu mereka ini cukup tinggi berbanding orang lain. Jauh
sekali mengkritik semberono tanpa asas yang kukuh sehingga menonjolkan sifat
riak seolah-olah hanya diri sendiri sahaja yang cukup berilmu berbanding orang
lain.
Sebab itulah ilmu yang diperoleh
oleh mereka dihayati dengan begitu tawaduk dan hasilnya diterjemahkan melalui
akhlak mulia yang memberi manfaat besar kepada orang lain. Mereka ini amat menghayati
betapa ilmu itu datangnya daripada Allah SWT. Lantaran itu, penghayatan mereka
ke atas ilmu yang diperoleh membolehkan ramai anak-anak murid yang dilahirkan
dengan akhlak yang mulia yang mana anak-anak murid mereka ini berkeupayaan
meneruskan kesinambungan kecemerlangan warisan ilmu yang ditinggalkan oleh
mereka.
Apa yang berlaku kini, masyarakat
terus dibuai dengan pelbagai penyakit sosial yang berteraskan hiburan dan wang
semata-mata sehinggakan membelakangkan akhlak mulia berasaskan penghayatan
ilmu. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai ancaman terbaru disebarkan oleh
musuh-musuh Islam seperti fahaman liberalisme dan pluralisme.
Ditambah dengan perbalahan antara
umat Islam terutamanya melibatkan pemimpin-pemimpin Islam memudahkan lagi kerja
musuh-musuh Islam melemahkan umat Islam itu sendiri. Adakah kita sedar hakikat
ini? Atau buat-buat tidak sedar kerana terus-menerus mementingkan diri sendiri
melebihi kemaslahatan umat Islam? Sebab itulah dalam hal ini, mahu tidak mahu,
umat Islam itu sendiri perlu segera bangkit membasmi kemiskinan ilmu agar dapat
diterjemahkan dalam bentuk akhlak yang mulia bagi membangunkan umat yang kuat
dan disegani di mana-mana sahaja mereka berada.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz
(TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan