Sabtu, 23 Mei 2009

RAHSIA JADI AYAH BERKESAN

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:


Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.


Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.


Anak yang tidak berbapa:
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.


Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:

Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)


Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan :

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:


i) Bapa yang komited dan bertanggungjawab

Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang


ii) Kenali anak anda

Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka.


iii) Istiqamah (tetap pendirian)

Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.


iv) Melindungi, menyara dan mendoakan

Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.


v) Mencintai ibu mereka

Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.


vi) Menjadi pendengar yang baik

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.


vii) Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian

Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.


Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Sumber :http://www.petua.org/


NOVEL SETEGUH KARANG : TEKNIK PLOT


Teknik Plot ialah cara plot dibina untuk mewujudkan cerita yang menarik dan tidak membosankan. Antara teknik plot yang digunakan dalam novel Seteguh Karang ialah teknik imbas kembali, imbas muka, dialog, monolog dalaman, saspens, kejutan, dan pemerian.

i) Imbas kembali (Watak + teringat .....)

-Awanis teringat akan peristiwa ketika dia berusia tujuh tahun iaitu Maysarah menyuruhnya mengaku bahawa dia yang memecahkan pasu kesayangan mama sedangkan Maysarah yang melakukannya.
-Awanis teringat akan kecantikan Maysarah dan kecerdasannya dalam pelajaran.
-Awanis teringat akan bantuan Maysarah yang melukiskan peta Semenanjung Malaysia semasa dia masih bersekolah.
-Awanis teringatkan waktu dia mendaftar di ITM Perlis seminggu selepas kematian ibu bapanya

ii) Imbas muka (Watak + menggambarkan/ membayangkan .....)
-Awanis cuba menggambarkan penerimaan suami Kak Nor apabila kembali ke rumah dan mendapati Awanis menumpang di rumahnya.
-Awanis cuba menggambarkan perawakan Encik Johari iaitu penyelianya sebelum masuk ke pejabatnya.

iii) Dialog (Watak 1 + berbual-bual/ bertengkar + dengan watak 2 tentang .....)
-Awanis berbual-bual dengan Budi tentang usaha Budi mencari rezeki di Malaysia.
-Awanis bertengkar dengan Encik Lee tentang sikapnya yang enggan menerima kehadiran Anita di rumahnya.

iv) Monolog dalaman (Watak + mencemuh/ berkata-kata + dalam hatinya tentang .....)
-Awanis mencemuh di dalam hatinya tentang sikap ego Encik Johari yang memandang rendah dan tidak memahami dirinya.
-Awanis berkata-kata sendirian di dalam hatinya tentang kematian Budi yang amat menyedihkannya.

v) Saspens (Pembaca tertanya-tanya sama ada .....)
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Awanis mampu menunggang motosikal buruk yang tidak mempunyai brek.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Encik Lee akan menerima semula Anita yang dianggapnya membawa sial.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada hubungan Awanis dengan Wan Asri akan berterusan selepas Awanis meninggalkan menamatkan latihan praktikalnya di Terengganu.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Maysarah akan selamat atau sebaliknya selepas dimasukkan ke hospital.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Budi akan selamat selepas dipatuk ular.

vi) Kejutan (Pembaca tidak menyangka bahawa .....)
-Pembaca tidak menyangka bahawa Encik Johari sebenarnya tidak suka menerima kehadiran pelatih perempuan.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Budi akan dipatuk ular dan akhirnya meninggal dunia.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Anita sanggup melarikan diri dari rumah.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Maysarah sanggup menelan pil tidur secara berlebihan dan terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan di hospital.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Awanis berani masuk ke ladang seorang diri dan bertemu dengan buruh-buruh Indonesia.

vii) Pemerian (Pengarang menggambarkan keadaan/ sikap .....)
-Pengarang menggambarkan keadaan tempat tinggal buruh Indonesia semasa Awanis masuk ke ladang kelapa sawit.
-Pengarang menggambarkan sikap Kak May yang menjadi pemurung selepas kematian ibu bapanya.
-Pengarang menggambarkan kemajuan pesat daerah Kerteh semasa Awanis dan Wan Asri melalui kawasan itu ketika bersiar-siar pada hujung minggu.
-Pengarang menggambarkan kesibukan dan kepelbagaian barang jualan di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semasa Awanis dan Wan Asri bersiar-siar pada hujung minggu.

Sumber:http://saujanamata.blogspot.com/

MENGHITUNG DIRI

Memerhati gerak laku insan
dalam kekalutan mengejar hambatan masa

tika ini,
insan bisa alpa
akan tuntutan ubudiah terhadap khaliknya

pun,
lalai akan tuntutan
muamalat
sesama insan
yang dambakan pertolongan


atau,
ghaflah akan tanggungjawab
sebagai khilafah fil-Ard

justeru,
kita insan kerdil wajar insaf
apakah masih ada nilai
seorang hamba di sisi Yang Esa?

Jumaat, 22 Mei 2009

Budaya membaca penentu kejayaan Kota Buku


PERTENGAHAN April lalu, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi tumpuan lebih sejuta peminat buku apabila berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Walaupun jumlah pengunjung tahun ini dikatakan sedikit merosot berbanding kira-kira 2 juta pada tahun sebelumnya, namun berdasarkan tinjauan rambang rata-rata penulis, pengedar, peniaga serta penganjur berpuas hati dengan pembabitan mereka kali ini.

Pengunjung bukan saja datang dari sekitar Lembah Klang dan negeri yang berjiran dengannya, malah ramai juga yang datang dari jauh, semata-mata ingin mendapatkan pelbagai buku dan bahan bacaan. Perkembangan itu memberi petanda baik terhadap industri buku negara yang sekian lama menunjukkan perkembangan yang agak perlahan.

Ia juga membuktikan kesedaran membaca di kalangan masyarakat kita kini menunjukkan peningkatan. Jika dulu kajian terhadap minat membaca di kalangan rakyat Malaysia mendapati rakyat kita hanya membaca satu setengah halaman setahun, tetapi kini minat itu telah meningkat dengan agak ketara.

Namun, kita masih ketinggalan jauh berbanding dengan minat membaca yang sudah menjadi budaya dalam kehidupan di kalangan masyarakat di kebanyakan negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha serta kempen untuk meningkatkan kesedaran terhadap minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini, terutama di kalangan generasi muda.

Selain menambah bahan bacaan di perpustakaan sekolah dan institusi pengajian tinggi, kerajaan juga mewujudkan perpustakaan desa di peringkat daerah dan kampung untuk memudahkan rakyat mendapatkan bahan bacaan.

Di peringkat sekolah juga Kementerian Pelajaran melaksanakan Program Nilam untuk menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan selain daripada tumpuan kepada buku teks. Namun kejayaannya masih kurang memberangsangkan dan tidak menyeluruh. Penggunaan perpustakaan juga masih kurang sambutan dan semua itu menyebabkan perkembangan industri buku menjadi suram.

Kita tidak boleh menyalahkan golongan pelajar seratus peratus kerana sistem pendidikan kita sejak di peringkat sekolah rendah lagi begitu menekankan peperiksaan menyebabkan mereka membaca semata-mata sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Punca mereka bersikap sedemikian adalah kerana syarat serta kelayakan memasuki ke universiti yang menjadi matlamat setiap pelajar, memerlukan mereka cemerlang dalam peperiksaan. Jika gagal dalam akademik, bermakna pintu ke institusi pengajian tinggi akan tertutup rapat, walaupun mereka mempunyai kemahiran lain.

Langkah kerajaan untuk mewujudkan Kota Buku di Kuala Lumpur, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, membuktikan kerajaan tidak pernah jemu melakukan pelbagai usaha ke arah mewujudkan masyarakat minat membaca.

Kita percaya usaha itu akan mendapat sokongan padu daripada penerbit, penulis dan pengedar buku. Bagaimanapun ia tidak harus dilihat dari sudut keuntungan yang dapat direbut oleh golongan berkenaan semata-mata, kerana usaha itu akan hanya berjaya dan menjadi kenyataan jika kesedaran rakyat terhadap minat membaca berkembang dan berubah kepada lebih baik.

Rakyat adalah sasaran utama kepada sebarang usaha kerajaan untuk menggalakkan mana-mana pihak menerbit, menulis atau mengedar buku mereka kerana rakyatlah yang akan menentukan sama ada buku yang ditulis, diterbit dan diedar itu laris di pasaran.

Jika usaha kerajaan itu tidak mendapat sambutan di kalangan rakyatnya sendiri, kita tidak yakin apakah hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku akan dapat dicapai.

Penubuhan Kota Buku mengingatkan kita kepada Perkampungan Buku yang diwujudkan kerajaan di Pulau Langkawi. Sejauh manakah sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap projek itu dan apakah ia berjaya meningkatkan minat membaca sehingga menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kita?

Jika usaha itu menjadi kenyataan kelak, kita tidak mahu melihat Kuala Lumpur sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku hanya akan mendapat sambutan dan tumpuan yang lebih baik di kalangan pelancong asing. Keadaan itu bukan mustahil memandangkan minat membaca di kalangan rakyat asing lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia sendiri.

Tidak lama lagi, Bulan Membaca akan kembali lagi. Matlamat Bulan Membaca yang jatuh pada setiap bulan Julai juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan kesedaran serta minat membaca di kalangan rakyat.

Kita harap, tahun ini Bulan Membaca akan mendapat sambutan lebih menggalakkan dan pihak penganjur harus menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk menarik rakyat pelbagai peringkat umur mengambil bahagian.

Jadikanlah Bulan Membaca tahun ini sebagai usaha untuk melonjak minat membaca, sekali gus menjadi langkah untuk menyokong usaha kerajaan menubuhkan Kota Buku yang dijangka menjadi kenyataan akhir tahun ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 13)

RUMAH SIAP PAHAT BERBUNYI


Peribahasa ini bermaksud perbuatan membuat bantahan, mengkritik, atau mencela (bersungut) tentang sesuatu yang sudah siap dikerjakan.

Pahat seperti yang kita ketahui adalah salah satu alat untuk bertukang yang diperbuat daripada besi dan berbentuk bilah yang tajam hujungnya. Pahat digunakan untuk menebuk lubang, mengukir kayu dan lain-lain.

Peribahasa ini mungkin diciptakan oleh orang tua-tua dahulu menerusi pengalaman sebenar untuk menggambarkan sesuatu pekerjaan yang telah dilakukan secara bersama-sama atau bergotong royong. Sewaktu menyiapkan pekerjaan tersebut, tidak ada sesiapa yang memberikan gambaran atau pandangan menyalahkan kerja-kerja yang berkenaan. Masing-masing kelihatan bersetuju. Walau bagaimanapun, apabila pekerjaan tersebut telah siap, ada sahajalah pihak yang membantah, mengkritik, malah mencela hasil kerja yang telah dibuat.

Dalam kehidupan masyarakat dewasa ini, gambaran sebagaimana yang diungkapkan dalam peribahasa ini sering berlaku. Sebagai contoh, dalam menentukan kepimpinan sesebuah organisasi, biasanya pemilihan dibuat secara demokrasi iaitu setiap ahli berhak untuk memilih pemimpin yang dipercayai. Sesiapa yang mendapat undi terbanyak, akan menerajui kepimpinan organisasi berkenaan. Sepatutnya, setiap ahli perlu akur dengan keputusan pemilihan dan memberikan sepenuh kepercayaan terhadap pemimpin yang dilantik. Namun begitu, kerap juga berlaku, apabila mesyuarat selesai dijalankan, ada sahaja mereka dalam kalangan yang hadir menyuarakan rasa tidak berpuas hati atas pemilihan yang dibuat.

Situasi dalam peribahasa ini juga dapat dikaitkan dengan keputusan yang telah diambil selepas sesuatu usul atau cadangan dikemukakan dan dibahaskan secara panjang lebar. Setelah usul diterima sebulat suara, kebiasaannya akan ada antara mereka yang hadir menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan tersebut.

Dalam pertandingan merebut sesuatu kejuaraan, biasa juga berlaku bantahan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan jurulatih, peserta, penyokong, mahupun penonton terhadap keputusan yang diambil oleh pihak juri atau jawatankuasa hakim yang dilantik, terutama bagi peserta yang tewas. Biasanya akan timbul pelbagai ulasan yang mempertikaikan keputusan hakim apabila keputusan tersebut tidak memihak kepada mereka. Keadaan seumpama ini amat tepat bagi menggambarkan maksud peribahasa di atas.

Sikap suka mempertikaikan keputusan yang telah diambil secara bersama-sama ini merupakan sikap buruk, keji, dan tidak bermaruah. Sikap ini wajar dihindari kerana bukan sahaja boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat malah bertentangan dengan adat dan tatasusila bangsa Melayu.

Khamis, 21 Mei 2009

PUNCA BERLAKUNYA KEKURANGAN KESEDARAN SIVIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT DAN LANGKAH MENGATASINYA


Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Apabila berada di dalam pengangkutan awam seperti bas, monorel mahupun kereta api, masih banyak lelaki yang sasa dan bergaya, tidak sanggup untuk memberi tempat duduk kepada wanita tua atau ibu mengandung yang tidak berdaya. Di perhentian-perhentian bas pula, sampah-sarap yang mengotorkan dan menyakitkan mata memandang juga bukan perkara asing di mana-mana tempat di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Pada pendapat saya, kita harus meneliti dan mendalami permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.

Pepatah ada mengatakan bahawa anak-anak adalah ibarat kain putih; ibu bapalah yang yang akan mencorakkan kehidupan dan peribadi mereka yang sebenarnya. Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi yang positif dalam diri anak-anak mereka. Malahan, rumah adalah ibarat syurga kepada setiap anak yang lahir ke dunia ini. Dari rumah, mereka mengenal erti kasih sayang, perasaan saling memahami serta saling menghormati. Namun, hakikat yang amat pahit untuk diterima adalah terdapat banyak daripada kalangan masyarakat kita kini yang menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah insan-insan lain dalam institusi rumah tangga itu, iaitu anak-anak. Tanpa disedari oleh ibu bapa, mereka telah memusnahkan keceriaan rumah tangga dan alam remaja anak-anak mereka menyebabkan anak-anak turut berendam air mata. Menyaksikan ibu bapa ‘seperti anjing dengan kucing’, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mewujudkan luka jiwa yang amat dalam kepada anak-anak. Maka, akan terdapat antara mereka yang melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng atau melakarkan ‘graffiti’ di tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Malahan, terdapat juga dalam kalangan mereka yang bertindak seperti ‘marahkan pijat, kelambu dibakar’ iaitu melepaskan kemarahan dan dendam mereka kepada orang lain seperti guru-guru dan rakan-rakan dengan menunjukkan sikap biadab dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Segala perlakuan ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari menjadi bukti rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Malahan, kajian polis mendapati bahawa lapan puluh peratus daripada remaja yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah merupakan mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah. Justeru tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut. Seterusnya, perkara tersebut akan mempengaruhi perlakuan mereka.

Semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara. Berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang masih mengetahui Rukun Negara dan menghayatinya? Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya, perasaan ‘Negara KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Justeru tidak ada perasaan bersalah apabila seseorang itu merosakkan bunga di taman-taman rekreasi. Tidak ada juga perasaan dan keinginan dalam hati mereka untuk mencantikkan setiap kawasan di negara ini. Justeru, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku dan engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.

Ketidakmampuan sistem pendidikan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak kepada para pelajar turut menyebabkan kesedaran sivik masih belum membanggakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Selain rumah, sekolah merupakan institusi murni yang berperanan membentuk sahsiah dan peribadi seseorang individu. Di sekolah yang terdapat pelajar daripada pelbagai bangsa dan agama, maka integrasi kaum berlaku. Melaluinya, para pelajar mempelajari adat dan budaya kaum lain. Mereka juga belajar menerima, memahami dan menghormati satu sama lain walaupun mereka dari latar belakang bangsa dan kaum yang berbeza. Namun, kenapakah kita masih menyaksikan pelajar-pelajar yang tidak menghormati satu sama lain? Mengapakah nilai-nilai murni seperti mematuhi undang-undang dan peraturan serta hormat-menghormati masih kurang dipraktikkan oleh para pelajar seluruh negara? Dalam hal ini, kita tidak menafikan kepentingan sekolah kepada kehidupan seseorang individu.Namun, keberkesanan fungsinya sebagai tempat untuk mencerna peribadi murni dalam kalangan para pelajar masih boleh dipertikaikan. Tambahan pula pada masa kini, keunggulan serta kecemerlangan sesebuah sekolah diukur dari segi pencapaian akademiknya. Jika tinggi peratus kelulusan para pelajar, maka dikatakan bahawa sekolah itu ialah sebuah sekolah yang baik. Hambatan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik inilah yang menyebabkan guru-guru bertungkus-lumus melatih anak-anak didik mereka agar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Waktu pengajaran dan pembelajaran juga adalah untuk mencapai matlamat yang sama ini. Natijahnya, tugas untuk mendidik sahsiah serta membentuk perkembangan emosi para pelajar semakin dikesampingkan. Malahan,terdapat sesetengah sekolah yang mengetepikan terus kegiatan kokurikulum untuk pelajar-pelajar kelas peperiksaan semata-mata untuk memberi penekanan kepada peperiksaan. Hal ini pernah diselar oleh Menteri Pelajaran yang berasa kesal terhadap tindakan sesetengah pengetua sekolah yang tidak memberi penekanan kepada bidang kokurikulum sehingga matlamat menghasilkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek tidak tercapai sepenuhnya. Jika di rumah anak-anak gagal terdidik, di sekolah juga mereka tidak menerima bimbingan yang sewajarnya, maka tidak hairanlah jika kita masih melihat ketempangan peribadi anak-anak muda kita yang masih rendah kesedaran siviknya.

Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Gagasan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamed ini telah menjana pembangunan yang amat pesat dalam pelbagai bidang di negara kita, terutama bidang telekomunikasi dan perindustrian. Sememangnya, idea tersebut merupakan impian murni setiap warganegara kerana pembangunan dan kemajuan akan menjanjikan peningkatan taraf hidup masyarakat kita. Namun,kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk segala yang dinikmati itu. Keghairahan mengejar kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saing mengenal dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang. Malahan lebih malang daripada itu, sikap mementingkan diri juga turut menimbulkan masalah lain. Sebagai contoh, apabila berlaku sesuatu kemalangan, terdapat individu yang terus memandu tanpa menghiraukan mangsa kemalangan yang memerlukan bantuan. Hal ini bermakna, di samping menghapuskan kesedaran sivik, sikap individualistik ini yang diakibatkan oleh pembangunan ini juga telah turut membunuh rasa kemanusiaan di kalangan sesetengah daripada kita.

Sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi dan alam siber, internet, media massa seperti televisyen dan sebagainya telah mendominasi kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat. Sasaran pembangunan ini juga tidak mengecualikan golongan kanak-kanak dan remaja. Kita tidak bimbang jika perkembangan tersebut adalah sesuatu yang positif. Malangnya, filem-filem yang ditayangkan di televisyen begitu dikuasai oleh filem-filem luar terutamanya filem-filem dari Barat. Bersama-sama filem tersebut ialah nilai-nilai kehidupan masyarakat Barat yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan kita masyarakat Timur. Kebanyakan rancangan dari Barat ini memaparkan anak-anak yang sudah tidak lagi menghormati ibu bapa mereka. Mereka kononnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan kehendak mereka. Malahan, pada kebanyakan siri filem atau drama Barat ini ditonjolkan bahawa keluarga terutama ibu bapa yang sudah tua, tidak lagi penting buat anak-anak mereka. Bahkan, bagi anak-anak yang sudah berkeluarga, ibu bapa adalah terpisah terus daripada kehidupan mereka. Jika kita perhatikan, paparan remaja Barat di sekolah juga amat berbeza daripada para pelajar dalam sistem pendidikan kita yang begitu menekankan nilai-nilai murni dan adab antara guru dan pelajar. Di Barat, pelajar boleh meletakkan kaki di atas meja semasa guru sedang mengajar. Perkara- perkara ini disertai maklumat-maklumat negatif dari internet secara perlahan-lahan telah mempengaruhi dan menghakis nilai dan kesopanan masyarakat kita. Justeru kita melihat kepincangan akhlak dan peribadi masyarakat kita semakin hari semakin ketara. Jadi, tidak hairanlah jika kesedaran sivik seperti sikap menghormati guru dan orang yang lebih tua juga semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin jelas, namun, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum ’nasi menjadi bubur’, sebelum ’yang bengkok terus menjadi patah’, langkah-langkah untuk mengembalikan nilai murni dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baru yang disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, nilai-nilai kesusasteraan pula kini diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, tema-tema yang berkenaan dengan nilai-nilai murni dan semangat cinta akan negara telah diterapkan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Malahan di negara-negara Jepun dan Korea ini, yang merupakan dua buah negara gergasi perindustrian ini, institusi pendidikan begitu dihormati oleh ibu bapa kerana mereka menyedari bahawa daripada sekolah, anak-anak mereka dididik dan diasuh untuk menjadi insan yang sempurna. Malahan, sistem pendidikan di kedua-dua buah negara ini amat menitikberatkan mata pelajaran kesusasteraan dan sejarah, dari peringkat rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Justeru dalam usaha untuk melahirkan semangat cinta akan negara serta menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri anak-anak remaja kita, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Dalam hal ini, guru-guru juga memerlukan orientasi baru agar turut memberi perhatian pada sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak didik mereka dan tidak hanya berusaha membimbing mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Selain usaha di atas, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wahana yang paling berkesan dalam membentuk sikap murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah, akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya , sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti kawat kaki dan latihan-latihan yang diadakan pula akan membentuk para pelajar yang mematuhi masa dan sentiasa berdisiplin. Aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka. Bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat telah meningkat.

“Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara” merupakan kata-kata yang melambangkan kepentingan generasi muda terhadap pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, kita mahu melahirkan golongan remaja yang berwibawa dan berketerampilan dalam pelbagai bidang agar mereka dapat menyumbang tenaga dan bakti kepada negara. Hal ini tidak akan tercapai jika remaja kita rendah kesedaran siviknya serta kurang jati dirinya. Justeru usaha kerajaan untuk mewajibkan remaja yang berusia lapan belas tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan golongan muda di negara kita ini. Latihan-latihan yang diikuti adalah bermatlamat untuk membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri remaja. Malahan, lebih daripada itu, program tiga bulan ini akan melarikan para remaja daripada pelbagai gejala negatif seperti melepak, merambu dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Latihan-latihan yang dijalankan juga akan memberi penekanan pada kepentingan kesedaran sivik, kepentingan mencintai negara,kepentingan pembentukan modal insan serta kepentingan untuk membina kemandirian dan jati diri agar sikap positif ini akan tumbuh subur dalam diri anak-anak remaja negara kita. Apabila para remaja ini mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri, bangsa dan negara, secara tidak langsung, mereka juga akan bertanggungjawab terhadap hak dan kepentingan orang lain. Hasilnya, diharapkan agar melalui program Khidmat Negara ini, negara akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih tinggi tahap kesedaran siviknya.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Kita mahu melahirkan masyarakat yang hidup seperti aur dengan tebing, saling menguatkan antara satu sama lain. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kukuh semangat kejiranannya serta sentiasa bersedia untuk bekerjasama demi kebaikan bersama. Dalam hal ini, saya berpendapat agar amalan bergotong-royong yang menjadi teras konsep bekerjasama dalam masyarakat kita perlu disuburkan kembali, terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Pada tahap awal, kita berharap agar para menteri dan Wakil Rakyat turut turun padang bersama-sama dengan rakyat dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan. Apabila budaya gotong-royong ini telah dapat diwujudkan, masyarakat akan dengan sendirinya mengatur program-program tersebut untuk kepentingan kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, amalan rumah terbuka serta ziarah-menziarahi pada musim-musim perayaan juga merupakan amalan positif yang akan meningkatkan kesedaran sivik dalam masyarakat kita. Melalui aktiviti ini, sesama jiran akan salin mengenali dan beramah mesra sesama mereka. Walau bagaimanapun, kita berharap agar kejadian berebut makanan yang berlaku dalam satu majlis terbuka anjuran seorang menteri beberapa tahun lalu akan dapat diatasi pada masa-masa akan datang. Kita mahu melihat bukan sahaja keharmonian hubungan pelbagai bangsa di negara kita tergambar melalui aktiviti tersebut, malahan juga kita mahu menampilkan adab yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita yang terkenal dengan budi bahasa dan kesantunannya. Apabila program-program ini dapat disebarluaskan di seluruh negara, sudah pasti tahap kesedaran sivik masyarakat kita juga akan dapat ditingkatkan.

“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Peribahasa tersebut membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Justeru jika kita ingin melihat kesedaran sivik subur dalam masyarakat, maka ibu bapa perlu memainkan peranan perdana dalam usaha ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar saling menghormati antara satu sama lain. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Oleh itu, amalan bergotong-royong sesama ahli keluarga perlu diterapkan dari peringkat rumah lagi. Bukan sahaja amalan ini akan memudahkan pelaksanaan sesuatu pekerjaan, malahan kemesraan keluarga juga akan dapat ditingkatkan. Kita sedia maklum bahawa pada peringkat usia muda, anak-anak sedang membina identiti mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa akan menjadi contoh teladan yang paling hampir untuk diikuti oleh anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan betul’. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. Ibu bapa juga perlu menegur kesilapan anak-anak agar mereka mengetahui garis panduan antara perkara yang betul dan perkara yang salah. Kebanyakan permasalahan yang berlaku dalan kalangan remaja masa kini adalah disebabkan ibu bapa begitu takut untuk memperbetul dan menegur perbuatan negatif anak-anak mereka. Jika ibu bapa dapat memainkan peranan mendidik anak-anak mereka sewajarnya, maka sudah pasti masalah remaja kekurangan kesedaran sivik ini tidak akan wujud di negara kita.

Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita, Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura ‘mendidik’ rakyatnya.Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun,Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tindakan hanya dikenakan kepada mereka yang didapati merosakkan telefon-telefon awam. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas? Golongan ini juga perlu dikenakan tindakansewajarnya. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka.

Kesimpulannya, walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan remaja kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita kecapi adalah selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Justeru menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi. ‘Negara Kita Adalah Tanggungjawab Kita’. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita.

Sumber : http://mindasasterabahasa.blogspot.com/

HANYA TINDAKAN TEGAS BOLEH ATASI GEJALA SAMSENG JALANAN


PELBAGAI pihak memberi pandangan berbeza mengenai langkah polis mahu istilah mat rempit ditukar kepada samseng jalanan tetapi orang ramai bersetuju dengan cadangan supaya kesalahan itu dikenakan hukuman lebih berat, termasuk penjara mandatori. Ini bermakna, apa pun istilah digunakan, yang penting ialah apa tindakan seterusnya bagi menangani gejala tidak sihat ini - dari segi penguatkuasaan, pindaan undang-undang supaya mereka terbabit dikenakan hukuman setimpal dan kerjasama masyarakat umum, termasuk tindakan proaktif di kalangan ibu bapa untuk mengawasi tindak-tanduk anak mereka. Sejak kebelakangan ini, kegiatan samseng jalanan itu menggemparkan apabila mangsa meninggal dunia. Berdasarkan cadangan polis, ia mahu Kementerian Pengangkutan meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan samseng jalanan dikenakan hukuman penjara mandatori. Ketika ini, kesalahan mengikut seksyen itu boleh dihukum maksimum penjara lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 serta lesen memandu digantung dua tahun bagi kesalahan pertama dan sehingga 10 tahun jika kesalahan berulang, tetapi dalam kebanyakan kes pesalah hanya dikenakan denda. Hukuman penjara mandatori seperti dicadangkan polis itu hanya bagi samseng jalanan berumur 18 tahun ke atas, manakala mereka di bawah umur disaran dihantar ke sekolah juvana kerana mereka masih tertakluk kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak. Cadangan itu adalah satu daripada pelan jangka panjang bagi menangani gejala buruk yang kini semakin meruncing.


Kita sependapat dengan polis iaitu jika hukuman penjara mandatori dikenakan, samseng jalanan mungkin berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan itu kerana takut masuk penjara. Apapun, kita berharap cadangan itu menjadi kenyataan, bukan 'tersadai' begitu saja dan muncul semula apabila kegiatan merempit kembali berleluasa. Dari segi istilah, kita tidak pasti sejauh mana keberkesanan penukaran nama itu. Istilah mat rempit sudah begitu sinonim digunakan dan bukan senang untuk mengubah panggilan itu. Pencarian melalui google menunjukkan hits sebanyak 849,000 untuk perkataan mat rempit, apatah lagi memang ada filem bertajuk Remp-it yang mendapat sambutan orang ramai sebelum ini. Mungkin polis ada alasan tersendiri untuk menukar istilah itu bagi memberi imej yang menggambarkan kegiatan samseng serta mengelak salah tanggapan terhadap penunggang motosikal biasa. Mungkin juga elok penggunaan samseng jalanan ini tidak terbatas kepada pengguna motosikal yang melakukan jenayah seperti ragut, merompak dan sebagainya. Sepatutnya, istilah itu diperluaskan untuk pemandu kereta yang melakukan jenayah sama termasuk di kalangan pembuli di jalan raya. Apa yang menyedihkan ialah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini mendapati 95 peratus belia yang merempit terdiri daripada remaja Melayu - kebanyakannya berusia antara 14 hingga 25 tahun. Malah, Kementerian Pelajaran juga mungkin perlu mewajibkan subjek moral dan pendidikan keagamaan sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan yang ada sekarang, bagi menyemai nilai murni di kalangan pelajar supaya suatu hari nanti mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu.

Sumber: http://www.bharian.com.my/