Rabu, 26 Ogos 2009

Semarakkan erti kemerdekaan, kebebasan negara

KEMERDEKAAN sewajarnya menyedarkan rakyat mengenai erti kebebasan dan kemakmuran negara. Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana melalui kemerdekaan, kita mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan.

Sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan mempunyai makna mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksudnya dengan tepat.

Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan. Pengetahuan sejarah melalui pembelajaran di sekolah amat penting bagi mendalami semangat dan erti kemerdekaan.

Tarikh 31 Ogos perlu disambut dengan kesyukuran dan semangat patriotik. Ini kerana kemerdekaan itu adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati bersama.

Kedatangan tarikh keramat itu diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan rakyat.

Perpaduan negara sangat penting dan ia menjadi kunci kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor yang penting, terutama sekali perpaduan negara.

Perpaduan hendaklah menjadi asas kepada semua aktiviti dan rancangan dari semua sektor dan masyarakat di negara ini.

Sikap perkauman dan apa juga bentuk polarisasi yang lain merupakan halangan terbesar kepada perpaduan negara. Maka semua pihak mesti berazam untuk memerangi polarisasi kaum sama seperti kita mengisytiharkan perang terhadap ancaman dadah dan jenayah.

Bagi membolehkan proses itu terhindar daripada rintangan, pembuat dasar dan mereka yang melaksanakannya hendaklah selalu tertakluk kepada tujuan-tujuan dan nilai-nilai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Segala rancangan pembangunan, perindustrian dan sebagainya bagi mencapai imbangan sosial dan mewujudkan keadilan hanya akan memberi makna jika rakyat berbilang kaum memperkukuhkan perpaduan.

Usaha saling bekerjasama rakyat Malaysia hendaklah berterusan bagi tujuan memelihara dan menguatkan semangat cinta dan setia kepada negara. Semua rakyat perlu berbangga menjadi warga Malaysia.

Semangat patriotisme haruslah sentiasa dipupuk dan dipelihara. Keharmonian kaum dan toleransi beragama di setiap peringkat harus terus diperkukuhkan.

Tidak dinafikan bahawa hari ulang tahun kemerdekaan memang meninggalkan kesan mendalam pada kita semua, terutama di kalangan generasi yang pernah berjuang untuk mencapainya.

Nilai murni menjadi asas penting kepada masyarakat Malaysia terutama dalam usaha pencapaian taraf sebuah negara maju.

Ini penting kerana konsep Wawasan 2020 itu sendiri telah menyebut dengan jelas hasrat negara untuk mencari titik keseimbangan antara pembangunan kebendaan dan kerohanian.

Apa yang perlu ditekan sekarang ialah kita harus memperseimbangkan pencapaian ekonomi dengan pembangunan kerohanian dan akhlak, di samping berusaha mencapai integrasi kaum dan perpaduan negara dalam Satu Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Senaman dalam bulan puasa

Oleh Hamid Ahmad


Bersenam semasa berpuasa akan mengurangkan berat badan dengan cepat daripada orang yang bersenam tetapi tidak berpuasa.

PUASA memberi kesan yang baik terhadap keseluruhan sistem badan manusia terutama sistem penghadaman. Secara amnya, berpuasa dapat memberi kesan terhadap sistem tubuh badan, minda serta psikologi dan rohani.

Tubuh badan kita sentiasa terdedah kepada bahaya toksin atau radikal bebas yang menjadi faktor kepada jangkitan penyakit atau kecederaan.

Tabiat pemakanan yang tidak berkhasiat, pencemaran alam sekitar dan tekanan dalam menjalani kehidupan seharian menyebabkan banyak toksin berkumpul di dalam badan. Justeru itu, dengan berpuasa dapat merehatkan sistem organ dalaman, mengekalkan serta menyeimbangkan sistem hormon, metabolisma dan sistem saraf.

Menurut kajian, dengan berpuasa otak akan mengeluarkan bahan yang berbentuk opioids yang terdiri daripada enkephalins dan endorfin. Bahan kimia ini akan menghasilkan ketenangan sepanjang menjalani ibadah berpuasa. Secara tidak langsung psikologi kita akan lebih tenang dan lebih rasional untuk bertindakbalas terhadap rangsangan yang tidak diingini seperti tidak cepat marah dan lebih bersabar apabila ditimpa musibah.

Senaman dan berpuasa

Adakah senaman selamat untuk diamalkan semasa berpuasa? Persoalan ini selalu bermain di minda kita terutama jika kita seorang yang aktif bersenam atau beriadah. Pengkaji-pengkaji Barat telah membuktikan bahawa aktiviti bersukan, bersenam dan beriadah adalah selamat semasa berpuasa.

Secara asasnya, sistem badan yang terlibat semasa bersenam meliputi sistem jantung, paru-paru dan peredaran darah, sistem otot dan tulang, sistem limfa serta sistem badan yang lain. Bersenam semasa berpuasa boleh meningkatkan fungsi sistem-sistem ini menyingkirkan hasil perkumuhan badan dan toksin yang menjadi faktor berlakunya penyakit keluar daripada badan.

Kajian di dalam Jurnal Aplikasi Fisiologi membuktikan bahawa bersenam sebelum, semasa dan selepas berbuka puasa boleh mengurangkan kehilangan glikogen di dalam sistem otot dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga daripada lemak untuk bersenam. Ini sekali gus dapat mengurangkan kandungan lemak di dalam badan kita dan dapat mengurangkan masalah berat badan.

Kajian di dalam Jurnal Nutrisi juga membuktikan bahawa orang yang bersenam semasa berpuasa akan mengurangkan berat badan dengan cepat daripada orang yang bersenam tetapi tidak berpuasa.

Manakala Dohm dan rakan-rakan (2008), dalam kajiannya membuktikan bahawa kandungan glukos dalam darah dapat dikekalkan walaupun kita bersenam sambil berpuasa. Jadi puasa bukanlah menjadi alasan kita untuk tidak bersenam.

Malah kita juga digalakkan untuk bersenam selepas berbuka puasa seperti melakukan sembahyang Terawih dimana sembahyang juga adalah salah satu bentuk senaman yang baik untuk diamalkan. Jadi janganlah risau anda akan kehilangan tenaga apabila melakukan bersenam kerana sumber tenaga untuk bersenam bukan hanya diperoleh daripada sumber makanan yang kita makan tetapi tenaga juga diperoleh daripada simpanan lemak yang dihasilkan daripada aktiviti penghadaman selama sebelas bulan kita tidak berpuasa.

Kajian juga mengatakan bahawa aktiviti pencernaan makanan memerlukan 14 jam untuk disempurnakan sehingga ke usus besar selepas pengambilan makanan bagi menghasilkan tenaga dan zat-zat yang diperlukan badan untuk berfungsi normal.

Biasanya puasa mengambil masa kurang daripada 14 jam dimana tempoh ini dipanggil tempoh normal badan bagi mengekalkan aktiviti fisiologinya. Ini membuktikan ibadah puasa tidak akan memudaratkan sistem-sistem sedia ada pada badan walaupun semasa berpuasa kecuali jika kita mengalami masalah penyakit-penyakit kronik.

Kajian Karli dan rakan-rakan (2007) di dalam Jurnal Sains Sukan dan Perubatan juga menyatakan bahawa puasa tidak akan memberi kesan negatif terhadap jumlah cecair badan, komposisi badan, kapasiti dan kuasa otot serta metabolisme asid laktik iaitu hasil perkumuhan otot dan penggunaan tenaga selepas senaman di kalangan atlet-atlet yang melakukan senaman rintangan tinggi.

Langkah-langkah berikut perlu diambil sekiranya anda ingin bersenam pada bulan puasa:

Kenali keupayaan diri anda sebelum melakukan senaman melalui sejarah perubatan atau penyakit terdahulu.

Dapatkan nasihat doktor atau ahli fisioterapi tentang jenis senaman yang sesuai.

Memikirkan faktor-faktor dalaman atau luaran yang boleh menyebabkan kecederaan seperti kandungan air badan, cuaca atau peralatan sukan yang digunakan.

Mulakan senaman dengan aktiviti memanaskan badan dan melenturkan tisu badan dan otot dan mengakhiri senaman dengan aktiviti menyejukkan badan dalam jangka masa sekurang-kurangnya 5 - 10 minit untuk keseluruhan senaman ini.

Lakukan senaman pilihan anda sama ada senaman untuk menguatkan otot, meningkatkan ketahanan jantung atau paru-paru dengan aerobik atau sukan lain seperti badminton dan sebagainya. Jangkamasa, bebanan atau kekerapan ulangan memainkan peranan penting bagi menentukan intensiti senaman. Mulakan dengan intensiti yang rendah di awal Ramadan dan boleh ditingkatkan 10 -15 peratus senaman setiap minggu mengikut keupayaan dan tujuan anda bersenam.

Anda tahu keupayaan diri anda, elakkan bersenam jika sekiranya badan anda tidak berupaya melakukan senaman seperti demam, kekurangan cecair badan atau mengalami komplikasi penyakit terdahulu seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.

Persediaan secara psikologi juga memain kejayaan aktiviti senaman pada bulan puasa ini seperti mengetahui fisiologi badan semasa berpuasa, tenang, minat dan mengetahui tujuan serta aktiviti senaman yang akan dilakukan.

Walau bagaimanapun, anda perlulah mendapatkan nasihat doktor atau ahli fisioterapi jika sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis atau jantung. Dengan bersenam juga dapat meningkatkan fizikal dan rohani anda bagi menghadapi cabaran-cabaran pada bulan Ramadan seperti bertarawih sepanjang malam yang memerlukan ketahanan minda dan kekuatan otot terutama pada bahagian kaki.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Bahasa Melayu paling sesuai merakyatkan warga Malaysia

MELALUI wawancara dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa kesalnya terhadap pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Katanya dengan pemansuhan itu dikhuatiri pelajar bukan Bumiputera tidak berminat lagi untuk belajar di sekolah kebangsaan yang akan menyebabkan hubungan kaum renggang memandangkan mereka akan belajar di sekolah pelbagai aliran.

Kenyataan Dr Mahathir itu jelas membawa makna semacam ada usaha atau pemikiran yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai 'bahasa perpaduan' bagi semua kaum di negara ini.

Kenyataan dan pemikiran sebegini sama sekali tidak dapat diterima bagi negara ini, apatah lagi bagi konsep 1Malaysia yang antara terasnya yang perlu ialah satu bahasa. Sejarah negara sebelum merdeka dan awal pascamerdeka perlu dihayati oleh semua bangsa yang mendiami negara ini.

Sejak mencapai kemerdekaan, malah sebelum merdeka lagi bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perhubungan sehari-hari antara kaum yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu.

Lihat saja paparan watak seperti yang digambarkan oleh Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dalam filemnya. Watak apek, ceti, benggali begitu bersahaja menggunakan bahasa Melayu bukan saja dalam bentuk bahasa pasar, malah juga dalam bahasa yang begitu baik ketika berbual.

Inilah jati diri bagi negara ini dan yang perlu dipertahankan sejak dulu, kini dan selama-lamanya, bukannya mengambil satu bahasa dari negara lain untuk bersama-sama memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan apatah lagi untuk mengambil alih peranan bahasa Melayu itu.

Berdasarkan sejarah negara ini, tidak ada bahasa lain yang lebih layak dan mampu menjadi bahasa perpaduan selain bahasa Melayu. Bahasa Melayu satu-satunya bahasa yang benar-benar 'merakyat' dari Padang Besar di utara semenanjung ke Tanjung Piai di selatan Johor, dari kawasan pedalaman Hulu Tembeling, Pahang ke Ba' Kelalan di Sarawak dan Pulau Sebatik di Sabah.

Bahasa Melayu difahami oleh Rozie di Bukit Damansara, Pak Teh Ucu di Gua Musang dan adik Balan Sing di Kapit, Sarawak berbanding bahasa Inggeris sekalipun dijadikan bahasa asing yang terpenting di negara ini.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, KLCC

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang sambutan ambang merdeka akan diadakan di dua lokasi utama sambutan itu seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu di Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi menghormati Ramadan selain berjaga-jaga terhadap penularan Influenza A(H1N1) yang semakin meningkat.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang sambutan di sekitar ibu kota.

"Tiada sambutan ambang merdeka seperti konsert, percikan bunga api dan countdown (kiraan detik masa) akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di lokasi utama di Dataran Merdeka seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Petronas berkata sambutan ambang merdeka bagi mengira detik 12 tengah malam tidak akan dilakukan di Taman KLCC kerana pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

"Pihak kami ada mengibarkan bendera Malaysia yang boleh dilihat di dalam dan luar bangunan KLCC bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 ini, selain sebuah papan iklan dengan 'tagline' 1Warisan 1Matlamat di hadapan bangunan menara berkembar," katanya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, baru-baru ini mengumumkan lokasi bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang sebelum ini dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, ditukar ke Dataran Parlimen atas sebab yang sama. - Bernama

Selasa, 25 Ogos 2009

CABARAN BELIA ISLAM KINI

Tiga cabaran utama menanti belia Islam zaman globalisasi

Oleh Muhamad Razak Idris
muhdrazak@abim.org.my

BELIA Islam hari ini berada pada era yang amat mencabar. Cabaran ini didorong oleh banyak faktor. Faktor yang paling utama sekali ialah peredaran zaman itu sendiri. Dunia hari ini amat berbeza sekali berbanding beberapa dekad lalu. Pada hari ini, dunia yang kita diami dikenali dengan 'perkampungan sejagat' atau 'global village'.

Mengibaratkan sebuah dunia yang besar ini sebagai sebuah perkampungan adalah gambaran realiti peredaran zaman yang sedang didepani belia Islam hari ini. Perkampungan dunia hari ini digerakkan oleh pelbagai arus. Satu daripadanya ialah oleh pencapaian manusia sendiri di dalam bidang perhubungan sama ada menerusi darat atau lautan.

Namun, pencapaian yang paling mengesankan ialah pencapaian manusia di dalam bidang teknologi maklumat. Menerusi teknologi maklumat inilah seperti penciptaan komputer, telefon dan internet, manusia dari segenap pelosok dunia dapat berkongsi khabar dan berita hanya dalam sekelip mana.

Di samping berkongsi khabar dan berita, satu daripada perkara yang dikongsi bersama oleh masyarakat dunia ialah nilai dan kepercayaan mereka mengenai sesuatu perkara berkaitan urusan kehidupan di dunia ini. Urusan itu termasuk yang membabitkan ilmu pengetahuan, kebudayaan, sistem kenegaraan dan juga ideologi.


Dengan bantuan teknologi maklumat dan perhubungan lebih baik, semua perkara yang dinyatakan di atas yang sebelum ini hanya dikongsi dan diketahui sekelompok perkumpulan manusia tertentu, kini sudah merentas sempadan daerah dan negara.

Kedapatan sesetengah perkara atau amalan yang pada asalnya hanya berbentuk minat dan kesukaan sebuah kelompok masyarakat, kini sudah menjadi minat dan kesukaan yang dikongsi oleh seluruh masyarakat manusia.

Fenomena ini dikenali juga sebagai proses pensejagatan atau 'globalisasi'. Ia adalah suatu keadaan di mana nilai dan amalan yang pada asalnya suatu yang bersifat setempat bertukar menjadi satu pola atau fenomena sejagat.

Oleh itu, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan fenomena kesejagatan dunia hari ini. Antaranya ialah seperti istilah 'generasi Pepsi-Cola' atau 'generasi Google'. Istilah ini memberi maksud akan kesejagatan produk minuman Pepsi dan Coca-Cola, serta produk carian internet iaitu Google yang dengan kehadirannya, dikenali dan dikongsi oleh hampir seluruh masyarakat dunia.

Fenomena kesejagatan dunia ini ialah realiti yang jelas akan peralihan zaman yang sedang didiami oleh belia Islam di negara kita hari ini. Apakah bentuk cabaran yang perlu didepani oleh belia Islam di dalam berdepan dengan realiti peralihan zaman ini?

Bentuk cabaran itu, pada hemat saya, boleh dibahagikan kepada beberapa unsur.

Pertama, cabaran untuk mengekalkan jati diri setempat di dalam arus kesejagatan dunia.

Kedua, cabaran mengenal pasti unsur yang positif untuk pembangunan belia Islam di dalam himpunan sumber maklumat yang pelbagai.

Ketiga, cabaran untuk belia Islam menjadi unsur pendorong yang berpengaruh di dalam mencorakkan arus kesejagatan dunia hari ini.

Inilah tiga cabaran terpenting yang harus didepani belia Islam hari ini di dalam menangani era peralihan zaman.

Bagi cabaran pertama, belia Islam harus mengorak langkah di dalam meningkatkan tahap keyakinan diri yang tinggi terhadap keutuhan dan keunikan jati diri yang mereka miliki kini. Keyakinan terhadap jati diri ini adalah asas untuk belia Islam berdepan dengan pelbagai daya tarikan dari luar persekitaran mereka.

Hal ini menuntut belia Islam kembali memugar secara berkesan asas yang membentuk identiti dirinya. Ini meliputi teras kepercayaan agama, nilai hidup mulia dan rukun kebudayaan dan kenegaraan. Dalam erti kata lain, ia menuntut belia Islam untuk kembali mengukuhkan tradisi keilmuan di dalam kehidupan mereka memandangkan hanya menerusi proses pendidikan yang berkesan dan berterusan, segala aspek yang dinyatakan itu dapat diperkukuhkan sebagai asas dan teras identiti dirinya.

Bagi cabaran kedua, belia Islam harus terdedah dengan banyak kajian yang bersifat perbandingan. Di dalam menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk untuk keperluan dan kegunaan belia Islam, kefahaman yang menyeluruh terhadap sesuatu persoalan yang terjadi diperlukan.

Sebagai contoh, di dalam berdepan dengan kepelbagaian arus kefahaman dan tafsiran terhadap ajaran Islam, belia Islam harus diperkukuhkan dengan kerangka pandangan yang difahami oleh aliran ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu kerangka ajaran Islam yang diperakui oleh majoriti golongan ilmuwan Islam.

Menerusi kerangka fahaman ini, belia Islam dibekalkan dengan petunjuk dan batasan bersifat tetap dan dinamik di dalam menilai sesuatu perkara atau persoalan. Ini secara langsung membimbing belia Islam di dalam melakukan proses penilaian yang objektif terhadap sesuatu sumber baru yang diperoleh.

Perkara ini akan memberi ruang luas kepada belia Islam memanfaatkan sesuatu yang baik atau positif mengenai sesuatu perkara bagi kegunaan mereka dan pada masa sama, dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara atau persoalan yang tidak baik atau negatif yang boleh melenturkan jati diri dan identiti dirinya.

Bagi cabaran ketiga, belia Islam perlu dipersiapkan diri dalam pelbagai aspek kehidupan agar mencapai tahap pencapaian hidup yang terbaik dan tertinggi. Ini bagi memastikan supaya belia Islam boleh menjadi kelompok masyarakat yang kreatif dan inovatif menciptakan produk baru bukan saja untuk kelompok masyarakat setempat, malah masyarakat dunia seluruhnya.

Era dunia hari ini yang digerakkan oleh peralihan zaman banyak dipengaruhi generasi yang berpandangan jauh dan berani melakukan perubahan. Sesuatu perubahan yang berpengaruh harus bermula dengan kekuatan ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup yang tinggi.

Belia Islam di negara ini harus didorong untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan mereka di bidang yang mereka ceburi agar mencapai tahap tertinggi sehingga mampu mencipta produk terbaik dan terkini untuk keperluan seluruh manusia sejagat.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Pelan tindakan Dasar Wanita Negara 2009

DASAR Wanita Negara 2009 adalah kesinambungan dasar yang digubal pada tahun 1989 dengan mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan akan datang.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan seimbang.

Dasar ini dilengkapi dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil merangkumi 13 sektor iaitu ekonomi; kemiskinan; undang-undang; keganasan terhadap wanita; kesihatan; pendidikan dan latihan; sains dan teknologi; dan wanita dalam pembuat keputusan.

Selain itu ia turut merangkumi mekanisme, jentera dan institusi pembangunan wanita; media; alam sekitar; sukan dan kebudayaan, kesenian dan warisan.

Matlamat Dasar Wanita Negara adalah untuk:

i. Membangun potensi dan mendayaupayakan wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat dan dalam semua sektor sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara;

ii. Menyediakan persekitaran yang kondusif termasuk penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian;

iii. Membudayakan kesaksamaan gender di kalangan semua lapisan masyarakat dalam semua sektor;

iv. Memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan di semua peringkat;

v. Mencapai perkongsian saksama antara wanita dan lelaki dalam memperoleh dan mengawal sumber dan peluang penyertaan serta menikmati manfaat pembangunan; dan

vi. Meningkat dan mengukuhkan perkongsian adil dan saksama antara wanita dan lelaki dalam semua aspek kehidupan bagi memantapkan institusi keluarga serta membangunkan komuniti dan masyarakat.

Antara strategi yang telah digariskan bagi melaksanakan dasar ini ialah:

1. Mengarus perdana perspektif gender dalam penggubalan dasar dan perundangan, perancangan, perlaksaan dan penilaian program, projek dan penyediaan bajet untuk pembangunan.

2. Meningkatkan komitmen di kalangan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, termasuk penggubal dasar, pembuat keputusan dan pihak penguatkuasa di sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil, bagi menghormati dan memelihara martabat wanita.

3. Mengkaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada dan menggubal perundangan dan peraturan baru bagi menjamin tiada diskriminasi berasaskan gender, perlindungan, keselamatan, hak-hak dan maruah wanita terpelihara dan mengambil langkah-langkah supaya penguatkuasaan undang-undang berkenaan berkesan.

4. Menjalankan penyelidikan mengenai aspek gender bagi menjana pendekatan inovatif dan kreatif dalam penggubalan dasar dan perancangan serta perlaksanaan program.

5. Melaksanakan sepenuhnya pengumpulan, penganalisaan dan pengaplikasian data dan maklumat oleh agensi-agensi Kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengikut pecahan jantina untuk tujuan perancangan, perlaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

6. Meningkatkan kapasiti dan keupayaan wanita dalam semua bidang bagi memastikan penglibatan mereka yang berkesan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara termasuk penglibatan dalam bidang politik dan proses membuat keputusan.

7. Memperkukuh dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi wanita melalui kerjasama dan sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa, dan juga menambah serta mempelbagaikan peluang serta menggerakkan sumber, maklumat dan kepakaran di kalangan wanita.

Pendekatan pelaksanaan

Bagi memastikan matlamat Dasar Wanita Negara tercapai dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) dapat dilaksanakan dengan berkesan, beberapa pendekatan digariskan:

i. Semua agensi kerajaan, sektor swasta , pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil perlu mengambil tindakan sebagaimana ditetapkan di bawah PTPW;

ii. Sumber manusia yang berpengetahuan, terlatih dan peka gender dengan kepakaran khusus hendaklah disediakan dan sumber kewangan hendaklah mencukupi;

iii. Langkah-langkah khas sementara seperti affirmative action atau sistem kuota wajar diambil untuk memajukan wanita yang layak dan berkebolehan dalam semua sektor;

iv. Perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian aktiviti-aktiviti di bawah PTPW dipertanggungjawabkan kepada agensi pelaksana kepada agensi pelaksana yang berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing;

v. Pewujudan pangkalan data pusat untuk mengintegrasikan data berdasarkan gender dari pelbagai sumber termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan;

vi. Pewujudan multisektor sinergi di kalangan semua agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil; dan

vii. KPWKM(Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat) bertindak sebagai teraju bagi menyelaraskan aktiviti advokasi, pemantauan dan penilaian secara keseluruhan termasuk kajian semula kesesuaian dasar dan strategi pelaksanaan PTPW setiap tiga tahun sekali atau mengikut keperluan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

Memperkasa pengurusan wabak

DUNIA hari ini menghadapi pelbagai cabaran besar daripada soal ekonomi, politik sehinggalah wabak penyakit. Berhadapan dengan konflik politik, peperangan dan masalah ekonomi sudah terlalu biasa bagi masyarakat dunia.

Dan kita sudah dibiasakan untuk mencari penyelesaiannya setiap hari. Namun, bagi serangan wabak penyakit walaupun penyakit tersebut dianggap biasa ia merupakan cabaran yang banyak menguji kecekapan manusia dalam mengendalikannya terutama dalam bidang sains perubatan.

Sebelum ini masyarakat dunia dihantui dengan serangan wabak selesema burung yang bukan sahaja meragut nyawa haiwan unggas tetapi turut meragut nyawa manusia.

Di negara kita selain daripada penyakit Denggi dan Malaria, Penyakit Encephalitis (JE) pernah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) misalnya juga merupakan antara penyakit yang berbahaya di samping penyakit lain seperti penyakit Tangan Kuku dan Mulut.

Kini pandemik Infuenza A (H1N1) digeruni oleh segenap lapisan masyarakat dunia berdasarkan kepada jumlah kes serta bilangan kematian yang meningkat setiap hari.

Berdasarkan kepada kemunculan pelbagai jenis wabak berbahaya sejak akhir-akhir ini, ia seakan-akan menuntut dunia sains perubatan memperkasa penyelidikan terutama dalam penghasilan vaksin dan ubat-ubatan selain penghasilan teknologi yang mampu membantu melawan penularan wabak.

Bagaimanapun, selain daripada pemberian vaksin, pengambilan ubat-ubatan dan langkah-langkah teknikal lain, perkara yang amat penting dalam menghadapi permasalahan penularan wabak ialah kecekapan kerajaan mengeluarkan arahan-arahan semasa, kecekapan institusi perubatan dalam menguruskan logistik pesakit dan tahap profesionalisme pengamal perubatan terutamanya doktor dalam mengenal pasti masalah-masalah pesakit.

Langkah kita sebelum ini seakan-akan bersikap tunggu dan lihat tanpa menjangkakan tahap keseriusan penularan wabak pada masa akan datang. Kita seharusnya telah belajar daripada negara-negara lain yang diserang wabak dengan begitu cepat.

Tindakan memberi cuti atau menutup operasi sesebuah institusi mungkin dilihat tidak wajar bagi sesetengah pihak atas kepentingan umum. Disebabkan inilah, terdapat arahanarahan yang tidak jelas dan lambat membuat keputusan sehinggakan penularan wabak berada pada tahap yang tidak terkawal.

Selain itu, pusat-pusat perubatan, hospital dan klinik seharusnya mewujudkan pusat perubatan bergerak tanpa menunggu orang ramai datang mendapatkan rawatan. Kesesakan yang berlaku di pusat-pusat perubatan berisiko untuk mengitar penyakit dan menjangkiti orang ramai.

Klinik-klinik swasta pula seharusnya turut bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan lebihan kaunter pemeriksaan kepada orang ramai.

Jumlah bayaran perkhidmatan juga tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya kerana, dalam keadaan pandemik seperti ini, pusat-pusat perubatan tidak boleh mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan atas hasil perkhidmatan yang banyak.

Kaedah-kaedah lain mungkin boleh dilaksanakan seperti semburan antibiotik ke udara. Walaupun mungkin kurang berkesan setidak-tidaknya dapat melemahkan serangan virus melalui udara.

Influenza A H1N1 misalnya menimbulkan rasa panik dalam masyarakat pada hari ini. Ini menyebabkan banyak aktiviti harian terganggu. Bagi sesebuah organisasi awam, pengurusan wabak juga perlu difahami secara mendalam kerana melibatkan kakitangan awam yang terikat dengan prosedur dan undang-undang perkhidmatan.

Adakalanya bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan cuti, juga memerlukan sejauh mana pemahaman ketua-ketua jabatan terhadap permasalahan yang timbul ke atas kakitangannya.

Dasar juga hendaklah seragam. Sekiranya arahan menutup organisasi atau perintah cuti dikeluarkan, maka tidak ada yang terkecuali daripada arahan tersebut. Demikianlah apabila arahan sebaliknya.

Semua ini memerlukan kebijaksanaan dan budi bicara yang baik atas kemaslahatan umum.

Bagi masyarakat, perintah bercuti atau kuarantin tidak boleh dijadikan peluang untuk melakukan aktiviti lain di luar rumah seperti membeli-belah, melancong dan sebagainya.

Pengurusan diri bagi individu yang dijangkiti sebarang penyakit juga perlu diberi perhatian melalui pendidikan.

Tindakan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta untuk bekalan vaksin perlu disusuli dengan pengurusan wabak yang berkesan dalam negara.

Pada masa akan datang, kerajaan perlu mengambil langkah mewujudkan Institut Pengurusan Wabak Kebangsaan yang khusus mencari strategi berkesan selain bekerjasama dengan semua negara di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kita memikirkan masalah wabak tidak seperti masalah minyak - yang dibezakan daripada segi kesukaran mengeluarkan kos dan keperitan menahan penyakit sehingga meragut nyawa. Maka, untuk menghadapai masalah akan datang, persediaan perlu dilakukan pada hari ini.

Dunia sains perubatan dan kaedah pengurusan penularan wabak perlu diperkasakan lagi bukan sekadar untuk mendapat keuntungan tetapi sebagai usaha umat manusia menyelamatkan diri daripada malapetaka.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Utara Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/