Jumaat, 15 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : Formula 1:3:7 tangani isu disiplin murid

Oleh Syuhada Choo Abdullah

choo@bharian.com.my

Kes disiplin pelajar wajib selesai dalam seminggu di semua peringkat

KUALA LUMPUR: Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.


Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.

Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

“Selain itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian.

“Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini,” katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

“Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan,” katanya.


Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu:

Langkah pertama (membabitkan sekolah) - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Keputusan ke IPTA bagi lulusan STPM diumumkan hari ini

PUTRAJAYA 15 Julai - Status keputusan permohonan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2011/2012 boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, semakan itu boleh dibuat di laman web kementerian atau di http://upu.mohe.gov.my.

Beliau berkata, sebanyak 41,267 tempat ditawarkan untuk mengikuti program ijazah pertama pada tahun ini.

Sumber : http : //www. utusan.com.my/

Khamis, 14 Julai 2011

STAR Ipoh juara bahas Piala PM SBP

Nur Qusyairi Mohamed Fauzi dan Nur Natashya Abdul Rahman bergambar bersama piala dan replika cek yang dimenangi pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-38 SBP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Julai - Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) diumumkan sebagai johan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-38 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dalam kategori Bahasa Malayu di sini hari ini.

Bagi kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan).

Selaku juara, kedua-dua sekolah itu membawa pulang wang tunai RM4,000 bersama piala iringan berserta sijil penyertaan.

Pembahas Bahasa Melayu terbaik pula dimenangi oleh Nur Qusyairi Mohamed Fauzi dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan Nur Natashya Abdul Rahman dari Kolej Tunku Kurshiah bagi Bahasa Inggeris.

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama piala iringan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Khair Mohamad Yusof yang mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud menyampaikan hadiah kepada para pemenangnya.

Turut hadir Pengurus Besar Kewangan merangkap Setiausaha Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Mustafa Abdul Razak.

Bank Rakyat menjadi penaja utama pertandingan bahas kali ini dengan memperuntukan sebanyak RM100,000.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Abd. Ghafar yang teks ucapannya dibacakan oleh Dr. Khair berkata, pertandingan itu sangat penting kerana ia dapat melahirkan pemimpin yang berkeyakinan, berketerampilan, berdaya saing dan bijak berkomunikasi.

"Ia juga dapat membentuk pemimpin yang berwibawa, berfikiran kreatif dan terbuka.

"Diharapkan pertandingan bahas ini dapat mencungkil dan mengasah bakat pelajar dengan seni berpidato ala parlimen secara cerdas dan bijaksana," katanya.

Sehingga Jun lalu, bilangan pelajar SBP berjumlah 37,543 orang.

Abd. Ghafar berkata, sehingga kini terdapat 60 buah SBP yang telah beroperasi dan dijangka tiga buah SBP baharu akan dibuka sehingga hujung tahun ini.

"SBP baharu itu adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Setiu, SM Sains Sembrong dan SM Sains Banting," katanya.

Sementara itu, Nur Qusyairi menyifatkan kemenangan sekolahnya itu disebabkan hasil kerjasama yang dipamerkan oleh rakan sepasukan.

"Saya juga tidak menyangka menerima anugerah pembahas terbaik, ini semua disebabkan hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru selama ini," katanya.

Bagi Nur Natashya pula, dia bersyukur kerana latihan yang dijalani bersama rakan pasukan debatnya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

"Terima kasih kepada rakan-rakan dan guru-guru yang membimbing kami berjaya merangkul kemenangan pada hari ini," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 13 Julai 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu mesti dijunjung, bahasa Inggeris kendong saja

RENCANA tulisan Rejal Arbee yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7 Julai lalu bertajuk 'Mengapa orang tidak fasih bahasa Inggeris diperlekeh' berkaitan dengan komen ahli politik veteran DAP, Karpal Singh amat menarik direnung.

Sebenarnya hal ini bukanlah perkara baru. Sejak di bangku sekolah pada tahun 70-an, 80-an hingga kini, tidak banyak berubah. Inilah antara kejayaan terbesar penjajah yang ditanam ke dalam minda rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, status ekonomi dan sosial.

Sebahagian besar rakyat dan pemimpin berfikiran bahawa bahasa Inggeris itu ‘maha’ besar, bahasa Inggeris itu satu-satunya bahasa kemajuan di dunia ini. Tanpa bahasa Inggeris mustahil negara kita akan maju.

Melakukan kesilapan ketika berbahasa Inggeris sama ada ketika bertutur atau menulis akan memberi malu cukup besar seolah-olah sudah membuat ‘dosa’ amat besar berbanding sepicing pun tiada rasa bersalah jika berbuat silap dalam bahasa Melayu sama ada bercakap atau menulis.

Malah untuk menyebut nama bahasa Melayu pun rasa malu, takut-takut sehingga disebut nama bahasa Malaysia, sedangkan itulah nama yang sah dan betul seperti tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu sedia menerima bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris dan bahasa lain bagi diajar dalam sistem pendidikan negara kita.

Tentulah tidak wajar untuk sesiapa pun menolak istilah atau nama bahasa Melayu yang sah dan betul itu sehingga perlu menggunakan nama bahasa Malaysia yang tidak betul. Semua bahasa asalnya dituturkan oleh sesuatu bangsa di sesebuah negara dan bukannya oleh negara rupa bumi itu.

Berbalik rasa megah bahasa, keghairahan rakyat Indonesia, Thailand, China, Korea, Jepun, Jerman, Perancis, Finland, Norway dan lain-lain mempelajari bahasa Inggeris ditonjolkan secara mengelirukan seolah-olah di negara mereka wujud aliran Inggeris dan sains, matematik dan teknologi diajar dalam sistem pendidikan mereka secara berleluasa sedangkan hakikatnya di negara itu bahasa Inggeris digunakan secara amat terhad.

Istilah tepat mungkin banyak orang kita sudah ‘kemabukan’ bahasa Inggeris. Jika pun kita ‘perlu’ mabuk, biarlah ‘mabuk’ bahasa Melayu dan ‘teguklah’ bahasa Inggeris itu seteguk dua agar kembali normal. Sepatutnya bahasa Melayu dijunjung dan bahasa Inggeris dikendong, bukan sebaliknya.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kemelut Kamus Dewan

Oleh Nazmi Yaakub

nazmi@bharian.com.my

Ketua Pengarah DBP dan ‘pakar’ kamus jawab kritikan


APAKAH benar Kamus Dewan tidak mencerminkan kemajmukan sosial dan teknikal di negara ini seperti dikatakan oleh Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara, Northern Illinios University (NIU), Amerika Syarikat (AS), Prof Dr James T Collins? Bolehkah kamus utama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, memuatkan semua perkataan dan makna yang tertulis dan diucapkan oleh pengguna bahasa Melayu dari semasa ke semasa.


Dua persoalan itu sebenarnya selalu menjadi isu dalam kalangan pengguna biasa kamus kerana beranggapan semua perkataan sepatutnya ada dalam kamus, khususnya perkataan baru yang muncul akibat ledakan teknologi komputer dan maklumat (ICT).

Persoalan itu terjawab apabila Ketua Program LG221, Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Norizah Ardi, yang menegaskan ia boleh dilihat berdasarkan konsep sesebuah kamus yang menentukan jenis entri atau perkataan, subentri dan frasa entri yang dimasukkan.

“Kamus Dewan berkonsepkan kamus umum dalam bahasa Melayu sebagai rujukan utama pengguna bahasa Melayu di negara ini, selain negara yang menggunakan bahasa Melayu.

“Ini berbeza pula dengan Kamus Inggeris-Melayu DBP dengan konsep kamus untuk penterjemah, manakala Kamus Pelajar DBP pula bersesuaian dengan pelajar di sekolah,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Akademi Pengajian Bahasa UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Sebagai kamus umum, Dr Norizah berkata, tidak semua perkataan khususnya kata majmuk dan maknanya daripada pelbagai perspektif termasuk budaya dan teknikal dapat dimasukkan ke dalam Kamus Dewan.

“Bayangkan jika semua entri dan subentri dimasukkan dengan pelbagai makna diberikan, saya tidak tahu berapa tebal Kamus Dewan yang akan terhasil nanti.

“Justeru, ada prinsip tertentu dalam pemilihan perkataan dan makna yang dimasukkan ke dalam sesebuah kamus berpandukan konsep yang boleh kita lihat pada pendahuluan kamus berkenaan,” katanya yang turut berpengalaman menjadi antara penyusun Kamus Inggeris-Melayu DBP.

Dalam konteks penyusunan kamus di DBP, beliau berkata, perkataan berbentuk khusus atau teknikal akan dimasukkan ke dalam glosari bidang dan subbidang tertentu selepas ia didapati tidak ada dalam Kamus Dewan.

“Ini kerana sekiranya perkataan itu sudah ada dalam Kamus Dewan, ia dianggap perkataan biasa yang tidak perlu dimasukkan ke dalam glosari seperti roti, manakala jenis roti pula dimasukkan ke dalam Glosari Sains Rumah Tangga.

“Oleh itu, Kamus Dewan bertindak sebagai kamus rujukan maklumat bahasa umum tanpa mengira sama ada ia berbentuk slanga atau sastera lama, tetapi diberikan tanda tertentu,” katanya.

Mengenai saranan Prof Collins supaya DBP menambah entri baru sesuai dengan perubahan zaman, Dr Norizah bersetuju kerana hal berkenaan dibuat oleh kamus utama dunia seperti Collins English Dictionary yang berbuat demikian dua tahun sekali.

“Kita dapati mungkin ada data diubah suai sedikit dengan beberapa penambahan dimasukkan dan format serta reka bentuk baru diperkenalkan supaya lebih mutakhir.

“Bagaimanapun, saya berharap seandainya masukan itu diambil daripada korpus dalam Google, ia dibuat secara berhati-hati kerana bukan semua tulisan berbahasa Melayu yang betul daripada segi tatabahasa,” katanya.

Dr Norizah turut menyarankan DBP supaya menerbitkan kamus elektronik yang bersifat 10 dalam 1 yang mengandungi Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu DBP dan kamus glosari yang boleh dikemaskini berdasarkan kemasukan entri dan subentri yang baru dari semasa ke semasa.

Pandangan Dr Norizah itu diperakukan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz yang menjelaskan Kamus Dewan ialah kamus umum yang tidak memerlukan huraian secara terperinci kerana maklumat pragmatik yang disediakan sudah diketahui penutur aslinya.

“Apatah lagi konteks penggunaannya ditentukan oleh banyak faktor pragmatik yang relatif sifatnya seperti usia penyapa dan individu yang disapa serta beza usia di antara kedua-duanya.

“Data korpus DBP dan data bahasa Melayu di Internet juga memperlihatkan banyak penggunaan ‘pak cik’ dalam konteks tidak rasmi tanpa pengetahuan latar orang yang disapa mahupun dalam konteks pemilik kedai berbangsa Cina, India atau bangsa apa sekali pun seperti ‘Pak Cik Raju’, ‘Pak Cik Wong’ atau ‘Pak Cik John’,” katanya.

Mengenai Kamus Dewan yang tidak memberi tumpuan kepada definisi yang bersifat teknikal, Termuzi berkata, entri teknikal yang sudah banyak digunakan dalam wacana umum saja yang diterima masuk ke dalam edisi barunya.

“Untuk kata teknikal atau istilah, DBP menerbitkan kamus istilah, iaitu kamus khusus yang pemilihan dan penghuraiannya bersifat preskriptif.

“Oleh itu, perkataan sains dan teknologi dimuatkan pelbagai kamus istilah mengikut bidang dan subbidang, selain turut dimasukkan dalam Kamus Sains dan Teknologi yang diterbitkan pada 2008, manakala edisi keduanya dengan tambahan dan pembaikan sedang diusahakan oleh Bahagian Leksikologi dan Peristilahan,” katanya.

Termuzi meminta pihak yang memerlukan makna perkataan bersifat teknikal untuk memanfaatkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dapat dicapai melalui laman sesawang DBP.

“PRPM digunakan sebagai wahana penyebaran istilah teknikal dan dapat dimanfaatkan oleh pengguna sebagai sumber rujukan untuk kata teknikal termasuk pelbagai jenis skru dan sepana,” katanya.

Mengenai projek Online Multimedia Learner’s Dictionary of Malay yang diusahakan Prof Collins, beliau berkata, konsep kamus itu sesuai untuk penutur bahasa asing yang memberi tumpuan kepada aspek budaya dengan bersumberkan korpus internet.

“Perkembangan kata dalam bahasa Melayu di internet kini amatlah jauh bezanya dengan korpus yang digunakan dalam penyusunan Kamus Dewan Edisi Keempat yang diterbitkan pada 2005, apatah lagi Kamus Dewan Edisi Pertama (1970).

“Lantaran itu, DBP kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyusunan Kamus Besar Bahasa Melayu Dewan (KBBMD) yang bakal menampung dan menghuraikan perkembangan bahasa pada hari ini, sekali gus mengisi kelompangan Kamus Dewan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 12 Julai 2011

ISU SOSIAL : Kesan globalisasi kepada budaya tempatan

Oleh Aminuddin Mansor


Jika diamati globalisasi mempunyai pelbagai tanggapan, bergantung pada bidang yang dilibati dan ditanggapi seseorang seperti politik, ekonomi, budaya, perdagangan, komunikasi dan seni.


Globalisasi juga membawa maksud fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manusia mudah mendapat maklumat dan sukar menapis unsur negatif yang meresap dalam hati dan minda.


Beberapa istilah seperti “dunia tanpa sempadan” dan “langit terbuka” menjadikan seperti perdagangan; pengembangan kuasa politik dan ekonomi ke arah pengembangan peradaban. Ia kelihatan mempunyai agenda tersendiri bagi kuasa Barat.


Bagi menghadapinya, ibu bapa mestilah menyediakan kekuatan jati diri dan akhlak kepada anak-anak. Anak-anak sangat mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya hedonisme iaitu mementingkan keseronokan dan hiburan semata-mata. Pengaruh nyanyian, budaya berpakaian, makanan dan juga percakapan sangat pantas masuk.


Pendek kata, proses globalisasi yang dikehendaki adalah mengikut acuan kita sendiri dan berlaku mengikut kehendak kita. Keterbukaan ekonomi akan diikuti oleh bidang lain pula, termasuk nilai dan budaya.


Teknologi canggih yang dimanipulasikan oleh Barat, bukan sekadar satelit dan teknologi maklumat, bahkan penemuan sains lain yang sentiasa diusahakan seperti mencipta klon supaya membawa perubahan kebudayaan dalam kalangan manusia.


Perubahan pemikiran tentang politik seperti melakukan demonstrasi di jalanan juga mempunyai pengaruh berikutan dunia tanpa sempadan yang menyebabkan pengaruh luar boleh meresap ke negara-negara lain. Globalisasi politik ini juga mempunyai kesan buruk yang menyusahkan rakyat tidak berdosa seperti peniaga kecil, orang biasa, pemandu teksi dan para pelancong.


Proses globalisasi politik sekarang sangat pantas meresap dalam pemikiran dan gaya hidup yang juga dimanipulasikan oleh kuasa-kuasa Barat. Apa yang jelas yang menjadi tabiat kepada manusia, adalah perkara buruk mudah menjadi ikutan.


Akal fikiran yang dapat memikirkan ke arah kebaikan adalah landasan penting bagi mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku. Globalisasi mudah mempengaruhi perasaan dan sensitiviti masyarakat ke arah bertindak ganas tanpa memikirkan kesannya.


Budaya ganas, tidak berterima kasih, tidak bersyukur sering meresap melalui proses globalisasi. Perlakuan cara berpakaian, cara bercakap, cara bertindak menunjukkan ciri kesejagatan yang dipengaruhi ideologi dan peranannya.


Sebagai benteng yang kuat dalam apa juga kegiatan baik politik, budaya dan ekonomi, peranan budi bahasa dan akhlak yang diwarisi sejak turun-temurun yang menjadi budaya Melayu dan tamadun Islam seharusnya menjadi landasan. Pembangunan dan kemajuan yang sempurna juga mestilah seimbang antara kerohanian dan kebendaan.


* Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu UKM, Bangi.


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Etika di meja makan bentuk kanak-kanak

Oleh Liow Tiong Lai

Ibu bapa, guru kena berkorban bimbing anak jauhi laluan ke arah obesiti

TIDAK lama selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa kantin sekolah dikehendaki menjual pelbagai jenis makanan sihat, saya melihat tindakan seorang ibu yang menuruti desakan anaknya yang mahukan makanan segera.

Kanak-kanak lelaki itu mungkin berumur 10 tahun dan ternyata mempunyai berat badan berlebihan. Si ibu cuba memujuk anaknya supaya pulang ke rumah untuk makan tengah hari, tetapi budak itu terus mendesak mahu makan di restoran makanan segera.

Ibu berkenaan mungkin menyangka dia menyokong anaknya dengan menurut kemahuan budak itu, namun hakikat adalah sebaliknya, tindakannya itu lebih mendatangkan keburukan kepada anaknya. Semakin ramai kanak-kanak hari ini membesar seperti budak lelaki berkenaan, diberi makanan bergoreng, gula-gula (“mak, tak mahu sayur!”), selain dilayani permainan video dan komputer.

Amalan pemakanan sedemikian, yang dipupuk sejak kecil dan akhirnya menjadi sebati di kalangan kanak-kanak, akhirnya menjadi amalan sepanjang hayat. Jika amalan pemakanan yang tidak betul itu dididik oleh ibu bapa anda sejak zaman kanak-kanak, besar kemungkinan tabiat anda itu tidak berubah apabila dewasa kelak. Lebih teruk lagi, anda juga mungkin memberikan didikan yang salah itu kepada anak anda kelak.

Kita tidak perlu menunggu sehingga anak meningkat dewasa untuk melihat kesan amalan pemakanan tidak sihat ke atas mereka. Kajian tempatan mendapati lebih ramai kanak-kanak kini mempunyai berat badan berlebihan, gemuk dan obes.

Beberapa kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan peratusan kanak-kanak gemuk (berumur 6 hingga 12 tahun) meningkat daripada 11 peratus kepada 12.8 peratus pada 2008. Peratusan kanak-kanak obes juga meningkat daripada 9.7 peratus kepada 13.7 peratus pada tahun sama.

Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, lebih ramai remaja belasan tahun didiagnosis menghidap diabetes mellitus Jenis 2, penyakit yang biasanya dihidapi orang dewasa selepas meningkat umur 40 tahun.

Kini kanak-kanak semuda usia 10 tahun mempunyai penyakit kronik ini. Pada 2010, seramai 305 kanak-kanak di bawah 12 tahun yang menghidap diabetes mellitus dirawat di hospital kerajaan. Bagaimanakah kesannya terhadap masa depan mereka? Apakah mereka akan mati lebih awal akibat komplikasi diabetes seperti sakit buah pinggang atau jantung? Di manakah letaknya kesilapan kita?

Ramai ibu bapa membuat kesilapan membiarkan amalan buruk menular pada zaman awal kanak-kanak. Mereka sangka anak itu masih kecil dan boleh berubah kemudian. Tetapi zaman awal kanak-kanak adalah masanya apabila segala pengajaran diberikan itu menyerap dalam otak mereka.

Saya menjadi vegetarian bukan pada zaman kanak-kanak, tetapi oleh kerana ibu bapa saya makan banyak sayur-sayuran, saya belajar mengamalkannya sebagai sebahagian daripada diet harian. Oleh itu, tidak sukar bagi saya bertukar menjadi vegetarian selepas tamat pengajian di universiti.

Saya dan isteri tidak pernah melarang anak kami supaya jangan makan itu atau ini. Mereka boleh makan apa saja, baik coklat mahupun aiskrim, asalkan jangan berlebihan. Kami beritahu mereka baik buruk mengenai pelbagai jenis makanan, supaya mereka mengetahui nilai yang betul dan boleh membuat keputusan sendiri.

Satu lagi pengajaran buruk yang kanak-kanak pelajari di meja makan ialah makan segala-gala yang ada di atas pinggan. “Jangan membazirkan makanan kamu!” tegas ibu bapa mereka yang memarahi mereka sambil menyumbat butiran akhir nasi ke mulut mereka.

Ya, saya setuju makanan tidak harus dibazirkan memandangkan ramai kanak-kanak kecil di seluruh dunia mati kebuluran.

Kita tidak perlu memaksa anak melicinkan makanan di pinggan mereka, sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mengurangkan bahagian makanan diberikan kepada mereka, waima di rumah atau apabila membuat pesanan makanan di restoran.

Jika kita terus menyediakan bahagian makanan berukuran ‘super-size’, ukuran badan kanak-kanak itu pastinya akan bertukar menjadi super-size juga!

Apabila saya kenang kembali zaman kanak-kanak dulu, saya teringat yang saya lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah. Jarang sekali duduk berkurung di rumah selepas waktu sekolah. Sebaliknya, ibu bapa saya menggalakkan supaya keluar dan menunggang basikal bersama kawan, pergi memancing atau menjelajah kawasan di sekitar.

Anak zaman sekarang, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar akan mendapati gaya hidup sedemikian agak janggal. Pada kebiasaannya mereka terus dibawa pulang ke rumah selepas sekolah, kemudian ke pusat tuisyen. Di rumah, waktu santai dihabiskan di hadapan televisyen, bermain ‘playstation atau permainan yang ada pada telefon bimbit.

Saya faham cabaran dihadapi ibu bapa moden sekarang, terutama mencari kawasan selamat supaya anak mereka boleh bermain atau beriadah. Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga boleh membawa anak mereka ke pusat rekreasi atau taman permainan pada sebelah petang atau hujung minggu, di mana mereka boleh bebas ke sana sini. Mereka hendaklah berusaha melakukan semua ini.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/