Isnin, 4 Jun 2012

ISU BAHASA : Menyelami bahasa mangsa tsunami

Oleh AHMAD ZAKKI JILAN
(Yang mengikuti Program Pertukaran Pelajar & Belia Jepun-Asia Timur (Jenesys) di Tokyo, Jepun)

Timbunan sampah-sarap yang dihanyutkan oleh ombak tsunami belum dibersihkan selepas lebih setahun bencana berlaku.

KESENGSARAAN ratusan ribu warga Jepun yang terjejas kerana bencana berganda sudah lebih setahun berlalu. Dalam tempoh itu, ada yang masih ingat bencana yang melanda. Tetapi tidak kurang, ingatan terhadap Jepun yang ranap digegar gempa dan musnah dilambung tsunami semakin pudar seiring dengan masa yang berlalu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa lupanya masyarakat antarabangsa terhadap mangsa tsunami dan gempa Jepun bermakna meminggirkan mereka. Keadaan itu menjadikan mereka lebih tertekan, apalagi memikirkan tiada bantuan susulan diterima mereka.

Bertitik-tolak daripada kesedaran bahawa mangsa tsunami dan gempa ini perlu sokongan yang berterusan, 40 ahli Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) terbang ke Tokyo untuk mendengar dan memahami masalah mereka. Uniknya, mereka ada kekuatan dan kemahiran berbahasa Jepun, lalu komunikasi untuk menyelami masalah sebenar mangsa tsunami dan gempa ini menjadi lebih mudah.

Ternyata mereka ada masalah sendiri dan mahukan masyarakat luar memahami bahawa mereka sememangnya perlukan bantuan. Bantuan yang dimahukan itu, bukan wang ringgit, tetapi dengar dan faham gelora hati mereka. Antaranya, ada yang merintih tiada pekerjaan dan tiada tempat tinggal yang bersesuaian.

Semua masalah itu cuba diatasi oleh ahli ALEPS. Mereka melakukan kerja-kerja sukarela dengan membersihkan tanah yang ditumbuhi rumput serta lalang untuk membolehkan mangsa tsunami di daerah Iwate, Jepun menanam labu dan sayuran lain demi mendapatkan wang.

Daerah Tono hanya terjejas sedikit akibat gempa pada 11 Mac 2011. Tetapi daerah lain di Iwate termasuk Rikuzentakata, Ofunato, Otsuchi dan Kamaishi menjadi padang jarak padang tekukur dibadai ombak tsunami. Lebih 10,000 maut kerana tsunami di empat daerah itu manakala kediaman dan sekolah yang musnah pula puluhan ribu buah.

Presiden ALEPS, Syed Putera Syed Mokhtar berkata, hanya dengan cara membuat kerja-kerja sukarela, alumni yang pernah menimba ilmu di Jepun dapat membantu mangsa tsunami dan gempa di negara berkenaan.

"Kita mungkin tiada wang yang banyak untuk diberikan kepada mereka, tetapi kerja-kerja sukarela inilah yang membantu mereka mendapatkan wang meneruskan kehidupan sambil melupakan trauma yang menimpa mereka,'' kata beliau.

Bagi ahli ALEPS pula, mereka menyifatkan kerja sukarela hanya satu sumbangan kecil berbanding apa yang mereka dapat selama belajar di Jepun.

"Jepun memberi terlalu banyak semasa saya belajar di sini sebelum ini. Tetapi, saya rasakan saya sendiri memberi terlalu sedikit sebagai balasan. Dengan cara memahami masalah mereka saya membalas jasa itu,'' kata Fauziah Ahmad, 45.

Begitu juga seorang lagi sukarelawan ahli ALEPS, Shazali Ahmad, 35, yang berharap apa yang disumbangkannya dapat diterima baik mangsa tsunami dan gempa Jepun.

"Apa yang saya harapkan hanyalah mereka memahami bahasa pertolongan yang diberikan kami ahli ALEPS ini, semoga trauma mereka dapat dikurangkan,'' katanya lagi.

Ternyata bantuan yang diberikan ALEPS itu mendapat perhatian Jepun. Menurut Penyelaras Program Jenesys, Hiroko Araki: "Mereka ialah kumpulan yang sukar didekati, mungkin tidak mahu orang luar disusahkan. Tetapi jika faham masalah sebenar mereka, kumpulan ini lebih daripada mengalu-alukan bantuan."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran universiti hebat


Coretan Marhaen

TAHNIAH diucapkan kepada Universiti Malaya (UM) kerana berjaya mengekalkan statusnya sebagai universiti utama di Malaysia, empat tahun berturut-turut!

Sebagai bekas penuntut universiti tertua di tanah air itu, penulis turut berbangga dengan pencapaian UM menduduki tangga ke-35 keseluruhan di Asia bagi 2012 mengikut ranking yang didedahkan hasil kaji selidik QS ke atas lebih 500 universiti.

Nampaknya UM terus mendominasi kedudukan sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) paling top di Malaysia.

Kalau di Amerika Syarikat atau United Kingdom, status UM ini boleh dikatakan setaraf dengan universiti Ivy League seperti Universiti Harvard, Princeton dan Yale, yang cukup terkenal dengan kehebatan akademik, syarat kemasukan yang cukup ketat dan sifat elitisnya.

Bukan lagi rahsia, ramai penuntut dan ahli akademik memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut kerana mahukan reputasi yang dibawa dalam resume masing-masing sebagai alumninya.

Sekarang ini pun, UM cukup popular dalam kalangan pelajar asing apabila menduduki tempat keempat dalam program pertukaran pelajar universiti di Asia.

Dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi terutamanya mencapai kedudukan ke-35 terbaik di Asia, misi UM untuk menempatkan universiti itu antara 100 terbaik di dunia pada 2015, bukan sesuatu yang mustahil.

Namun sebagai universiti terbaik di Malaysia dan antara terbaik di Asia, UM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (KL) - mungkin tidak seperti yang dibayangkan selayaknya sebuah kampus induk universiti bertaraf dunia.

Janganlah cuba-cuba hendak mencari Dataran UM atau UM Square seperti yang terdapat di Harvard.

Lokasinya yang cukup hampir dengan pusat bandar, mengehadkan saiz kampus ini.

Tambahan bangunan baru pentadbiran, fakulti dan kolej kediaman - kini hingga ke-12 - menyesakkan lagi kampus yang sudah cukup padat itu.

Walaupun ada dua pintu masuk dan keluar iaitu dari pintu KL dan Petaling Jaya (PJ) - laluannya tetap sama iaitu jalan dua lorong sehala mengelilingi tasik UM untuk ke destinasi dalam kawasan kampus - walaupun jalan keluar sudah ditambah melalui pintu Damansara.

Remeh

Isu ini mungkin remeh. Lebih-lebih lagi bagi pentadbir UM yang sedang menumpukan usaha mengejar ranking dunia. Apa sangatlah isu jalan dan saiz kampus hendak dibincangkan.

Namun bagi penulis, universiti terbaik sepatutnya hebat serba-serbi.

Pengalaman terperangkap dua jam dalam kesesakan dari pintu masuk PJ menghala ke pintu keluar Damansara yang tidak sampai pun berapa kilometer pada Ahad minggu lepas, sungguh mengecewakan.

Difahamkan pada hari itu seramai 2,000 pelajar baru Asasi Sains UM mendaftar masuk dan ditempatkan di Kolej Kediaman Ke-12, yang kebetulan terletak di laluan menghala ke Damansara.

Bayangkan jika setiap pelajar dihantar oleh ahli keluarga masing-masing dengan sebuah kereta, ini bermakna sebanyak 2,000 kenderaan masuk ke kampus pada hari itu.

Namun maklum sahajalah budaya rakyat Malaysia, kegembiraan menghantar anak masuk universiti selalunya dikongsi dengan saudara-mara, jadi mungkin ada yang pergi dua tiga kereta.

Bagi yang datang dari luar KL seperti Kelantan, Terengganu, negeri di Utara dan Johor misalnya, inilah masanya untuk berjalan-jalan di kota raya.

Jadi pihak pentadbir universiti sepatutnya sudah boleh mengagak kesesakan yang akan berlaku dengan kehadiran serentak mereka dalam sela masa terhad yang ditetapkan. Sayangnya perkara remeh ini nampaknya tidak termasuk dalam pertimbangan dan perhatian.

Difahamkan pada hari yang sama, terdapat tiga acara lain berlangsung di tempat yang berdekatan antaranya temasya sukan untuk anak yatim dan pertunjukan makyung.

Bayangkan sahaja jumlah kenderaan yang memasuki kawasan kampus UM yang tidak sebesar mana itu, belum dikira kereta pensyarah, penuntut dan staf sedia ada.

Tidak mustahil ada yang terpaksa mengikat perut kelaparan, terlepas solat atau pitam kerana tersangkut tidak dapat bergerak ke mana gara-gara kesesakan teruk itu.

Memandangkan UM sudah pun memperoleh kuasa autonomi mulai tahun ini, sudah tiba masanya ia merancang memperbesarkan keluasan kampusnya, mungkin dengan mencari tapak sesuai di tempat lain. Bukan berpindah tetapi menambah kampus cawangan.

Mengambil contoh Universiti Harvard sendiri mempunyai tiga kampus. Kampus induk seluas 85 hektar di Harvard Yard, Cambridge, Kampus Perubatan di Longwood Medical Area manakala Kampus Allston menempatkan Fakulti Perniagaan dan kemudahan sukan termasuk stadium.

Sementara menunggu UM mempunyai kampus baru, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan sistem penyuraian trafik di dalam kampus dan penyusunan jadual acara universiti diurus sebaik-baiknya.

Jika tidak pun menaikkan ranking akademik, sistem trafik yang teratur dan lancar terutama ketika UM dikunjungi pelawat, sudah pasti meletakkan imej universiti itu di tempat yang tinggi di mata orang luar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan di Malaysia lebih baik


Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

Minggu lalu, hampir 100,000 ribu penduduk Sepanyol terdiri daripada pendidik, pelajar pelbagai peringkat dan ibu bapa mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di kota Madrid, Barcelona dan beberapa bandar utama di negara itu bagi membantah tindakan kerajaan memotong dana pendidikan sebagai usaha menyelamatkan negara itu yang dilanda krisis hutang yang turut membelenggu negara-negara Eropah lain.

Kerajaan pusat didakwa mengarahkan sebanyak tiga bilion euro (RM12 bilion) dipotong daripada peruntukan pendidikan pada tahun ini, sebahagian program bagi mengurangkan defisit awam kepada paras yang dipersetujui Kesatuan Eropah (EU), iaitu sebanyak 5.3 peratus daripada produk domestik kasar berbanding 8.9 peratus pada tahun lalu.

Pemotongan itu turut melibatkan langkah menaikkan yuran pengajian di universiti awam sehingga 1,500 euro (RM6,000) daripada 1,000 euro (RM4,000) sebelum ini.

Ekonomi Sepanyol, sekali lagi berdepan ketidakstabilan dan tidak berkembang selama empat tahun sejak 2009, sehingga menyebabkan kadar pengangguran meningkat melebihi 24 peratus, angka tertinggi bagi negara-negara EU.

Tunjuk perasaan tersebut disertai mereka yang terlibat dalam pendidikan awam pelbagai peringkat, daripada prasekolah hingga ke universiti. Guru-guru juga tidak terkecuali.

Menurut kesatuan yang mewakili pendidik, sebanyak 80 peratus guru terlibat dalam perarakan tersebut, namun kementerian berkenaan menafikannya dengan mendakwa hanya 20 peratus yang terlibat.

Seorang guru, Pilar Molto dari Sekolah Tinggi La Paloma, Madrid yang sudah mengajar hampir 34 tahun berkata, tahun ini pihak sekolah kekurangan sebanyak 30 guru kerana kementerian bertindak menggugurkan beberapa kursus dan mengurangkan guru.

Orang ramai mendakwa kerajaan memperuntukkan berbilion euro untuk menyelamatkan syarikat perbankan yang berdepan masalah, sebaliknya memotong peruntukan untuk sektor pendidikan dan perubatan.

Negara tersebut yang memperuntukkan pelaburan besar dalam projek infrastruktur ketika lewat 1990-an hingga 2008, juga dijangka meningkatkan bayaran yuran bagi universiti awam untuk memenuhi sasaran bajet yang ditetapkan.

Guru-guru di negara itu telah mengadakan tunjuk perasaan beberapa kali sejak kebelakangan ini bagi membantah langkah seperti meningkatkan waktu pengajaran dalam seminggu dan memotong waktu persediaan kelas, yang mana dakwa mereka boleh memberi kesan kepada kualiti pendidikan menengah.

Menurut Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi, kelulusan sekolah tinggi di Sepanyol adalah sekitar 74 peratus, berbanding 85 peratus secara purata di kebanyakan negara EU.

Ramai melihat tindakan kerajaan Sepanyol itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana sanggup mengorbankan bidang yang sepatutnya diberi keutamaan, semata-mata bagi menyelamatkan perkara sampingan.

Jika di Sepanyol, kerajaan negara itu bertindak memotong peruntukan untuk bidang pendidikan, di negara kita Malaysia keadaan sebaliknya pula berlaku, apabila kerajaan bertindak terus memberi keutamaan kepada bidang pendidikan dengan menyediakan peruntukan yang besar.

Pada sesi baru persekolahan 2012, menyaksikan kerajaan bertindak memansuhkan yuran pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah yang membabitkan peruntukan bernilai RM150 juta.

Peruntukan sebanyak RM50.2 bilion dalam bajet tahun ini pula diagih-agihkan kepada sektor-sektor dalam pendidikan sebagai usaha memastikan rakyat terus mendapat asas pendidikan yang baik bagi menentukan kejayaan negara pada masa depan.

Sektor pengajian tinggi terus diberi keutamaan dengan menyediakan peruntukan yang besar bagi membina universiti-universiti awam tambahan dan pusat-pusat pengajian tinggi lain dan pusat-pusat latihan dengan menyediakan yuran yang munasabah, agar ia tidak membebankan pelajar.

Selain itu, kemudahan biasiswa yang ditawarkan kerajaan, agensi kerajaan mahu pun syarikat korporat merupakan satu peluang yang seharusnya digunakan sebaik-baik mungkin oleh pelajar dalam mengejar cita-cita mereka.

Bagi pelajar yang gagal memperoleh biasiswa bagi menampung yuran pengajian sama ada di universiti awam mahu pun swasta, kerajaan menyediakan pula kemudahan pinjaman di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan pelajar meneruskan impian mereka untuk melanjutkan pelajaran.

Walaupun mendapat kritikan banyak pihak terutama daripada segi caj pentadbiran yang dikenakan, namun PTPTN dilihat telah banyak membantu pelajar, terutama menyediakan wang pendahuluan, yang dikenali sebagai Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Bagi mereka yang tercicir tidak dapat memasuki institusi pengajian tinggi pula, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan, khusus untuk menyediakan latihan kemahiran.

Berdasarkan bajet dan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan, tidak ada sebab bagi rakyat negara ini ketinggalan untuk mendapatkan pendidikan terbaik dari peringkat prasekolah sehingga pengajian tinggi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Ambil perhatian pengguna Internet!



OLEH : SYAHREDZAN JOHAN

Baru-baru ini, warga Internet di Malaysia ‘memberontak’ akibat pindaan atas Akta Keterangan 1950. Pindaan ini diluluskan Dewan Rakyat pada April dan Dewan Negara pada awal Mei lalu, tetapi belum berkuatkuasakan lagi. Warga  Internet marah kerana pada mereka pindaan ini adalah suatu serangan atas kebebasan mereka di ruang siber.

Di sini terdapat sedikit kekeliruan mengenai apa sebenarnya yang diperkenalkan pindaan ini. Harus diingat, ia tidak mewujudkan apa-apa kesalahan baru. Pindaan itu adalah meminda peraturan keterangan dan pembuktian (rules of evidence).

Akta Keterangan memperuntukkan peraturan dalam memberi keterangan dan juga pembuktian ketika perbicaraan, tidak kira sivil ataupun jenayah. Secara umumnya, pihak yang mengatakan kewujudan sesuatu fakta itu harus  membuktikan fakta yang dikatakan wujud.

Namun, terdapat beberapa tanggapan atau dalam BI, presumptions yang boleh diguna pakai. Tanggapan dalam keterangan adalah peraturan undang-undang yang mana pembuktian sesuatu fakta (dikenali sebagai fakta asas), fakta  berkait dianggap telah dibuktikan. Contohnya, Mahkamah boleh menganggap keesahan sesuatu Warta Kerajaan. Ataupun menganggap sesuatu tindakan kehakiman (judicial act) adalah teratur dan tidak perlu dibuktikan bahawa  tindakan tersebut sememangnya mengikut prosedur.

Peruntukan tanggapan boleh disangkal dengan bukti sebaliknya. Pindaan yang dibuat mewujudkan tiga peruntukan tanggapan baru.

Pertama, dalam sebuah penyiaran, jika ada tertera nama atau gambar yang menggambarkan seseorang itu sebagai pemilik, hos, pentadbir atau penyunting penyiaran tersebut, maka orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran tersebut.

Kedua, jika  terdapat  penyiaran yang dibuat daripada sesuatu perkhidmatan  rangkaian Internet, orang yang melanggan perkhidmatan itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Ketiga, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu  komputer yang dimiliki atau dijaga oleh seseorang, orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Contohnya, jika terdapat sesuatu posting di laman Facebook yang dikatakan menghasut dan ianya dibuat atas nama   seseorang itu, ataupun menggunakan rangkaian yang dilanggan olehnya ataupun menggunakan komputernya, maka orang itu dianggap sebagai pembuat posting tersebut.

Orang yang dituduh itu boleh menyangkal tanggapan itu, tetapi kini beban pembuktian bertukar  kepada yang dituduh untuk membuktikan sebaliknya. Walaupun pindaan ini akan berkuat kuasa ke atas perbicaraan sivil dan jenayah, mengikut hansard persidangan di Dewan Rakyat, tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk mempermudah pendakwaan di dalam kes jenayah. Menurut hansard, ia untuk meringankan beban pembuktian pihak pendakwaan oleh kerana ia kesukaran dalam pembuktian  untuk kes melibatkan  Internet.

Ini bukan sesuatu alasan yang boleh kita terima. Menggunakan metafora perlawanan bola sepak, pindaan ini menukar peraturan kerana satu pasukan sukar menjaringkan gol. Pindaan ini akan lebih membawa keburukan  daripada kebaikan. Ambil contoh mudah; katakan anda lupa logout akaun Twitter yang anda guna di komputer pejabat. Kemudiannya, orang lain menggunakan akaun anda untuk berkicau sesuatu  yang berunsur fitnah.

Bolehkah anda  kemukakan bukti bahawa pada ketika itu, anda tidak menggunakan internet dan tidak mungkin membuat kicauan tersebut? Bolehkah anda ingat dengan terperinci bila anda  menggunakan Internet untuk menyangkal tanggapan itu?  Sukar sekali. Pihak pendakwaan mempunyai kekuatan jentera  kerja untuk membantu mereka.

Siasatan boleh dijalankan sehinggakan butiran terperinci mana-mana pengguna Internet. Tertuduh pula hanya mempunyai  undang-undang  keterangan dan pembuktian, yang diperincikan melalui tradisi undang-undang  sekian lama bagi melindungi haknya untuk dibicarakan dengan adil. Malangnya, pindaan ini akan melucutkan perlindungan ini atas alasan  kesukaran mendakwa.

Penulis ialah seorang peguam muda mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Ahad, 3 Jun 2012

ISU SUKAN : Bijak urus masa tonton EURO 2012


KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta pekerja yang mengikuti perlawanan bola sepak Eropah UEFA 2012 (EURO 2012) menguruskan masa rehat secukupnya bagi mengelak produktiviti kerja mereka menurun.

Ini berikutan, kejohanan edisi ke-14 yang akan membuka tirainya pada 8 Jun hingga 3 Julai depan dilihat mempunyai pengikut ramai termasuk di kalangan pekerja terutama generasi muda.

Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata walaupun semua jadual perlawanan EURO 2012 tahun ini berlangsung awal pagi, namun ia bukan alasan pekerja gagal menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang acara itu berjalan.

Katanya, pengurusan waktu secara bijak serta sesuai perlu dirancang dan diatur bagi membolehkan mereka tidak dibelenggu keletihan berpanjangan sehingga mengganggu kerjaya diamanahkan.

“Apabila tiba musim bola (EURO 2012), kita akan dengar pelbagai kerenah pekerja seperti keletihan, kurangnya produktiviti kerja dan kekerapan mengambil cuti.

“Sebab itu, pengurusan masa (rehat) amat penting bagi mengelak minat (menonton bola sepak)  menjejaskan mutu kerja. Mungkin apabila bola (perlawanan) mula awal pagi, mereka (pekerja) boleh ambil masa rehat atau tidur lebih awal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan dalam sebuah portal semalam yang menjangka produktiviti pekerja secara keseluruhan akan menurun dan memberi kesan kepada mereka yang tidak mengikuti kejohanan itu.

Kejohanan EURO 2012 yang berlangsung di Poland–Ukraine dengan membariskan pemain bola sepak terkemuka dunia dari 16 negara gergasi Eropah akan disiarkan awal pagi iaitu sekitar jam 12 tengah malam dan 2.45 pagi.

Sehubungan itu, Khalid berharap pekerja dapat mengutamakan kerjaya mereka, berbanding minat terhadap bola sepak.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, majikan perlu bersedia berdepan dengan kadar ketidakhadiran tinggi ketika berlangsungnya acara seperti EURO 2012 dan sukan Olimpik sama ada pekerja mengambil cuti sakit atau tidak hadir.

“Jika ramai pekerja mengambil cuti (disebabkan EURO 2012), maka beban kerja tambahan mereka terpaksa diserahkan kepada pekerja lain,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Talian Bantuan Untuk Tangani Masalah Berat Badan


Oleh LIM WEY WEN

PETALING JAYA : Tidak kira sama ada seorang warga emas atau remaja apabila berhadapan dengan isu berat badan, semua akan menerima kesannya.

Ini ditunjukkan oleh maklum balas menerusi talian bantuan untuk pengurusan berat badan yang baru dilancarkan yang melihat pemanggil berusia di bawah 21 tahun sehingga mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut pusat panggilan bantuan itu, lebih separuh daripada pemanggil adalah di bawah 21 tahun dan sekurang-kurangnya 10 orang adalah berusia lebih 60 tahun.

Setakat Jumaat lalu, kira-kira 50 peratus daripada 140 panggilan ke pusat itu merupakan mereka yang mengalami obes manakala 30 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan dan selebihnya dalam berat badan yang normal.

Talian itu diwujudkan oleh Persatuan Farmaseutikal Malaysia bagi membantu menangani peningkatan yang membimbangkan di kalangan bilangan rakyat Malaysia yang obes.

“Kami memantau secara rapi setiap perkembangan program. Kami harap kami dapat melihat sebaik mungkin bagi memberikan perubahan terhadap kelaziman obesity di negara ini,” kata Presidennya, Datuk Nancy Ho.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pada Disember tahun lalu, kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia adalah obes, meningkat 1 peraus sejak 2006 dan hampir separuh daripada orang dewasa rakyat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes.

Ho berkata, program itu memberi bantuan dan kaunseling kepada orang ramai yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes, dengan kombinasi diet, nutrisi, perubahan gaya hidup dan bantuan perubatan sekiranya perlu.

“Kami mempunyai kumpulan yang terdiri daripada ahli farmasi, ahli nutrisi dan pakar diet yang akan membimbing peserta melalui proses secara menyeluruh,” kata beliau, sambil menambah proses itu mengambil masa selama empat bulan.

Beliau berkata, talian itu merupakan pilihan kepada mereka yang mahu untuk tampil ke hadapan bagi mendapat bantuan berhubung isu berat badan.

Talian adalah bebas tol di 1-300-800-373 dan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang, dari Isnin sehingga Jumaat.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SUKAN : Demam EURO 2012 bakal jejas produktiviti pekerja


Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

Kejohanan bola sepak Eropah, sukan Olimpik legakan seketika kehangatan isu pilihan raya

KEJOHANAN bola sepak Eropah atau lebih dikenali sebagai EURO 2012, pertandingan kedua terbesar sukan itu selepas Piala Dunia, akan bermula Sabtu ini. Seperti biasa, Malaysia walaupun sudah lama di tempat tercorot dalam senarai gergasi bola sepak serantau, akan menghadapi ‘demam’ sepanjang tiga minggu kejohanan itu. Dalam kata lain, sebahagian besar rakyat negara ini akan 'tidur bola, makan bola', manakala isteri dan suri rumah yang tidak meminati bola sepak bakal mengeluh kerana terabai untuk sementara waktu. Majikan pula sama ada jabatan awam atau swasta terpaksa menghadapi masalah ponteng kerja, meningkatnya cuti sakit atau pekerja datang lewat.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan produktiviti pekerja sepanjang kejohanan EURO 2012 akan disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen di negara ini. Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, dilaporkan berkata, berdasarkan pengalaman lalu, majikan perlu bersedia menghadapi masalah ponteng kerja atau cuti sakit pada tempoh kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik selepas itu.

“Dua kejohanan itu amat popular di Malaysia dan ramai yang akan menonton siaran secara langsung. Disebabkan perbezaan waktu, kebanyakan siaran langsung itu pada awal pagi dan mereka yang menonton tentunya letih dan mengantuk apabila bekerja selepas itu. Mereka tidak mungkin mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada tugas,” katanya.

Kajian MEF sebelum Piala Dunia 2010 mendapati 120 ahli persatuan itu menjangkakan 14.2 peratus pekerja mereka mengambil cuti sakit, manakala tahap produktiviti jatuh 15.5 peratus.

Dari sudut lain pula, kejohanan EURO 2012 mungkin dapat mengurangkan seketika demam Pilihan Raya Umum Ke-13, yang melanda sejak tahun lalu dan suhunya kian meningkat sekarang. Selepas beberapa ramalan mengenai tarikh Parlimen dibubarkan meleset, beberapa tarikh baru pula diramalkan seperti pada Julai, selepas Aidilfitri atau selepas pembentangan Bajet 2013, yang jatuh pada 28 September.

Pemilihan tarikh pembentangan belanjawan negara lebih awal daripada kebiasaannya itu menimbulkan spekulasi kuat kononnya pilihan raya umum akan diadakan sebelum Ramadan. Jika ini berlaku, bermakna rakyat Malaysia akan menghadapi dua demam serentak iaitu demam pilihan raya umum dan deman EURO 2012 atau Sukan Olimpik yang bermula Julai hingga Ogos.

Secara kebetulan, tiga kejohanan Piala Eropah sebelum ini iaitu pada 1964, 2004 dan 2008 diadakan pada tahun sama Malaysia mengadakan pilihan raya umum.

Sekiranya satu kejohanan sukan itu berlaku serentak dengan tempoh berkempen pilihan raya umum, tumpuan rakyat pastinya terbahagi dua. Walaupun bukan semua rakyat meminati bola sepak atau Olimpik, tidak kurang juga mereka yang sudah bosan dengan politik. Kerana itu, siaran langsung kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik nanti mungkin melegakan mereka yang sudah bosan dengan pelbagai berita politik serta kenyataan dan tingkah laku pemainnya.

Pada masa sama, kehadiran kejohanan sukan popular seperti ini ketika demam pilihan raya umum turut mencabar kebijaksanaan orang politik bagaimana mereka boleh mengalih perhatian rakyat kepada kempen masing-masing.

Kerana itu, kita tidak hairan jika di sepanjang kejohanan EURO 2012 nanti ada ceramah atau kegiatan politik diaturkan serentak dengan acara menonton siaran langsung perlawanan bola sepak terutama di kalangan pengundi muda yang menjadi rebutan parti politik.

Sama ada tempoh berkempen pilihan raya umum nanti serentak dengan EURO 2012 atau tidak, yang pasti perhatian rakyat sepanjang bulan ini tidak lagi tertumpu kepada politik semata-mata. Stesen televisyen dan syarikat penaja mengaturkan pelbagai acara bagi menarik penonton dan meningkatkan jualan produk masing-masing. Seperti sepanjang kejohanan Piala Dunia, EURO 2012 menyediakan pelbagai pesta untuk peminat bola sepak.

Walaupun majikan berdepan dengan kejatuhan produktiviti pekerja, kejohanan sukan seperti ini mampu mengalih perhatian rakyat daripada pertelingkahan politik yang bagaikan tidak berkesudahan untuk sementara waktu.

Sekurang-kurangnya keseronokan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan ketika menyokong pasukan masing-masing dalam suasana penuh ceria nanti, menyedarkan kita politik bukan segala-galanya dalam kehidupan ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/