Rabu, 24 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Elak disaman AES


SEJAK Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan 23 September lalu, pelbagai rungutan dilontarkan pengguna jalan raya kerana sistem ini dilihat seolah-olah membebankan mereka. Malah wujud persepsi kononnya ia antara usaha kerajaan untuk mengatasi defisit perbelanjaan menerusi wang saman yang dibayar pesalah lalu lintas yang dirakam sistem tersebut. Sinar Harian berkesempatan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk mengulas isu ini. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NOOR AZURA SAHRIL bersama jurufoto, AZMI ARYANTO.

Sejak AES dilaksanakan, bagaimana dengan maklum balas yang diterima daripada pengguna jalan raya?

CHO HA: Kami menerima reaksi positif daripada majoriti pengguna jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan kerana tidak gembira dengan sikap buruk pengguna jalan raya di negara ini. Melalui maklum balas itu, tidak ada yang mengatakan AES tidak baik kerana tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.

Tanggapan segelintir pihak, bahawa kelajuan tidak menyebabkan kemalangan adalah tidak benar dan kenyataan itu sama sekali tidak bertanggungjawab. Daripada kajian penyelidikan, kelajuan boleh membunuh. Justeru, dengan adanya AES ini mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.

Kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini. Dan, sistem ini terbukti berjaya di 90 negara di seluruh dunia dengan berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus.

Bagaimana AES itu dikatakan mendidik pengguna jalan raya?

CHO HA: Sistem ini memberi satu gambaran dan persepsi kepada pengguna jalan raya bahawa mereka diperhatikan oleh penguat kuasa, walaupun dilakukan secara automatik dengan penggunaan kamera. Ini mewujudkan perception of being caught kepada pengguna. Sekiranya mereka tidak berwaspada, mereka akan kena tindakan. Oleh itu, pengguna akan mematuhi had kelajuan dan tidak lagi melanggar peraturan lalu lintas.

Kerajaan bukan mahu menghukum rakyat atau sengaja mengenakan denda, tetapi mahu menerapkan disiplin kepada pengguna jalan raya. Apabila berlaku kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kemalangan maut pada setiap hari, rakyat tertanya-tanya apakah yang kerajaan buat untuk mengatasinya.

Oleh itu, kerajaan sudah mengkaji keberkesanan sistem ini seperti dilaksanakan di negara lain dan ternyata sistem ini mampu menurunkan kadar kemalangan biasa dan maut. Kerajaan sentiasa telus dalam melaksanakan sistem tersebut tanpa mempunyai niat tersirat mengambil duit rakyat dengan cara mudah.

Kerajaan kerugian RM10 juta setahun akibat kemalangan maut. Adakah dengan pelaksanaan AES ini dapat mengurangkan kadar kerugian tersebut dengan pengurangan kemalangan maut?

CHO HA: Setiap kali berlaku kemalangan maut, negara kehilangan tenaga kerja yang terdiri daripada kalangan profesional dan ini merugikan negara. Selain itu kemalangan juga memberi kesan kepada keluarga mangsa terlibat yang lumpuh atau menjadi orang kurang upaya (OKU). Keluarga akan hilang punca pendapatan.

Dengan langkah kerajaan menguatkuasakan AES, kemalangan maut dapat dikurangkan sekali gus membantu mengurangkan kerugian. Oleh itu, mengapa perlunya AES dibantah, sedangkan ia baik untuk dilaksanakan.

Segelintir pihak berpandangan had laju di beberapa di lokasi pemasangan AES dikatakan tidak bersesuaian. Komen Datuk?

CHO HA: Had kelajuan di jalan raya telah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), dan ia tiada boleh sewenang-wenangnya dipersoalkan. Pemasangan AES di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam berpotensi mengurangkan kadar kemalangan maut di kawasan tersebut.

Keseluruhannya, 831 AES akan dipasang di seluruh negara dan bagi fasa pertama, 14 buah buah telah dipasang. Bilakah baki selebihnya akan berkuat kuasa?

CHO HA: Mengenai 817 lagi lokasi hitam kemalangan yang bakal dilengkapi sistem tersebut ia akan ditentukan oleh polis dan pihaknya hanya akan membuat perubahan jika kawasan tersebut tidak lagi dilabel sebagai hitam. Kementerian Pengangkutan masih lagi mengkaji senarai itu yang dicadangkan polis dan belum ada keputusan muktamad mengenainya lagi. Kemungkinan berlaku perubahan bergantung kepada infrastruktur jalan dan sebagainya dalam tempoh 18 bulan sebelum dipasang.

Maklum balas daripada orang ramai, kurang publisiti dan pendedahan mengenai pelaksanaan AES menyebabkan pengguna jalan raya tidak jelas mengenai sistem ini?

CHO HA: Kementerian dan agensi yang terlibat sentiasa menghebahkannya melalui media massa sama ada media cetak, radio dan televisyen. Hebahan mengenai pemasangan sistem ini juga diiklankan dalam semua jenis akhbar jadi tidak timbul isu kerajaan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan umum.

Malahan pemimpin politik juga berulang kali sering kali bertanyakan mengenai AES ini di sejak dua tiga tahun kebelakangan ini di Parlimen dan dijawab secara bertulis dan lisan oleh Kementerian sebelum ia dilaksanakan oleh Kerajaan.

Tidak munasabah sekiranya orang ramai masih tidak mengetahui kewujudan sistem ini. Bahkan maklumat berhubung kawasan serta jumlah bilangan kamera yang dipasang sentiasa dihebahkan, malah pengguna jalan raya juga diberi amaran menerusi papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran. Usaha kerajaan yang bertujuan selamatkan nyawa manusia ini seharusnya mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja pengguna jalan raya malah ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Adakah wujud pertindihan tugas dengan adanya AES yang dikuatkuasakan oleh JPJ?

CHO HA: Soal pertindihan tugas tidak berlaku kerana setiap agensi penguatkuasaan mempunyai hak untuk menjalankan tugas mengikut bidang masing-masing dan setiap agensi juga menjalankan penguatkuasaan dengan berlainan kesalahan.

Dakwaan segelintir pihak, pelaksanaan sistem ini akan menguntungkan kroni. Komen Datuk?

CHO HA: Syarikat konsesi tersebut hanya mendapat keuntungan jika ramai pengguna jalan raya disaman dan kerajaan juga tidak membayar sebarang sewa peralatan atau yuran penyelenggaraan kepada syarikat konsesi yang dilantik itu.

Oleh itu, pengguna jalan raya seharusnya tidak memberi peluang kepada syarikat konsesi AES membuat untung menerusi kesalahan-kesalahan di jalan raya. Ia hanya dapat dilakukan sekiranya semua pengguna lebuh raya mematuhi had laju yang ditetapkan di atas jalan raya dan tidak melanggar arahan-arahan lampu isyarat.

Apakah harapan kerajaan dengan pelaksanaan sistem ini?

CHO HA: Secara keseluruhannya, orang ramai menerima dan hanya segelintir pihak cuba mempermainkan isu ini dengan memutar belit untuk mengelirukan rakyat.

Ahli politik seharusnya tidak menjadikan usaha kerajaan ini sebagai permainan politik mereka. Jangan hanya kerana permainan politik, mereka sanggup menggadaikan sistem yang baik ini untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa menjadi mangsa.

Usaha ini perlu dilihat lebih positif oleh orang ramai. Apabila pengguna patuh kepada peraturan lalu lintas, mereka akan menjadi lebih berdisiplin dan akhirnya matlamat pelaksanaan AES ini akan tercapai.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA


Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Presiden Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

     Peranan signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.

     Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

     Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan dengan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan anak-anak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

     Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

     Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

   Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

ISU AGAMA : Hayati makna peristiwa korban


Pandangan IKIM

HARI Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.

Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya: “"Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.

Perkara  Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan: “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya: "“Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku."

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri?

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.

Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana Allah yakni, bagi mendapat keredaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan: “Isteri jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Antara sikap terhegeh-hegeh dengan tergesa-gesa


 Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

SIKAP terhegeh-hegeh dan tergesa-gesa dalam menjalankan kewajipan atau tugasan akan menjejaskan produktiviti kerja dan membantutkan segala kegiatan.

Terhegeh-hegeh yang selari dengan sikap berlengah adalah sikap yang sering diamalkan dalam kalangan masyarakat hari ini yang suka membuang masa dan melambat-lambatkan kerja dengan menunggu waktu terakhir untuk membuat sesuatu kerja atau keputusan.

Masalahnya nanti, bukan orang yang berlengah menerima akibatnya, tetapi orang yang menunggu menjadi mangsa kerana penat menunggu seperti menunggu buah tak masak gugur!

Tergesa-gesa pun satu sikap menyebabkan hidup menjadi kelam-kabut dan sentiasa merasa bimbang tidak bertempat, berasa tidak tenteram kerana asyik hendak cepat yang akhirnya hasil kerja tidaklah sebaik mana jika terlalu hendak menjadi terawal. Pelbagai penyakit pula akan menyerang satu badan kerana tekanan mental memikirkan hendak siapkan semua tetapi badan tidak mampu melakukannya.

Di jalan raya saja kita boleh melihat ramai yang memandu dalam keadaan terhegeh-hegeh dengan mengambil sikap tidak peduli dengan kenderaan lain apabila tiba-tiba memotong laluan atau yang tidak dapat membuat keputusan ke mana arah yang hendak dituju.

Kita bukanlah meminta pemandu memandu dengan laju. Tetapi kesabaran akan hilang apabila melihat kenderaan yang dipandu terhegeh-hegeh tidak memberi isyarat untuk memotong dan yang tergesa-gesa pula memberi isyarat terlalu cepat sehingga tidak tahu ke mana laluan yang hendak dituju.

Kita sedia maklum berhati-hati di jalan raya amat penting dan sentiasa menumpukan perhatian sepenuhnya semasa memandu. Maka dalam hal ini, kemalangan boleh dielak dengan mempunyai sikap bersederhana di jalan raya. Jangan memandu terlalu lambat dan memandu di laluan yang salah.

Pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan seperti Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran serta penguatkuasaan dilakukan namun angka kematian akibat jalan raya sentiasa meningkat.

Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain menjadi punca berlakunya peningkatan kemalangan.

Jika ditinjau keadaan di pejabat pula dan di mana sahaja tempat kita bekerja, sikap lambat dan terhegeh-hegeh merupakan amalan yang tidak baik. Contohnya, pelanggan beratur panjang menunggu giliran tetapi segelintir pekerja seperti tidak mahu melayan dan bersikap acuh tak acuh. Pekerja ini kelihatan bersikap terlalu tenang sehingga mengundang rasa tidak puas hati pelanggan.

Menurut Jasmine yang bekerja di sebuah syarikat swasta yang baru pulang dari luar negara, sikap rakan sekerja yang terlalu terhegeh-hegeh menyebabkan dia hilang sabar. Katanya, dia boleh menyusun sepuluh kotak di bilik stor berbanding dengan rakan lelaki yang baru menyusun tiga kotak. Namun itulah lumrah yang berlaku di pejabatnya menyebabkan dia menerima keadaan itu dan akhirnya mula mengikut momentum di pejabat dan semuanya menjadi perlahan.

Bagaimana pula momentum kerja di jabatan kerajaan pula? Kakitangan kerajaan harus sedar bahawa sektor kerajaan merupakan sektor perkhidmatan kerana bertanggungjawab memberi perkhidmatan kepada rakyat. Mereka seharusnya mengambil perhatian terhadap aduan serta cadangan orang ramai kerana mereka menjadi penyumbang kepada hasil kerajaan melalui bayaran cukai dan sektor yang proaktif dalam pembangunan negara.

Pelajar-pelajar di sekolah rendah, menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) suka menunggu saat-saat akhir untuk menyelesaikan tugasan kerana dikatakan lebih banyak idea dan keadaan yang mendesak itulah yang memberi inspirasi menyiapkan kerja.

Pelajar-pelajar yang menempuh peperiksaan juga suka menunggu saat-saat terakhir untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka mendakwa, lebih bersemangat di saat sebegini. Bukankah perbuatan ini nampak tergesa-gesa sehingga sanggup minum ubat batuk untuk mendapat kecergasan di saat akhir untuk mendapat ilham belajar. Mereka mengatakan, boleh tahan tidak tidur dua atau tiga hari. Selepas ketagih ubat batuk yang harganya mencecah RM150, akhirnya badan menjadi lesu dan wang pun habis.

Kes terbaru dengan modal RM6, pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dikesan mencipta 'formula lalok' dengan mencampurkan ubat batuk dan sejenis pil kononnya sebagai minuman kesihatan tambahan untuk kecerdasan badan dan otak. Tindakan yang tergesa-gesa ini mengundang maut jika diambil secara berlebihan selain menyebabkan kerosakan paru-paru, hati, sistem penghadaman, buah pinggang, otot badan mengecut dan berat badan menurun secara mengejut.

Bercakap tentang makan pula, semestinya kita digalakkan makan dalam keadaan beradab dan perlahan tetapi jika makan sehingga berjam-jam lamanya, ini akan menjejaskan kerja manakala makan dalam keadaan tergesa-gesa memang tidak digalakkan dan membawa kepada masalah tercekik, sistem penghadaman terbantut dan sebagainya.

Jika makan dalam keadaan yang tidak berselera juga menyebabkan orang marah kerana nampak seperti tidak menghargai rezeki manakala waktu makan yang dilengahkan kerana sibuk bekerja juga tidak baik kerana boleh menyebabkan penyakit gastrik, ulser perut dan sebagainya.

Terhegeh-hegeh dan tergesa-gesa di sini adalah sindrom kepada sikap manusia. Sikap yang terlalu berlengah pun tidak baik dan terlalu tergesa-gesa pula membawa musibah jika tidak dikawal.

Maka, dua perkataan ini perlu diletakkan satu tiang di tengahnya iaitu 'bersederhana'. Sederhana dalam setiap gerak laku dan kerja di mana sahaja kita berada kerana yang sederhana itulah ungkapan terindah yang perlu diamalkan dalam kehidupan kita. Masa itu emas dan kitalah yang mengawalnya untuk menentukan setiap detiknya. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sumber : http : /www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Memperbaiki kekurangan diri


Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
          
BAGAIMANA agaknya komunikasi secara efektif antara ibu bapa dan anak?

Kaedah komunikasi ini ternyata boleh membantu namun apa yang penting, ia perlu difahami dan dipraktikkan secara konsisten.

Kebiasaannya budaya berkomunikasi di rumah mungkin hanya membabitkan arahan daripada ibu bapa sedangkan si anak hanya mendengar tanpa diberi peluang meluahkan pandangan sendiri.

Lama-kelamaan, tidak mustahil ia hanya meningkatkan jurang perhubungan antara ibu bapa dan anak di rumah. Apapun belum terlambat kerana ia boleh dibendung sejak awal lagi.

Menurut Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, kebanyakan ibu bapa berasa mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi yang bagus dengan anak, tetapi ternyata kesibukan kerjaya adakalanya membuatkan komunikasi kian berkurangan.

Komunikasi bukan saja mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh anak kerana jika itu yang berlaku, ia boleh dianggap membesarkan anak secara ‘diktator’.

Malah, jika ibu bapa terlalu melindungi anak, ia juga boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik terhadap perkembangan keyakinan diri anak.

“Bayangkan dengan menetapkan setiap perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan anak, kebolehupayaan kendiri serta perkembangan mental dan fizikal si anak juga akan tersekat.

“Ibu bapa perlu menetapkan had untuk perkara terbabit, bukan ‘melaksanakan’ semua perkara hingga mengongkong kebolehan anak untuk berkembang,” katanya ditemui, baru-baru ini.

Selain itu, kesibukan kerjaya ibu dan ayah juga adakalanya turut memberikan kesan kepada bentuk komunikasi di rumah.

Dr Nor Hamidah berkata, disebabkan faktor ini juga masa anak lebih banyak terluang bersama pembantu rumah atau di pusat jagaan harian hinggakan hubungan yang seharusnya erat terjalin antara ahli keluarga seolah-olah ada jurang pemisah.

“Walaupun ibu bapa berada di rumah, anak ini lebih gemar menyendiri dan melakukan hal masing-masing kerana bagi mereka sudah bersua muka pun sudah memadai.

“Untuk mengelakkan keadaan ini bertambah parah, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengeratkan kembali hubungan antara mereka sebelum terlambat,” katanya.

Menurutnya, tidak kiralah berkomunikasi dengan sesiapa saja termasuk dengan anak sendiri, ia sememangnya memerlukan teknik dan cara yang betul.

Hal ini penting agar nasihat serta pesanan ibu bapa itu dapat diterima dengan baik oleh si anak.

Malah, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengenal diri sendiri serta memperbaiki kekurangan yang ada ketika berkomunikasi dengan anak remaja.

“Kebiasaannya masalah dalam berkomunikasi berlaku disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan si anak. Justeru, tingkatkan kemampuan dan cuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.

“Perasaan juga memainkan peranan penting ketika berkomunikasi. Ini kerana jika kita gembira, ia akan memudahkan sesiapa saja untuk berbicara atau meluahkan perasaan,” katanya.

Bagi memastikan hubungan kekeluargaan itu kekal erat sepanjang masa, si ibu perlu memainkan peranan sebagai ‘duta pengaman’ dan mencari jalan untuk memupuk dan mengisi kembali kekosongan dalam perhubungan sesama ahli keluarga.

Ini kerana lebih daripada 90 peratus individu lebih dekat dengan ibu mereka berbanding si ayah. Gerak hati dan kasih sayang ditonjolkan ibu lazimnya lebih lembut dan mesra sekali gus memberikan rasa selamat kepada anak.

“Walaupun tidak dinafikan golongan ibu kini ramai yang berkerjaya, kesibukan kerja tidak membataskan perhubungan mereka dengan si anak.

“Mereka perlu membuka ruang untuk terus memupuk semangat kekeluargaan dan mengeratkan kembali perhubungan dalam pelbagai situasi,” katanya.

Terdapat beberapa cara berkomunikasi dengan anak untuk membina bentuk komunikasi berkesan tanpa mengira peringkat usia anak. Antaranya:

Jadi pendengar yang baik

Cuba menjadi pendengar yang teliti terutama dalam apa yang ingin diperkatakan si anak. Ia amat penting kerana si anak akan bercerita melalui perspektif mereka.

Pada saat ini, ibu bapa perlu berhenti menilai serta menunjukkan rasa hormat dan minat dalam apa yang ingin disampaikan dalam perbualan.

Ini juga akan membuatkan si anak bersedia meluahkan perasaan mereka dan secara tidak langsung mencambah kepercayaan mereka terhadap ibu bapa.

Elak daripada menggunakan perkataan yang menjatuhkan air muka anak-anak kerana ia boleh menyebabkan anak berasa tidak selamat, tidak disayangi, marah atau terancam.

Beri peluang kepada anak untuk bercakap dan meluahkan perasaan. Apabila mereka bercakap, ibu bapa mestilah mendengar dengan penuh minat.

Jangan timbulkan rasa prejudis terhadap anak. Sentiasa bersangka baik.

Sentiasa wujudkan suasana anak boleh mempercayai kita, begitu juga sebaliknya.

Sentiasa memberinya galakan dan rangsangan untuk berjaya.

Berilah nasihat dan teguran membina dan tidak menjatuhkan maruah anak itu.

Teguran atau pujian perlu diarahkan kepada perbuatan dan bukan personaliti mereka.

Usah membanding-bandingkan si anak dengan individu lain. Ia boleh menyebabkan rasa rendah diri.


Tip untuk berkomunikasi dengan anak remaja:
  • Wujudkan suasana menyeronokkan dan menarik dalam perbincangan 
  • Sentiasa konsisten dalam apa-apa  yang diperkatakan.
  • Sentiasa positif apabila berurusan dengan mereka.
  • Buat pertimbangan terhadap apa-apa  yang anak inginkan sebelum mengatakan ‘tidak’ kepada mereka.
  • Tunjukkan rasa minat atau mengambil berat dalam kerja sekolah dan rakan mereka.
  • Tingkatkan keyakinan diri mereka dan sentiasa memberi semangat atau motivasi pada diri mereka.
  • Jangan terlalu menunjukkan atau menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa.
  • Ibu bapa juga perlu belajar bertolak ansur dengan perubahan persekitaran anak.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Selasa, 23 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Berintegritikah rakyat Malaysia?


Oleh : Akhbar Satar

Strategi atasi masalah ketelusan perlu dicari

Beberapa hari selepas peristiwa 11 September 2001 di World Trade Center, seorang anggota bomba New York menemui sebuah bekas habuk rokok yang mempunyai logo sebuah syarikat di bawah runtuhan bangunan. Beliau terus mengembalikannya kepada tuan punya. Ia mendapat liputan meluas di Amerika Syarikat.

Di Los Angeles, seorang pemandu teksi, Adam Woldemarim diberikan ganjaran sebanyak AS$2,000 (RM6,148) oleh pemilik wang tunai berjumlah AS$221,510 (RM680,927) selepas wang yang disimpan di dalam sebuah beg komputer riba tertinggal di dalam teksinya.

Sementara di Thailand, seorang pemandu teksi memulangkan 8.2 kilogram perhiasan emas bernilai AS$410,000 (RM1.2 juta) kepada pemiliknya selepas tertinggal di dalam teksinya. Pemilik wang memberikan pemandu teksi itu emas bernilai AS$6,400 (RM19,200) sebagai ganjaran. Semua insiden ini membabitkan integriti seseorang yang patut dicontohi dan diamalkan.

Penulis cuba mencari maklumat seperti ini di Malaysia malangnya, tiada dan kalau adapun hanya membabitkan nilai yang kecil.

Jika kita merujuk kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), integriti bermaksud kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Integriti dipengaruhi oleh faktor sekeliling dan adalah garis panduan, penanda aras, titik rujukan atau matlamat yang digunakan untuk membuat keputusan yang bergantung kepada ketepatan dan kejujuran. Oleh yang demikian, penghayatan integriti juga adalah sejajar tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menghayati akhlak mulia seperti diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Isu integriti bukan hanya rasuah

Perlu kita ingat, isu integriti bukan hanya berfokus kepada isu rasuah, malah ia adalah konsep yang lebih besar. Amalan budaya kerja menuntut integriti merangkumi ketepatan waktu, kerahsiaan dan penyampaian maklumat, memberi perkhidmatan, perhubungan dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan sebagainya.

Jika diteliti lebih mendalam, kita dapati seseorang yang terbabit dalam rasuah, penipuan atau jenayah, biasanya bermula daripada perbuatan tidak berintegriti dalam isu kecil. Orang yang tidak berintegriti membolehkan mereka terjerumus dalam kes lebih besar seperti rasuah, pecah amanah, menipu atau menggelapkan wang syarikat.

Bayangkan seseorang pekerja yang menunjukkan mereka berkerja keras di depan bosnya, tetapi apabila bos tiada, akan menghilang atau tidak berada di tempat masing-masing. Ada dalam kalangan bos pula yang menyalahgunakan masa untuk membuat kerja peribadi. Kepemimpinan sepatutnya melalui teladan.

Setiap pekerja haruslah bergerak di atas landasan yang betul sebagai prasyarat bagi menjayakan budaya kerja cemerlang, mempunyai komitmen, memiliki kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang. Kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas mengikut kehendak organisasi dan mengetepikan kepentingan lain khususnya kepentingan peribadi.

Di luar negara, tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU) digunakan oleh orang yang berhak saja dan perkara ini jarang berlaku di negara kita. Seseorang boleh membeli akhbar yang disediakan di tempat awam dengan memasukkan wang ke dalam peti yang disediakan dan mereka hanya mengambil senaskhah surat khabar.

Ramai yang tak berintegriti

Penulis berpendapat cara ini masih tidak boleh dilaksanakan di sini kerana kemungkinan pembeli mengambil lebih daripada satu naskhah adalah besar. Sebagai contoh surat khabar yang diedarkan secara percuma, masih ada orang yang mengambil lebih daripada satu naskhah, padahal mereka perlu senaskhah saja untuk dibaca. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak berintegriti.

Justeru, penulis berharap pemberian baucar RM250 kepada pelajar kolej untuk membeli buku, tidak disalahgunakan dengan membeli barangan lain dan mengambil resit palsu daripada kedai tertentu. Integriti tidak hanya perlu dimiliki oleh penerima baucar, tetapi juga oleh pemilik kedai buku. Begitu juga dengan pemberian RM200 kepada remaja yang tidak bekerja, pemantauan sebaik baiknya perlu dilakukan agar ia tidak disalahgunakan untuk membeli barangan yang tidak berfaedah atau disalahgunakan oleh penagih dadah.

Cari kaedah terbaik

Pihak berwajib perlu mencari strategi bagi mengatasi masalah integriti. Sekadar memberi ceramah, penulis rasa ia kurang berkesan dan tidak lagi relevan pada masa kini. Kaedah terbaik dan sesuai perlu dicari untuk menerapkan nilai murni terutama kepada generasi Y yang mempunyai fikiran yang berbeza dengan generasi sebelumnya, memandangkan golongan inilah yang akan menjadi peneraju negara pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kita perlu ingat sebaik mana pun sistem yang diwujudkan, jika orang yang melaksanakan sistem itu tidak berintegriti, sistem tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja


KUALA LUMPUR : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang lengkap, akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya yang berupaya membawa anjakan besar terhadap sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menghargai cadangan dan pandangan yang dikemukakan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah itu kerana semua pihak termasuk peringkat tertinggi yang menanungi rakyat perlu terlibat secara langsung dalam pelan itu.

"Saya hargai cadangan baginda. Harapan kita agar Raja-Raja memberi perkanan kepada pelan ini. Kita akan buat satu persembahan kepada Raja-Raja kalau itu diperkenankan nanti untuk taklimat mengenai apakah yang terkandung dalam PPPM yang disediakan ini," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012 'Pendidikan di Malaysia Melangkaui 2020' dan menyampaikan watikah pelantikan pengetua cemerlang baharu kepada 112 penerima.

Ketika merasmikan konvensyen itu semalam, Raja Dr Nazrin menyarankan supaya kerajaan mengemukakan PPPM pada Persidangan Majlis Raja-Raja agar ia mendapat perkenan sebelum dilaksanakan nanti.

"Bagaimanapun, sama ada ia dijadikan sebahagian manifesto atau tidak, dokumen itu akan tetap menjadi dokumen awam dan kita akan laksanakan untuk kepentingan negara. Ia akan bermula pada 2013 dan kita tidak boleh simpan terlalu lama," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai MCA yang menolak cadangan di dalam PPPM untuk melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Muhyiddin berkata MCA perlu meneliti cadangan yang terkandung di dalam pelan itu.

Pelaksanaannya bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014. Ia membawa kebaikan kepada pelajar berbangsa Cina dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu, katanya.

"Saya terima laporan daripada MCA, kalau mereka tidak setuju kita akan ikut pandangan mereka, tengok dulu kandungan (cadangan itu), jika susah bagi mereka, maka okay, kita akan teruskan dengan kelas peralihan.

"Jika mereka masih tidak mahu, okay juga, kita tidak paksa jika mereka mahuanak mereka kurang menguasai Bahasa Melayu, bukan ada niat politik tetapi kitamahu anak-anak Cina baik Bahasa Melayu mereka seperti orang Melayu," katabeliau.

Muhyiddin berkata cadangan itu adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu tanpa menjejaskan bahasa ibunda murid-murid di SJKC dan SJK Tamil kerana pencapaian Bahasa Melayu di antara SK dan SJK agak jauh.

Beliau berkata sekiranya ia dapat dicapai, murid itu tidak perlu lagike kelas peralihan selama setahun dan ia dapat menjimatkan masa.

"Cadangan kita ialah masuk ke darjah empat, lima dan enam kita akan tingkatkan standard Bahasa Melayu, berikan latihan yang lebih baik supaya setanding. Ada istilah yang digunakan di SK ada tetapi SJK tak ada. Jadi kita akan tingkatkan dari segi perkataan dan tatabahasa," katanya.

Mengenai anjakan kelima di dalam PPPM bahawa pengetua dan guru besar cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan miskin bandar bagi meningkatkan prestasi sekolah, beliau berkata ia bagi menguji kecemerlangan selain memberikan cabaran kepada mereka sama ada mereka mampu melakukannya atau tidak.

"Saya percaya mereka kompeten, ia adil, jangan pengetua terbaik ke sekolah terbaik, kita nak uji kecemerlangan mereka dan hantar mereka ke sekolah yang kurang cemerlang dan lihat sama ada mereka boleh menjadikan sekolah itu lebih baik atau tidak," katanya. - BERNAMA