Khamis, 20 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : 1,398 calon peroleh semua A


Oleh : MOHD. FAIRUZ YUSOF

KUANTAN 19 Dis. - Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini merupakan pencapaian terbaik negeri ini dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Pahang, Hashim Mohd. Zayat berkata, pencapaian tersebut berdasarkan kepada Gred Purata Negeri (GPN) dengan mencatatkan 2.64 mata berbanding pada 2011 iaitu 2.65 mata dan 2010 (2.66)

Tambahnya, daripada 25,686 calon yang mendaftar, sebanyak 1,398 calon mendapat semua A, manakala 15,850 pula berjaya menguasai semua mata pelajaran.

"Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 0.05 peratus tahun lalu kepada 0.04 peratus tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hashim berkata, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) turut mencatatkan peningkatan kecuali Bahasa Inggeris, Sains, Bahasa Tamil dan Pendidikan Islam.

Tambahnya, prestasi Bahasa Melayu bagi gred A menunjukkan peningkatan sebanyak 1.40 peratus dari 29.32 peratus pada tahun lalu kepada 30.72 peratus tahun ini.

"Calon yang tidak menguasai mata pelajaran ini ialah 4.79 peratus bertambah baik berbanding tahun lalu iaitu 5.53 peratus turun sebanyak 0.74 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 11 daripada 22 Sekolah Rancangan Khas (SRK) di negeri ini mendapat keputusan 100 peratus berasaskan Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP) yang mana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini muncul sebagai sekolah terbaik tahun ini.

Katanya, empat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) turut mendapat keputusan MSMP 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

"Sekolah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah, Raub; Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan; SMS Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dan SBPI Kuantan," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Pupusnya seni menulis surat



Oleh : Johan Jaaffar
 
Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya pada tahun 70-an, saya sering menulis surat kepada ayah. Surat itu akan ditulis di atas kertas writing pad berwarna warni. Saya akan memulakannya dengan cara ini: “Adapun pada masa anakanda menulis surat ini anakanda berada dalam keadaan sihat dan sejahtera dan diharapkan ayahanda dan bonda serta keluarga berlebih-lebih lagi hendaknya.”

Tujuan saya menulis surat itu semata-mata untuk memberitahu bahawa saya tidak dapat pulang ke kampung sewaktu cuti penggal universiti. Ayah buta huruf. Surat dalam tulisan jawi itu akan dibacakan pada beliau. Bagi generasi hari ini, surat seumpama itu terasa janggal dan pelik. Bahasa yang digunakan terlalu formal, menyerupai bahasa istana.

Itulah adab menulis surat dan budaya berbahasa kepada orang tua. Pada zaman sebelum wujudnya sistem pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook dan Twitter, itulah kaedah perhubungan di antara manusia. Apa yang lebih penting ialah wujudnya peraturan dan hukum hakam yang tertentu dalam melakukannya. Ia tidak boleh dibuat secara semberono kerana apa yang ditulis melambangkan akhlak dan peribadi si penulis.

Dalam budaya Melayu seni menulis surat ini cukup dihargai. Sejak sekian lama seni menyurat menjadi sebahagian daripada tradisi bangga orang Melayu. Raja-raja Melayu, ketua masyarakat, sasterawan dan seniman hingga rakyat biasa berkomunikasi dengan cara itu. Surat yang diterima itu akan ditelaah dan kemudiannya disimpan sebagai khazanah berharga. Surat-surat ini menjadi rekod peribadi yang sangat bermakna.

Teknologi komunikasi, maklumat

Dunia telah diubah oleh teknologi komunikasi dan maklumat. Sewaktu saya masuk ke universiti pada tahun 1974, rumah saya di kampung tidak ada telefon. Telefon bimbit hanya muncul 18 tahun kemudian. Sepuluh tahun yang lalu kita mengenal SMS. Hari ini manusia tidak dapat hidup tanpa telefon bimbit dan perhubungan sesama manusia mengambil dimensi yang lain. Kaedahnya bukan sahaja cepat dan ringkas tetapi juga canggih dan menarik. Anak saya di luar negara hanya perlu menulis “Ayah, tolong hantar wang” tanpa perlu memulakan mukadimah panjang seperti yang pernah saya lakukan.

Mesej yang dihantar melalui teknologi komunikasi baru ini penuh singkatan, nombor dan gambar. Ahli bahasa menjadi cemas kerana bentuk formal bahasa telah turut dicabar. Struktur komunikasi bukan formal dalam SMS dan emel kini terbawa-bawa ke dalam bahasa formal. Para guru mengadu pelajar di sekolah menulis karangan dan membuat ayat dalam bahasa bukan formal yang biasa mereka gunakan dalam berkomunikasi melalui alat komunikasi pintar. Ahli bahasa melihat kelahiran bentuk linguistik yang lebih menyerupai centaur (makhluk separuh haiwan separuh manusia dalam mitos lama) di alam maya – tidak lagi formal, mengenepikan sintaksis malah nahu. Proses sosialisasi juga telah berubah. Cara formal saya menulis surat tidak lagi relevan.

Dunia percintaan juga mengambil bentuk baru dalam alam siber ini. Surat-surat buat kekasih yang satu masa dahulu sebahagian daripada tradisi menyurat yang indah dan unik juga sudah berkubur. Satu waktu dahulu orang berkenalan di kolum ‘Kembang Setaman’ dan ‘Sahabat Pena’ di akhbar dan majalah lalu menulis surat sesama mereka. Entah berapa banyak perkahwinan berakibat daripada ruangan sedemikian. Cinta melalui surat kini menjadi cinta siber.

Pupus satu tradisi cerdik, indah

Pada hari ini segala-galanya diringkaskan. Manusia hidup dengan simbol, imej dan icon. Maka pupuslah satu tradisi cerdik dan indah yang menghubungkan sesama manusia. Surat-surat ini bukti kebijaksanaan manusia menggunakan bahasa yang indah dan berkualiti tinggi. Bayangkan surat-surat karyawan besar dunia yang menampakkan bukan sahaja percikan genius mereka tetapi juga ketekunan mengarang dan penggunaan bahasa yang indah. Banyak daripada sasterawan besar dunia yang dikenal bukan sahaja melalui karya-karya mereka tetapi juga surat-surat yang mereka tulis.

Terlalu banyak surat menyurat di antara karyawan besar kita sendiri yang nampaknya akan tinggal dalam koleksi peribadi atau tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Banyak lagi koleksi surat peribadi pemimpin Melayu yang mungkin terdapat di Arkib Negara Malaysia. Entah sekian ribu surat-surat peribadi yang merakamkan rasa cinta, kecewa, marah, gembira dan ceria sasterawan Melayu yang akan ditemui lagi.

Sasterawan muda hari merakamkan perasaan mereka melalui SMS, Facebook, blog, emel dan lain-lain juga.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan baru-baru ini menerbitkan koleksi Menyurat Kepada Sahabat yang memuatkan surat-surat peribadi beliau dari tahun 1975 hingga 2002. Saya berharap Anwar masih lagi menulis surat kepada sahabat-sahabatnya sampai ke hari ini. 

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 19 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Calon OKU cipta kejutan, peroleh keputusan cemerlang PMR 2012


KUALA LUMPUR - Kecacatan yang ada pada diri pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) tidak sesekali menjadi penghalang buat insan istimewa ini untuk mencipta kejayaan sekali gus memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.
  
Malah, atas kegigihan, ketabahan dan semangat jitu dalam mengharungi kepayahan memperoleh ilmu akhirnya pelajar OKU ini membuktikan kemampuan diri untuk 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan pelajar lain.
  
Teh Yong Shing, 17, seorang pelajar yang cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak merupakan calon tunggal dari 23 calon di sekolah itu yang memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.
  
Teh anak seorang pemandu lori, ketika dihubungi Bernama jelas terkejut dengan keputusan yang diperolehnya itu dan bersyukur serta berterima kasih kepada keluarga, guru dan rakan sekolah yang banyak membantu.
  
"Pagi tadi, cikgu ada telefon dan saya agak terkejut. Tapi saya tidak boleh ke Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan itu kerana ayah saya bekerja bawa lori dan tiada siapa boleh hantar saya," katanya yang tinggal di Seremban dan bercita-cita menjadi pensyarah.

Jelas anak bongsu daripada enam beradik itu, beliau tetap menguatkan semangat untuk membuktikan yang kejayaan boleh hadir dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa menghiraukan kekurangan dirinya.
  
Di GEORGE TOWN, Chew Sui Teng, 15, yang juga pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St. George berjaya memperoleh 6A 1B dalam peperiksaan PMR kali ini.
  
"Saya berasa sangat gembira dan keputusan yang diterima hari ini melebihi sasaran saya. Saya tidak menjangkakan keputusan sebegini dan saya bersyukur," katanya ketika ditemui semasa mengambil keputusan peperiksaan di sekolahnya.
  
Katanya sebagai seorang pelajar OKU, beliau perlu berusaha dua kali ganda berbanding pelajar normal dengan melakukan banyak latih tubi dan ulang kaji.
  
Dua lagi calon Berkeperluan Khas (CBK) di Pulau Pinang iaitu Neoh Xin Ee dari Sekolah St George dan Khor Wei Quan yang rabun, masing-masing berjaya memperoleh keputusan 7A dan 7A 1B.

Di KUALA TERENGGANU, Alia Syuhada Aziz, seorang pelajar yang cacat pendengaran sejak lahir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan berjaya mencapai keputusan 8A dan merupakan antara 14 daripada 189 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang di sekolahnya.
  
"Semasa di dalam kelas ada perkara-perkara yang saya kurang jelas disebabkan saya mengalami masalah pendengaran (pekak), jadi saya banyak bertanya guru dan
bergantung kepada buku," kata anak seorang pekerja kilang batu-bata itu.
  
"Saya juga banyak solat tengah malam terutama menjelang peperiksaaan ini, kerana saya sedar kecemerlangan dalam pelajaran sahajalah yang boleh mengubah hidup saya dan keluarga," katanya yang mula memakai alat pendengaran sejak di Tahun Enam.
  

Di BESUT, seorang pelajar cacat fizikal Nurfarah Hanim Mohamad dari SMK Tengku Mahmud berjaya memperolehi keputusan 7A 1B.
  
Nurfarah yang cacat kedua belah kaki kerana mengalami penyakit 'Osteogenesis Imperfect' atau kereputan tulang memperoleh 7A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah , Geografi dan Pendidikan Islam dan B dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup (Perdagangan dan Keusahawanan).

Bapanya, Azman Mohamad, 43, yang bekerja di Unit Farmasi Hospital Daerah Besut memberitahu sejak memasuki Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 11, anaknya itu terpaksa didukung untuk bergerak termasuk untuk ke sekolah.
  
"Walaupun cacat fizikal, anak saya memang gigih terutamanya ketika belajar dan sanggup hadir kelas tambahan pada petang atau malam," katanya.
  
Sementara itu di IPOH, seorang pelajar, Oui Yuen Shie, 15, yang terpaksa menggunakan kanta khas ketika membaca berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.
  
Pelajar Sekolah Menengah Raja Perempuan Ipoh itu perlu mengunakan kanta khas yang terpaksa dipegang untuk membaca berikutan masalah sistem saraf yang dihadapinya.
  
"Saya banyak merujuk kepada guru-guru di sekolah, saya mula mengulang kaji pelajaran pada pukul 6 petang dan mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan sekelas yang lain untuk lulus dengan cemerlang," katanya yang mula menggunakan kanta khas sejak berusia sembilan tahun.


Di KUALA NERANG, sepasang pelajar kembar Ainul Yaqin Lokman dan Ainul Asyraf berusia 15 tahun yang menghidap talasemia tidak menjadikan penyakit itu sebagai penghalang untuk mereka memperoleh keputusan cemerlang 9A.
  
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad itu berkata penyakit talasemia itu sering membuatkan dia dan kembarnya letih dan mengantuk ketika di kelas.
  
"Kami sama-sama tinggal di asrama dan akan belajar bersama. Kami akan berlumba-lumba dalam pelajaran untuk membuktikan kami adalah terbaik. Walaupun semasa percubaan PMR dulu, Ainul Asyraf memperoleh 5A manakala saya mendapat 6A, tetapi hari ini, kami dah buktikan bahawa kami sama-sama hebat," katanya ketika ditemui pemberita.
  
Seorang lagi pelajar sekolah itu, Mohd Ariff Abdul Halim, 15, berjaya memperoleh 8A meskipun menghadapi masalah tempurung lutut yang retak setelah terjatuh dari pokok kelapa. - Bernama

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 90 Peratus Perkhidmatan Awam Atas Talian Pada 2015


PUTRAJAYA: Sebanyak 90 peratus daripada perkhidmatan yang diberikan penjawat awam akan dilaksanakan secara atas talian menjelang 2015, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata inovasi yang ditekankan di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) itu, selain mengurang intervensi pegawai, juga akan mengurangkan peluang dan ruang berlakunya gejala rasuah serta salah guna kuasa.
"Dengan adanya perkhidmatan atas talian, rakyat akan lebih mudah berurusan dengan kerajaan. "Sehubungan ini, setiap jabatan dan agensi hendaklah memastikan sasaran yang ditetapkan pada 2015 itu tercapai dengan meneliti dan membangun sistem aplikasi online berkaitan bermula dari sekarang," katanya ketika merasmikan Hari Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Selasa.
Ali mengingatkan dalam merealisasikan harapan kerajaan itu semua penjawat awam perlu memastikan supaya tidak berlaku kebocoran terhadap dokumen-dokumen diperingkat kerajaan. Beliau berkata penjawat awam perlu memahami tanggungjawab memastikan aspek tahap keselamatan terus diberi keutamaan meskipun peralatan elektronik diguna sebagai medium saluran komunikasi dan penyampaian maklumat.Menurutnya, penjawat awam perlu sentiasa berfikir di luar kotak dan tidak seharusnya selesa dengan kemajuan dan inovasi yang sedia ada.
"Penjawat awam hendaklah jangan jemu memikirkan kemajuan dan inovasi yang boleh dilaksanakan dan bukan sekadar mengekal pendekatan serta kemudahan sedia ada sahaja dalam memenuhi kehendak rakyat yang semakin meningkat," katanya.
Ali berkata justeru itu selain kreatif dan inovatif, penjawat awam juga perlu mencari ruang, peluang dan inisiatif lain menawarkan perkhidmatan awam lebih cemerlang selaras dengan harapan kerajaan 'Merakyatkan Perhidmatan Awam' dan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih mesra rakyat.
Pada majlis itu Ali turut menyerahkan kutipan sumbangan Tabung Kemanusian Gaza JPM sebanyak RM277,466.51 kepada Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah. -BERNAMA

Selasa, 18 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot


PUTRAJAYA : Jumlah pelajar yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini merosot berbanding tahun lalu.

Seramai 30,474 daripada 440,643 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat gred A bagi semua matapelajaran, menunjukkan penurunan sebanyak 0.85% berbanding 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin berkata keputusan itu perlu dianalisis dengan lebih lanjut untuk menjelaskan mengenai kemerosotan tersebut.

"Sama ada ia adalah prestasi keseluruhan atau pelajar cemerlang dalam mata pelajaran individu, kita perlu melakukan kajian secara menyeluruh untuk menerangkan pencapaian para pelajar," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu disini pada Rabu.

Sementara itu, hanya 241 calon memperoleh keputusan gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 346 calon tahun lalu.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Keputusan PMR 2012 Rabu


PUTRAJAYA : Majlis Pengumuman Analisis Keputusan PMR 2012 akan diadakan pada hari Rabu, 19 Disember 2012 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Untuk makluman, peperiksaan bertulis PMR 2012 telah berlangsung pada 9, 10, 11, 15 dan  16 Oktober 2012. Seramai 481,424 orang calon telah menduduki PMR  pada tahun ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pelajaran Malaysia juga memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 19 Disember 2012 dan akan ditamatkan pada 11.59 tengah malam, 25 Disember 2012. 

Sumber : http://buletinkpm.blogspot.com/

ISU KENEGARAAN : Penduduk Malaysia kini 28.3 juta


PUTRAJAYA : Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita, demikian menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Nor Mohamed berkata purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan pula ialah sebanyak 2 peratus untuk tempoh 2000 hingga 2010, menurun berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991 hingga 2000.

"Tidak seperti laporan terdahulu di mana ia telah memuatkan data awalan banci, laporan kali ini memuatkan data muktamad yang telah mengambil kira ralat liputan dan ralat kandungan yang diperoleh daripada Penyiasatan Penilian Liputan Banci," katanya.

Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. Banci sebelum ini telah dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Nor Mohamed berkata Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).

Beliau berkata negeri yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi pula ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 6,891 orang diikuti Pulau Pinang (1,490) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,478).

Katanya seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada 2000.

Beliau berkata selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi ialah Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing 91.4 dan 90.8 peratus.

Negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah pula ialah Kelantan sebanyak 42.4 peratus, Pahang (50.5 peratus) dan Perlis (51.4), katanya.

Nor Mohamed berkata daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4 peratus, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).

Dalam kalangan warganegara Malaysia, katanya, Melayu adalah etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus manakala Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5 peratus di Sabah. - BERNAMA