Khamis, 20 Disember 2012

ISU BAHASA : Pupusnya seni menulis surat



Oleh : Johan Jaaffar
 
Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya pada tahun 70-an, saya sering menulis surat kepada ayah. Surat itu akan ditulis di atas kertas writing pad berwarna warni. Saya akan memulakannya dengan cara ini: “Adapun pada masa anakanda menulis surat ini anakanda berada dalam keadaan sihat dan sejahtera dan diharapkan ayahanda dan bonda serta keluarga berlebih-lebih lagi hendaknya.”

Tujuan saya menulis surat itu semata-mata untuk memberitahu bahawa saya tidak dapat pulang ke kampung sewaktu cuti penggal universiti. Ayah buta huruf. Surat dalam tulisan jawi itu akan dibacakan pada beliau. Bagi generasi hari ini, surat seumpama itu terasa janggal dan pelik. Bahasa yang digunakan terlalu formal, menyerupai bahasa istana.

Itulah adab menulis surat dan budaya berbahasa kepada orang tua. Pada zaman sebelum wujudnya sistem pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook dan Twitter, itulah kaedah perhubungan di antara manusia. Apa yang lebih penting ialah wujudnya peraturan dan hukum hakam yang tertentu dalam melakukannya. Ia tidak boleh dibuat secara semberono kerana apa yang ditulis melambangkan akhlak dan peribadi si penulis.

Dalam budaya Melayu seni menulis surat ini cukup dihargai. Sejak sekian lama seni menyurat menjadi sebahagian daripada tradisi bangga orang Melayu. Raja-raja Melayu, ketua masyarakat, sasterawan dan seniman hingga rakyat biasa berkomunikasi dengan cara itu. Surat yang diterima itu akan ditelaah dan kemudiannya disimpan sebagai khazanah berharga. Surat-surat ini menjadi rekod peribadi yang sangat bermakna.

Teknologi komunikasi, maklumat

Dunia telah diubah oleh teknologi komunikasi dan maklumat. Sewaktu saya masuk ke universiti pada tahun 1974, rumah saya di kampung tidak ada telefon. Telefon bimbit hanya muncul 18 tahun kemudian. Sepuluh tahun yang lalu kita mengenal SMS. Hari ini manusia tidak dapat hidup tanpa telefon bimbit dan perhubungan sesama manusia mengambil dimensi yang lain. Kaedahnya bukan sahaja cepat dan ringkas tetapi juga canggih dan menarik. Anak saya di luar negara hanya perlu menulis “Ayah, tolong hantar wang” tanpa perlu memulakan mukadimah panjang seperti yang pernah saya lakukan.

Mesej yang dihantar melalui teknologi komunikasi baru ini penuh singkatan, nombor dan gambar. Ahli bahasa menjadi cemas kerana bentuk formal bahasa telah turut dicabar. Struktur komunikasi bukan formal dalam SMS dan emel kini terbawa-bawa ke dalam bahasa formal. Para guru mengadu pelajar di sekolah menulis karangan dan membuat ayat dalam bahasa bukan formal yang biasa mereka gunakan dalam berkomunikasi melalui alat komunikasi pintar. Ahli bahasa melihat kelahiran bentuk linguistik yang lebih menyerupai centaur (makhluk separuh haiwan separuh manusia dalam mitos lama) di alam maya – tidak lagi formal, mengenepikan sintaksis malah nahu. Proses sosialisasi juga telah berubah. Cara formal saya menulis surat tidak lagi relevan.

Dunia percintaan juga mengambil bentuk baru dalam alam siber ini. Surat-surat buat kekasih yang satu masa dahulu sebahagian daripada tradisi menyurat yang indah dan unik juga sudah berkubur. Satu waktu dahulu orang berkenalan di kolum ‘Kembang Setaman’ dan ‘Sahabat Pena’ di akhbar dan majalah lalu menulis surat sesama mereka. Entah berapa banyak perkahwinan berakibat daripada ruangan sedemikian. Cinta melalui surat kini menjadi cinta siber.

Pupus satu tradisi cerdik, indah

Pada hari ini segala-galanya diringkaskan. Manusia hidup dengan simbol, imej dan icon. Maka pupuslah satu tradisi cerdik dan indah yang menghubungkan sesama manusia. Surat-surat ini bukti kebijaksanaan manusia menggunakan bahasa yang indah dan berkualiti tinggi. Bayangkan surat-surat karyawan besar dunia yang menampakkan bukan sahaja percikan genius mereka tetapi juga ketekunan mengarang dan penggunaan bahasa yang indah. Banyak daripada sasterawan besar dunia yang dikenal bukan sahaja melalui karya-karya mereka tetapi juga surat-surat yang mereka tulis.

Terlalu banyak surat menyurat di antara karyawan besar kita sendiri yang nampaknya akan tinggal dalam koleksi peribadi atau tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Banyak lagi koleksi surat peribadi pemimpin Melayu yang mungkin terdapat di Arkib Negara Malaysia. Entah sekian ribu surat-surat peribadi yang merakamkan rasa cinta, kecewa, marah, gembira dan ceria sasterawan Melayu yang akan ditemui lagi.

Sasterawan muda hari merakamkan perasaan mereka melalui SMS, Facebook, blog, emel dan lain-lain juga.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan baru-baru ini menerbitkan koleksi Menyurat Kepada Sahabat yang memuatkan surat-surat peribadi beliau dari tahun 1975 hingga 2002. Saya berharap Anwar masih lagi menulis surat kepada sahabat-sahabatnya sampai ke hari ini. 

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan