Oleh : Lokman Ismail
Islam amat mementingkan soal
kebersihan dan kecantikan diri. Penampilan diri yang bersih dan cantik
mencerminkan jiwa serta cara hidup seseorang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” - (Hadis riwayat
Muslim).
Rasulullah SAW diketahui sebagai
Nabi yang amat mengambil berat soal kebersihan diri. Malah, diriwayatkan
Rasulullah SAW tidak pernah tidur malam atau siang hari, kecuali baginda
menggosok gigi terlebih dulu. Baginda juga menggosok gigi sekali lagi apabila bangun
daripada tidur.
Rasulullah SAW juga sentiasa
memakai haruman setiap kali keluar rumah. Haruman dipakai Baginda SAW
membolehkan orang berada di sekeliling sedar kedatangan Rasulullah SAW biarpun
belum melihat siapa yang datang itu. Boleh dirumuskan yang kebiasaan menghias
diri adalah sebahagian daripada fitrah manusia.
Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Lima amalan daripada fitrah itu ialah
mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu
ketiak dan mengerat kuku.”
Imam Malik dalam kitabnya
al-Muwattal menulis Rasulullah SAW amat mengambil berat soal penampilan diri
sehingga menegur seorang lelaki yang rambut dan janggutnya dalam keadaan tidak
terurus.
Kisahnya, ketika Rasulullah SAW
berada di dalam masjid, masuk seorang lelaki dengan janggut yang tidak terurus
dan rambut kusut. Rasulullah SAW menunjukkan isyarat tangan agar lelaki
tersebut memperelokkan janggut dan rambutnya.
Lalu lelaki berkenaan beredar dan
seketika kemudian masuk semula ke dalam masjid dalam keadaan janggut dan
rambutnya lebih terurus berbanding sebelum itu. Melihat perubahan itu,
Rasulullah SAW memuji lelaki itu dan menyatakan keadaan lelaki itu sebelum
menguruskan diri diumpamakan seperti syaitan.
Selain kebersihan diri, kita juga
perlu menjaga kebersihan persekitaran. Perkara ini mencerminkan identiti orang
Islam yang cintakan kebersihan, membezakan dengan penganut agama lain.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah
itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh itu,
hendaklah kamu bersihkan halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya dan janganlah
kamu menyerupai sikap dan perangai orang Yahudi yang suka mengumpul tahi
binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Malangnya, umat Islam sekarang
tidak mengambil berat soal kebersihan. Perbuatan itu jauh sama sekali daripada
ajaran Islam yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani. Mereka yang tidak
mementingkan aspek kebersihan sebenarnya menolak janji Allah SWT yang
menyediakan balasan pahala kepada hamba-Nya yang menjaga kebersihan.
Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Jagalah kebersihan dengan segala yang dapat kamu lakukan kerana
Allah mendirikan Islam atas kebersihan dan tidak masuk syurga kecuali orang
yang menjaga kebersihan.” (Hadis riwayat Tabrani).
Menjaga kebersihan termasuk dalam
usaha menjaga kesihatan dan menghindar penyakit. Banyak penyakit berpunca
daripada diri dan persekitaran yang tidak bersih.
Individu yang lemah dan
berpenyakit menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan seharian. Untuk
mengelak keadaan itu, Islam memberi fokus agar umatnya sentiasa sihat dan kuat.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada
orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Maka itu, marilah kita
mengutamakan kebersihan dan penampilan diri agar berada dalam keadaan sihat.
Kita disarankan agar sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan
kesejahteraan dan kesihatan yang baik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak
ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis
riwayat Ibnu Majah)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan