Jumaat, 21 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : 15 Perakuan Dilaksana Tambah Bilangan Pelajar Aliran Sains


KUALA LUMPUR : Kementerian Pelajaran akan melaksanakan 15 perakuan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lima belas perakuan itu merupakan sebahagian daripada 61 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains / Teknikal : Sastera yang ditubuhkan kementerian pada 2 Februari lepas dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata antara perakuan yang akan dilaksanakan adalah menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

"Bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan yang kondusif, kerajaan akan membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan menengah.

"Perkara-perkara itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedang dimurnikan ketika ini," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pembudayaan Sains dan Teknologi dan Pelancaran Buku Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera di Petrosains KLCC di sini, Jumaat.

Buku laporan strategi itu yang diterbitkan hasil daripada beberapa sesi mesyuarat, bengkel dan dialog yang dikendalikan bersama-sama pelbagai pihak lain seperti ibu bapa, guru, persatuan dan badan bukan kerajaan telah dibentangkan kepada Muhyiddin pada 5 November lepas.

Lima belas perakuan yang dinyatakan itu akan dilaksanakan secara kolaboratif antara sektor awam khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Sains, Teknologidan Inovasi (Mosti), Kementerian Pengajian Tinggi, swasta dan masyarakat.

Muhyiddin berkata, perakuan lain yang bakal dilaksanakan adalah penggunaan pendekatan pembelajaran inkuiri penemuan dan pemantauan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mewujudkan semula Peperiksaan Berpusat Amali Sains pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Turut dimuatkan dalam perakuan tersebut adalah meningkatkan kadar pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains tingkatan empat dan lima daripada RM70 kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid tingkatan enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300 sebulan.

Daripada aspek tenaga pengajar, kerajaan bakal menyediakan laluan kerjaya dan memberi pengiktirafan kepada guru sains dan teknologi yang setimpal dengan kelulusan akademik mereka, serta memastikan kurikulum latihan guru yang menjurus kepada kandungan kepakaran dan kemahiran dalam bidang sains tulen dan teknologi.

Timbalan Perdana Menteri menyarankan agar pusat-pusat penemuan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium supaya mempergiatkan kempen, pameran dan aktiviti-aktiviti melibatkan guru-guru serta ibu bapa bagi menggalakkan pelajar meminati sains.

Katanya, pendekatan interaktif yang digunakan pusat-pusat sains tersebut dalam pembelajaran penghayatan sains dilihat efektif dan berkesan untuk mempelajari sains.

"Saya yakin dengan peranan yang dimainkan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta serta badan korporat merupakan tanggungjawab sosial ke arah membentuk persekitaran positif penerapan budaya sains di rumah, sekolah dan persekitaran,"katanya. -BERNAMA

ISU GLOBAL : Krisis ekonomi pengaruhi mental


Oleh : ISMAIL HASHIM YAHAYA

Senarionya seolah-olah merupakan rakaman semula seperti di Tuscon, Virginia Tech dan  Columbine. Cuma kali ini ia lebih menyayat hati apabila majoriti mangsa terkorban ditembak terdiri daripada kanak-kanak yang masih bersekolah.

Kejadian di Newton, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah di mana ibu penembak bekerja di situ sebagai seorang guru tadika, membunuh 20 kanak-kanak dan 6 dewasa. Penembak tersebut kemudiannya membunuh diri.

Seorang lagi mangsa, dipercayai ibu kepada penembak ditemui mati di sebuah rumah di Newton, membawa jumlah mangsa kepada 27 orang.

Ini memang kejadian sangat menyayat hati, terutamanya majoriti mangsa terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah masih tidak tahu apa-apa.

Ini menjadi pengajaran sebenarnya, walaupun semaju dan secanggih mana sesebuah negara itu sekalipun, tetapi jika ada seseorang mempunyai masalah mental yang mampu mendapatkan akses kepada senjata api dengan begitu mudah, tak mustahil tragedi menyayat hati sebegini akan berulang.

Mungkin ini harga perlu dibayar kepada right to keep and bear arms dalam perlembagaan kedua yang terkandung dalam perlembagaan Amerika Syarikat.

Kurang kawalan terhadap senjata hanyalah setengah daripada kisahnya. Kisah sebaliknya adalah AS sekarang berhadapan dengan pesakit mental, sakit jiwa disebabkan tekanan hidup dan krisis ekonomi yang begitu mencabar dan memuncak.

Bayangkan sekitar 45 juta warga dewasa Amerika menderita dari sakit jiwa. Sebelas juta kes dianggap serius. Walaupun kebanyakan mereka tidaklah dikategorikan serius, tetapi jika diberikan tekanan mereka boleh saja bertindak ganas.

Tetapi mereka yang berhadapan dengan sakit jiwa sukar untuk mendapat jumlah bajet mencukupi.

Bajet kesihatan mental awam di AS telah menurun sejak beberapa dekad lalu. Bahkan keadaan menjadi lebih buruk pada 2009 apabila kebanyakan negeri di AS mengalami pemotongan berjumlah berbilion dolar daripada bajet tahunan.

Seorang wartawan akhbar online Huffington Post melaporkan, menurut Persatuan Kebangsaan Pengarah-Pengarah Program Kesihatan Mental Negeri kebanyakan negeri berhadapan pemotongan besar sekurang-kurangnya AS$4.35 bilion dalam perbelanjaan kesihatan mental antara 2009 hingga 2012.

Dalam tahun fiskal 2012 juga, 31 negeri di AS melaporkan kepada Persatuan dengan pemotongan berjumlah AS$840 juta.

Katil, rawatan atau program-program untuk pesakit jiwa masih tidak mencukupi. Kos perawatan sangatlah mahal dan syarikat-syarikat insurans tidak dapat menanggung kos-kos ini.

Namun kita tidak boleh menyalahkan individu-individu seperti ini semata-mata terhadap apa berlaku, apatah lagi kebebasan penggunaan senjata api.

Dalam dunia kesejagatan sekarang setiap kepimpinan AS malah rakyatnya juga harus dipertanggungjawabkan terhadap setiap tindakan keganasan dan pembunuhan ratusan orang yang tidak berdosa setiap hari.

Situasi ini bukan suatu yang tidak sengaja atau yang tidak dapat dielakkan, harus diingat ia juga ada kaitan dengan krisis ekonomi besar yang melanda AS sekarang. Kerajaan AS berhadapan dengan masalah keseimbangan bajet disebabkan oleh defisit tinggi.

Sekiranya mereka bebas memiliki senjata, pada masa sama berhadapan krisis ekonomi, ini tentunya merupakan ramuan bagi tercetusnya sakit jiwa atau mental, pembunuhan dan kematian.

Jika perkara-perkara ini tidak diatasi lebih banyak jenayah seumpamanya akan berlaku. Tembakan di Connecticut harus mengingatkan kita bahawa sebagai tambahan kepada kawalan senjata dan memperketat undang-undang, kita memerlukan rangka kerja nilai yang diajar di dalam keluarga, komuniti dan sekolah. Kita perlu rangka kerja yang menggalakkan budaya keamanan, budaya spiritual dan keagamaan dalam setiap kehidupan manusia dan menghormati setiap agama, agama dan bangsa serta etnik.

Berapa ramai lagi kanak-kanak, wanita atau mereka yang tidak berdosa akan mati sebelum masalah kesihatan mental dan krisis ekonomi berjaya diatasi. Apakah keutamaan kerajaan AS sekarang, bajet ketenteraan dengan dasar luar yang mengutamakan rejim pengganas Israel atau mengutamakan kebajikan rakyatnya?

* Penulis ialah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor kampus Shah Alam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Kursus BM Untuk Warga Malaysia Di Seberang Laut Mulai Tahun Depan


BESUT: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merancang memberi kursus bahasa Melayu kepada warganegara Malaysia di seberang laut mulai tahun depan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menguasai bahasa Melayu.

Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan berkata kursus akan diberikan kepada semua wargenagara Malaysia termasuk pelajar dan pegawai di kedutaan berpandukan sukatan yang dirumuskan oleh KPM dan DBP. 

"Kursus yang akan diadakan pada musim cuti semester itu akan berpusat di kota-kota tertentu menurut benua atau wilayah seperti Eropah, Timur Tengah, Asia Timur dan Oseania," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Katanya London dipilih untuk benua Eropah, Kaherah untuk Timur Tengah, Beijing untuk Asia Timur dan Melbourne bagi Oceania.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin yang mahu agar rakyat Malaysia di seberang laut diberikan kursus Bahasa Melayu bagi memantapkan penguasaan bahasa mereka. DBP akan mengadakan perbincangan dengan KPM bagi memilih tenaga pengajar yang akan mengendalikan kursus berkenaan dengan keutamaan diberikan kepada tenaga pengajar sedia ada di kota-kota berkenaan, katanya.

Menurutnya antara tenaga pengajar yang telah dikenal pasti ialah Zaharah Osman, koresponden New Straits Times dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di London yang telah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di London selama 30 tahun lalu.

Beliau juga memberitahu seiring dengan kursus bahasa Melayu itu, juga akan diadakan ceramah patriotisme dengan kerjasama Biro Tatanegara. -BERNAMA

Khamis, 20 Disember 2012

ISU KESIHATAN : 98.8 peratus kantin sekolah bersih


PUTRAJAYA - Tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di negara ini semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata daripada keseluruhan jumlah kantin, sebanyak 1,576 (18.9 peratus) diberi Gred A (Cemerlang), 4,482 (53.9 peratus) Gred B (Sangat Bersih) dan 2,163 kantin (26 peratus) diberi Gred C (Bersih), manakala hanya 100 kantin (1.2 peratus) yang menerima markah di bawah 70 peratus.

Beliau berkata bagi dapur asrama sekolah pula, sebanyak 407 iaitu 20.8 peratus daripada 1,954 dapur asrama diberi  Gred A,  1,083 (55.4 peratus) diberi Gred B dan 451 (23.1 peratus) diberi Gred C, manakala hanya 13 dapur atau 0.7 peratus diberi markah di bawah 70 peratus.

"Kami mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah di bawah 70 peratus ini dan mereka ini akan diberi perhatian khusus, malah pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan.

Mana-mana kantin yang tidak ikut prosedur ini akan disita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tahun ini sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Wee berkata antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Sementara itu beliau berkata selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan mereka.

Ia termasuk dengan memaparkan jumlah kalori dalam makanan yang dijual di kantin, di sekitar kawasan sekolah, serta memaklumkan pelajar jumlah kalori yang ideal untuk mereka, katanya.

Dalam perkembangan lain Wee berkata mulai tahun depan, kementerian dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah, dalam usaha mengamalkan budaya Tandas Sekolah Bersih.

Beliau berkata selain poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih, Buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah juga telah diedarkan ke semua sekolah untuk pelaksanaan mulai Jan depan. - Bernama

ISU SOSIAL : Utamakan kebersihan identiti umat Islam


Oleh : Lokman Ismail 

Islam amat mementingkan soal kebersihan dan kecantikan diri. Penampilan diri yang bersih dan cantik mencerminkan jiwa serta cara hidup seseorang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” - (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah SAW diketahui sebagai Nabi yang amat mengambil berat soal kebersihan diri. Malah, diriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah tidur malam atau siang hari, kecuali baginda menggosok gigi terlebih dulu. Baginda juga menggosok gigi sekali lagi apabila bangun daripada tidur.

Rasulullah SAW juga sentiasa memakai haruman setiap kali keluar rumah. Haruman dipakai Baginda SAW membolehkan orang berada di sekeliling sedar kedatangan Rasulullah SAW biarpun belum melihat siapa yang datang itu. Boleh dirumuskan yang kebiasaan menghias diri adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Lima amalan daripada fitrah itu ialah mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku.”

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwattal menulis Rasulullah SAW amat mengambil berat soal penampilan diri sehingga menegur seorang lelaki yang rambut dan janggutnya dalam keadaan tidak terurus.

Kisahnya, ketika Rasulullah SAW berada di dalam masjid, masuk seorang lelaki dengan janggut yang tidak terurus dan rambut kusut. Rasulullah SAW menunjukkan isyarat tangan agar lelaki tersebut memperelokkan janggut dan rambutnya.

Lalu lelaki berkenaan beredar dan seketika kemudian masuk semula ke dalam masjid dalam keadaan janggut dan rambutnya lebih terurus berbanding sebelum itu. Melihat perubahan itu, Rasulullah SAW memuji lelaki itu dan menyatakan keadaan lelaki itu sebelum menguruskan diri diumpamakan seperti syaitan.

Selain kebersihan diri, kita juga perlu menjaga kebersihan persekitaran. Perkara ini mencerminkan identiti orang Islam yang cintakan kebersihan, membezakan dengan penganut agama lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh itu, hendaklah kamu bersihkan halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya dan janganlah kamu menyerupai sikap dan perangai orang Yahudi yang suka mengumpul tahi binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Malangnya, umat Islam sekarang tidak mengambil berat soal kebersihan. Perbuatan itu jauh sama sekali daripada ajaran Islam yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani. Mereka yang tidak mementingkan aspek kebersihan sebenarnya menolak janji Allah SWT yang menyediakan balasan pahala kepada hamba-Nya yang menjaga kebersihan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jagalah kebersihan dengan segala yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam atas kebersihan dan tidak masuk syurga kecuali orang yang menjaga kebersihan.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menjaga kebersihan termasuk dalam usaha menjaga kesihatan dan menghindar penyakit. Banyak penyakit berpunca daripada diri dan persekitaran yang tidak bersih.

Individu yang lemah dan berpenyakit menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan seharian. Untuk mengelak keadaan itu, Islam memberi fokus agar umatnya sentiasa sihat dan kuat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka itu, marilah kita mengutamakan kebersihan dan penampilan diri agar berada dalam keadaan sihat. Kita disarankan agar sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : SMART sekolah terbaik di Pahang


KUANTAN 19 Dis. - Perancangan teliti dan melatih pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib (SMART) muncul sekolah terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Pengetuanya, Bahtiar Sabusi berkata, beberapa program telah disusun sejak awal tahun ini bagi membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran dengan berkesan.

Menurutnya, antara aktiviti dilakukan ialah memperkenalkan kelas khas terhadap pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu, latihan tubi dan kelas tambahan pada hujung minggu.

"Kerjasama semua guru dalam memberi bimbingan dan pelajaran kepada para pelajar membuahkan hasil apabila keputusan yang dicatat amat membanggakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sekolah tersebut muncul sekolah terbaik apabila memperoleh keputusan Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP) 100 peratus dengan 126 pelajarnya memperoleh A bagi semua mata pelajaran dan memperoleh 1.10 mata bagi Gred Purata Sekolah (GPS).

Bahtiar berkata, para guru memberi komitmen tinggi dan sanggup bekerja lebih masa selepas waktu persekolahan bagi melihat para pelajar mereka mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

Tambahnya, pengorbanan yang ditunjukkan oleh para guru selain kesungguhan para pelajar mengikuti setiap program dianjurkan ternyata berbaloi kerana usaha meningkatkan kualiti pendidikan membuahkan kejayaan.

"Inilah keputusan terbaik dicatatkan sekolah ini dan berharap semua pihak terus memberikan komitmen dalam melahirkan pelajar cemerlang pada peperiksaan penting nanti," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Mempersiapkan pemimpin masa depan dunia


NELSON Mandela pernah berkata bahawa pendidikan merupakan senjata yang paling berkuasa yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia. Bagi Malaysia, kenyataan ini adalah paling sesuai untuk menerangkan keadaannya pada masa sekarang. Hal ini kerana Malaysia sedang mengalami perubahan yang besar untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi. Ia merupakan satu langkah yang akan membolehkannya menjadi lebih bersepadu dengan negara-negara lain di dunia.

Oleh sebab golongan belia merupakan generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara, wujudnya satu peluang bagi Malaysia mempersiapkan generasi-generasi pada masa depan untuk menjadi insan yang berpengaruh di persada dunia, dan insan yang mampu menjadi duta negara kita.

Malaysia mempunyai populasi yang agak muda, dengan 27.7 peratus rakyat Malaysia berada di bawah 14 tahun, dan 20.2 peratus yang lain berada di antara 15 sehingga 24 tahun. Disebabkan kepentingan Malaysia dalam ekonomi global meningkat dan kemajuan teknologi mempercepatkan perkongsian maklumat, golongan belia akan mengharungi masa depan yang berbeza yang mana mereka perlu berinteraksi dengan negara-negara lain secara lazim, di samping kesan-kesan globalisasi semakin dirasai.

Peranan Institusi Pendidikan Tempatan

Dalam dua dekad yang lalu, pemain-pemain pengajian tinggi Malaysia menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan pelbagai pembekal pendidikan yang terkemuka dan meningkatkan persaingan dalam industri itu. Ini seterusnya mewujudkan peluang bagi golongan belia kita memperoleh pendedahan terhadap keadaan pendidikan di pentas antarabangsa.

Institusi-institusi tempatan juga memainkan peranan yang penting dalam menjana perubahan, serta berusaha untuk mengikuti arus perkembangan ekonomi dan persaingan dalam pendidikan. Misalnya, Kumpulan Pendidikan Sunway merintis idea program berkembar di Malaysia dan seterusnya membolehkan pelajar tempatan memperoleh ijazah daripada universiti asing dengan penjimatan yuran tuisyen yang tinggi serta kos hidup untuk beberapa tahun semasa belajar di Malaysia.

Kini, Malaysia berasa bangga dengan pelbagai program berkembarnya, bersama dengan jenama-jenama pendidikan antarabangsa seperti Curtin University of Technology, RMIT University, dan University of Birmingham.

Pembekal-pembekal pendidikan Malaysia juga menjejak kaki ke luar negara. Institusi-institusi ini memainkan peranan yang signifikan untuk mempromosikan pertukaran budaya serta pengalaman akademik, yang bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga dengan negara-negara lain. Contohnya, dalam dua dekad ini, Limkokwing yang merupakan perintis akademia teknologi kreatif telah mendirikan kampus cawangan di negara-negara seperti China, United Kingdom dan Botswana, dan seterusnya membina satu kumpulan antarabangsa di ketiga-tiga negara ini.

Menghasilkan Pusat Pendidikan Rantau

Strategi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan rantau dibina atas premis bahawa pembekal-pembekal pendidikan asing dapat membawa ijazah masing-masing ke pasaran pelajar antarabangsa yang terletak di Malaysia. Kemasukan pelajar asing yang bertalu-talu ke Malaysia membuktikan kepopularan jenama-jenama pendidikan tinggi asing di sini.

Lokasi Malaysia yang strategik, infrastruktur, tanah yang luas untuk pembangunan, kos operasi yang lebih rendah, kos hidup yang agak rendah serta populasi yang berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, merupakan pelbagai faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang menarik untuk pelaburan pendidikan.

Pelbagai pembekal pendidikan tinggi telah memilih Malaysia sebagai destinasi yang utama untuk mendirikan kampus luar negara mereka. Monash University (di Petaling Jaya), Swinburne University of Technology (di Sarawak), University of Southampton dan Newcastle University (kedua-kedua universiti ini terletak di Iskandar Malaysia) merupakan universiti-universiti utama yang telah memilih untuk mendirikan kampus di Malaysia.

Pada awal tahun ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata bahawa 25 permohonan untuk mendirikan kampus di sini telah diterima, dan menegaskan keyakinan pembekal-pembekal pendidikan antarabangsa terhadap Malaysia.

Penggerak Pendidikan

Selama ini, industri pendidikan tinggi di Malaysia bertumpu pada bidang-bidang yang khusus termasuk sains kesihatan dan kejuruteraan dengan usaha untuk menggalakkan inovasi dan membentuk pelbagai kelompok bidang untuk menjana pembangunan dan kemajuan. Pendidikan dalam pelbagai bidang ini akan melengkapkan pemimpin-pemimpin masa depan dengan kesihatan canggih, infrastruktur dan teknologi di sesebuah negara - membentuk asas sebuah negara yang maju.

Eksport pendidikan dijangka akan menjadi penggerak pertumbuhan yang utama, dengan Kementerian Pengajian Tinggi menjangkakan RM6 bilion terjana daripada bilangan 200,000 pelajar antarabangsa yang dianggarkan akan mendaftar di institusi-institusi di Malaysia pada tahun 2020.

Dalam usaha untuk terus mempertingkat industri pengajian tinggi, Malaysia wajar mendukung perspektif yang menjangkau manfaat ekonomi daripada eksport pendidikan. Ia patut berusaha untuk membentuk sebuah negara yang boleh menyuntik rasa bangga dalam hati semua rakyat Malaysia, dan sebuah negara yang akan memberi impak ke atas pemimpin-pemimpin dunia masa depan yang telah menjejak kaki ke Malaysia untuk mencari pengalaman pendidikan yang menarik.

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/