Sabtu, 28 Julai 2012

ISU SOSIAL : Suka perkara bermusim punca masalah Melayu bertimbun


Oleh : Rizal Abd Rahman 

Dua belas tahun sebelum penulis dilahirkan, Tan Sri Sanusi Junid, seorang tokoh Melayu yang selama lebih 20 tahun menjawat pelbagai jawatan dalam kepemimpinan negara pernah menyebut dalam salah satu ucapannya ketika merasmikan simposium di Universiti Malaya, “bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya ‘temperamental’.

Dalam ucapan perasmiannya itu, beliau menyebut bagaimana budaya ‘temperamental’ iaitu budaya yang suka kepada hal bermusim menjadi kemungkinan alasan Melayu gemar menjadi nelayan di pantai Timur kerana adanya musim tengkujuh tetapi tidak di pantai Barat yang cuaca hampir sama sepanjang tahun.

Selain itu, gemar menanam padi yang hanya menuntut mereka bekerja menuai dua kali setahun tetapi tidak menanam sayur yang harus dijaga pada setiap waktu dan Melayu juga meminati politik disebabkan ia datang lima tahun sekali tetapi tidak dalam bidang ekonomi yang harus diawasi sepanjang masa.

Suka perkara yang bermusim ini juga menjadi sebab pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh orang Melayu. Belum pun satu masalah selesai, masalah lain datang dan masalah lama dilupakan saja. Masalah akhirnya bertimbun, diwarisi daripada generasi ke generasi.

Hari ini ketika hampir 30 tahun selepas Sanusi mengulas masalah itu, budaya temperamental ini masih diwarisi dan masalah yang timbul tidak banyak yang dapat diselesaikan.

Sebagai contoh, orang Melayu hari ini masih mudah dimainkan dengan masalah yang datang bermusim seperti fitnah rambang sehingga mereka lebih memilih untuk mempercayai tuduhan daripada proses mencari kebenaran dan kemudian melupakan saja cerita itu kerana mula dibelenggu dengan masalah lain yang sengaja ditimbulkan.

Orang Melayu juga memilih untuk bersatu hanya pada musim tertentu saja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi apabila hak mereka tergugat ketika Malayan Union diperkenalkan, ketika Mei 1969, dan apabila mereka berasa terancam ketika orang lain mengusik keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di luar musim atau masalah yang dihadapi, mereka lebih memilih untuk berpuak. Tidak hairanlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja saling iri hati, selalu menuduh satu orang lebih Melayu daripada yang lain bahkan tergamak menunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.

Sifat temperamental ini juga tidak mengenal usia. Pada generasi muda Melayu, mereka tidak bersatu di universiti dalam pembelajaran tetapi memilih untuk bersatu apabila ada orang mengaku ingin memansuhkan hutang mereka.

Sifat temperamental yang lebih umum dalam kalangan anak Melayu juga berkaitan cara mereka menelaah pembelajaran yang berbeza dengan anak bangsa lain. Anak Melayu gemar belajar mengikut musim, yakni belajar hanya apabila dekat dengan musim peperiksaan saja.

Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang tokoh pendidikan negara dalam tulisannya mengulas bahawa kerana terperangkap secara tidak langsung daripada kesan jajahan Barat, bangsa Melayu susah bahkan tidak sanggup berubah dengan sendiri.

Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan juga tidak suka memikirkan sesuatu secara mendalam. Bangsa Melayu hanya boleh berubah dengan kunci pendidikan dan kepemimpinan yang baik.

Memilih pemimpin yang tegas dan fokus berkerja dalam kalangan orang Melayu adalah penting  jika benar-benar mahu  menyelesaikan masalah yang ada.

Pemimpin terpilih mestilah pemimpin masyarakat yang berjiwa rakyat, tidak hanya pandai bercakap dan popular tetapi mereka yang benar-benar mahu menyelesaikan masalah Melayu.

Pemimpin ini juga mesti  jujur dan bebas daripada  segala sifat ‘temperamental’ dalam memimpin, iaitu mampu memimpin dengan baik sepanjang masa, bukan pada waktu ingin menyelesai masalah peribadi atau menjelang pilihan raya atau pun mesyuarat pemilihan jawatan dalam organisasi mereka saja.

Penulis ialah aktivis mahasiswa Malaysia di Jakarta

Sumber : http : //www.bharian.com/

ISU SOSIAL : 220,000 Warga Asing Disenarai Hitam Oleh Imigresen


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB (iwan@thestar.com.my)

PETALING JAYA : Jabatan Imigresen telah menyenaraihitamkan lebih 220,000 warga asing yang telah didapati melakukan pelbagai kesalahan ketika berada di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, sebahagian besar wargaasing yang disenaraihitamkan itu telah melakukan kesalahan di bawahAkta Imigresen dan sebahagian lagi melakukan jenayah ketika berada disini.

Beliau memberitahu, bilangan warga asing yang paling tinggi disenaraihitamkan adalah dari Indonesia, China, India dan Bangladesh.

“Jabatan Imigresen dapat mengesan mereka menerusi penggunaan sistem biometrik yang merupakan mesin pengimbas cap jari. Selain itu, kita juga boleh mengesan warga asing yang disenarai hitamkan itu melaluikombinasi nama, nombor pasport dan tarikh lahir mereka,” katanya kepada mStar Online, portal bahasa Malaysia The Star.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan senarai negara dan bilangan warga asing yang disenaraihitamkan secara terperinci.

Alias telah diminta mengulas mengenai pelbagai insiden kes jenayah yang berlaku di sini sejak akhir-akhir ini yang dilaporkan melibatkan warga asing.

Antara kes jenayah yang dilaporkan melibatkan warga asing adalah sindiket dadah oleh warga Iran dan penipuan internet yang didalangi oleh warga Nigeria.

Baru-baru ini, terdapat trend jenayah baru dalam kecurian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Kuala Lumpur yang dipercayai melibatkan warga asing.

Ini termasuk sekumpulan lelaki warga Colombia yang mahu melarikan sebuah ATM di Kajang pada Februari lalu namun cubaan itu gagal.

Menurut Alias, warga asing yang telah disenaraihitamkan yang dikesan keluar dari atau masuk ke Malaysia akan didakwa atau dikenakan kompaun bergantung kepada jenis kesalahan mereka.

“Jika mereka melakukan kesalahan jenayah, mereka akan dikenakan hukuman penjara. Kemudiannya mereka akan dihantar pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya, seramai 20,197 warga asing telah ditahan di depot tahanan imigresen bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, 7,362 orang berada dalam kategori ‘banduanasing’.

“Bagi tempoh yang sama juga, 4,540 tahanan di kalangan banduan asing itu telah pun dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya, sambil menambah bahawa bilangan banduan asing yang paling tinggi ditahan didepot tahanan adalah dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Sistem biometrik yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu meningkatkan keberkesanan pemantauan terhadap kemasukan warga asing ke negara ini dan menangani masalah jenayah rentas sempadan.

Ketika ditanya adakah Jabatan Imigresen menjalankan pemantauan tertentu terhadap warganegara khusus berikutan kes jenayah yang melibatkan warga asing yang semakin meningkat, Alias berkata;

“Kebanyakan warga asing yang datang ke Malaysia adalah sebagai pelancong. Kita tidak tahu tujuan sebenar kemasukan mereka (bona fide) maka kita tidak boleh mengenakan sekatan hanya bersandarkan sejumlah kecil jenayah yang melibatkan warga asing sahaja.

“Bagaimanapun, kita sentiasa memantau pergerakan keluar masuk mereka dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain serta melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber : http : //www.mstar,com.my/

Jumaat, 27 Julai 2012

ISU SOSIAL : Didik anak cara Luqmanul Hakim


HASANAL AL-BANNA MOHAMED


SETIAP pasangan suami isteri secara fitrahnya menginginkan zuriat mereka bagi menyambung salasilah keluarga. Malah saat diijabkabulkan, masing-masing menyimpan hasrat untuk dianugerahkan anak soleh dan solehah.

Ada yang sibuk mencari nama untuk anak yang bakal dilahirkan si isteri tercinta. Aktiviti membeli-belah barangan bayi seperti botol susu, lampin pakai buang, pakaian, katil dan permainan menjadi keutamaan pasangan. Semua yang dilakukan untuk menyediakan segala kelengkapan si manja agar membesar sebagai insan yang bahagia dan berjaya.

Sehubungan itu, agama Islam sebenarnya telah mengemukakan satu panduan lengkap bermula daripada seseorang yang bakal menjadi bapa atau ibu sehinggalah anak dilahirkan, kemudian menjadi remaja, seterusnya dewasa dan akhirnya meninggal dunia.

Malah, saranan Rasulullah SAW menjelaskan betapa seseorang yang ingin membina bahtera rumah tangga seharusnya terlebih dahulu memilih bakal pasangan mereka yang biasanya tergolong dalam empat kategori utama iaitu pemilihan disebabkan harta, kecantikan, keturunan dan pilihan terakhir adalah agama atau akhlak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dikahwini seseorang wanita itu disebabkan kerana harta, cantik, keturunan. Maka pilihlah mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis lain yang berkaitan dengan pemilihan bakal pasangan antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah (benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada anaknya.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat lain.” (Riwayat Ahmad)

Namun yang menjadi persoalan dewasa kini, adakah kita mampu mendidik anak dengan ajaran yang sebenar? Adakah kita sekarang menternak anak kita dengan sekadar memberi makan dan minum? Apakah yang kita berikan kepada anak dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan seumpamanya bertepatan dengan ajaran Islam?

Adakah manusia sekarang bersikap ganas seperti binatang terhadap anak-anak yang tidak berdosa, sanggup merogol, membunuh, menghalau, mendera dan sebagainya? Adakah sudah hilang nilai ihsan dan kasihan belas dalam diri manusia terhadap anak kecil?

Ingatlah sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada ALLAH SWT”.

Penyejuk hati

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar pelbagai berita pembunuhan kanak-kanak, janin atau bayi tanpa sebab yang dibenarkan agama. Adakah manusia sanggup membunuh mereka kerana bimbangkan makanan dan minuman tidak mencukupi untuk diberikan kepada mereka atau takut menjadi miskin papa kedana.

ALLAH berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”. (Surah Al- Israk : 31)

Rasulullah SAW berfi rman yang bermaksud: “Hari kiamat tidak akan berlaku kecuali menimpa ke atas orang yang paling jahat” (Riwayat Imam Muslim).

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada akan terjadi hari kiamat sehinggalah banyak berlaku Al-Harj. Sahabat bertanya: Apakah maksud Al-Harj, wahai Rasulullah?.

Nabi Muhammad SAW menjawab: ‘Al-Harj’ adalah pembunuhan demi pembunuhan” (Riwayat Imam Muslim dan Imam Bukhari)

Justeru, marilah kita menetapkan satu matlamat dan satu impian untuk memastikan anak memperoleh hak yang sepatutnya, semoga anak menjadi penyejuk hati dan penawar jiwa.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati” (Surah Al-Furqan : 74)

Pesan Luqmanul Hakim

Didiklah mereka seperti yang disarankan Luqmanul Hakim melalui nasihat yang sangat berguna terhadap anak kesayangannya yang dirakamkan ALLAH dalam Surah Luqman, ayat 13 hingga 19 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayangan ku, janganlah engkau mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan Syirik itu adalah satu kezaliman yang besar’. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (sejak awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di  bumi, sudah tetap akan dibawa oleh ALLAH (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya ALLAH Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi’. ‘Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya’. ‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri’. ‘Dan sederhanakanlah langkah mu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 26 Julai 2012

ISU GLOBAL : Syria menuju kehancuran


Oleh : Mohd Azizuddin Mohd Sani

Syria di ambang perang saudara yang dahsyat sekali. Kehancuran, kejahatan, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang berlaku menjadikan konflik yang berlaku di Syria adalah yang terburuk pada era revolusi Arab selepas Libya yang membawa kepada pembunuhan pemimpinnya, Muammar Gaddafi.

Setakat hari ini, pemimpin atau Presiden Syria, Bashar al-Assad masih bertahan daripada serangan dan pemberontakan yang dilakukan oleh golongan yang tidak puas hati dengan kekejaman yang dilakukan oleh rejim al-Assad sepanjang revolusi Arab bermula tahun lalu.

Sejak akhir 2011, sekumpulan rakyat yang disertai sebahagian tentera Syria yang berpaling tadah menentang rejim al-Assad dan pejuang jihad dari Kuwait, Tunisia, Algeria dan Pakistan bergabung membentuk Tentera Pembebasan Syria.

Mereka memulakan kempen menentang tentera Syria secara bersenjata. Namun tidak jelas siapa yang memimpin tentera pemberontak ini, namun ia didominasi oleh pejuang Muslim Sunnah menentang tentera Syria yang didominasi golongan Muslim Alawite yang berfahaman Syiah.

Pada 18 Julai 2012, rejim al-Assad menerima tamparan hebat apabila gerakan pemberontakan memasuki Damsyik dan berjaya meletupkan bangunan keselamatan negara ketika mesyuarat penting keselamatan sedang berlangsung.

Serangan itu menyebabkan Menteri Pertahanan, Dawood Rajiha; Timbalan Menteri Pertahanan, Assef Shawkat yang juga abang ipar al-Assad; Ketua Penasihat Keselamatan, Hisham Ikhtiar dan Penasihat Keselamatan, Hasan Turkmani terbunuh dalam insiden itu, manakala Menteri Dalam Negeri, Ibrahim al-Shaar pula cedera parah.

Untuk menghadapi keadaan ini, al-Assad terus melantik Jeneral Fahd Jassem al-Freij sebagai Menteri Pertahanan yang baru. Insiden ini menyebabkan tentera Syria mengukuhkan kedudukannya di Damsyik dan cuba mencari dalang kepada pengeboman itu yang sudah pasti dilakukan oleh orang dalam yang berpaling tadah menyokong puak pemberontak.

Walaupun apa yang berlaku selepas ini, konflik di Syria menyebabkan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa setakat ini, antara 9,000 hingga 11,000 penduduk Syria terbunuh, termasuk 2,400 hingga 3,500 puak bersenjata dan 400 kanak-kanak, khususnya dalam peristiwa di selatan bandar Daraa pada Mac 2011.

Ini termasuk juga pembunuhan beramai-ramai 100 penduduk sebuah kampung Al-Qubair yang dikatakan dilakukan oleh tentera Syria. Nilai kemanusiaan diketepikan oleh rejim al-Assad apabila mereka mengebom Homs. Malah, kumpulan militia separa tentera prokerajaan, Shabiha, juga banyak melakukan jenayah perang dan penyeksaan terhadap penduduk awam.

Sebenarnya, jenayah perang dan kemanusiaan juga dilakukan oleh puak pemberontak. Banyak insiden pencabulan hak asasi manusia dilakukan seperti penyeksaan terhadap tahanan, penculikan, dan pembunuhan terhadap penduduk awam, penyokong kerajaan, golongan Shabila dan tentera Syria.

Puak pemberontak juga dikatakan melakukan kesilapan strategi dengan menguasai sebahagian wilayah Homs seperti di Baba Amr yang menyebabkan tentera artileri Syria dihantar untuk memusnahkan pemberontak lantas menyebabkan kemusnahan penempatan dan kematian awam yang berleluasa.

Akhbar yang berpusat di Jerman, Frankfurter Allegemeine Zeitung (FAZ) melaporkan bahawa peristiwa pembunuhan beramai-ramai di al-Qubair dan juga yang berlaku di Hula sebenarnya bukan dilakukan oleh tentera Syria, malah dilakukan oleh pemberontak sendiri.

Mangsa adalah daripada komuniti Syiah dan Alawite. Jadi jenayah pembunuhan kanak-kanak di tempat terbabit sebenarnya dilakukan oleh puak pemberontak. Bagaimanapun, wakil PBB masih belum dapat memastikan siapa dalang yang melakukan jenayah kemanusiaan itu dan masih menyiasat insiden berkenaan.

Apa yang pasti, konflik yang berlaku di Syria menyebabkan lebih 200,000 penduduk awam Syria menjadi pelarian di negara jiran seperti Jordan, Turki, Lubnan dan Iraq.

Tidak banyak tindakan dan tekanan masyarakat antarabangsa yang dapat membantu menyelesaikan konflik di Syria. Pihak pemberontak cuba menarik perhatian dunia akan jenayah perang dan perikemanusiaan yang dilakukan rejim al-Assad untuk menarik campur tangan ketenteraan asing ke Syria seperti yang berlaku dalam konflik di Libya. Puak pemberontak menyedari yang mereka tidak akan dapat menjatuhkan rejim al-Assad sekiranya tiada campur tangan asing walaupun bantuan senjata dan kewangan disalurkan secara rahsia oleh elemen yang menyokong perjuangan pemberontak dan golongan Sunnah di Syria.

Apa yang pasti konflik di Syria adalah lebih kompleks dan rumit untuk diselesaikan berbanding konflik di Libya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my

ISU GLOBAL : ASEAN perlu sepakat berhadapan China

Oleh : Azmi Hassan

BUKAN menjadi rahsia lagi ASEAN sebagai sebuah pertubuhan tidak mempunyai kata sepakat apabila berhadapan dengan masalah tuntutan sempadan maritim yang bertindih di Laut China Selatan walaupun empat negara ahli iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei terlibat secara langsung.

Masalah tersebut bagaikan duri dalam daging bukan kerana isu pertindihan di antara sesama negara ahli tetapi kerana ke semua tuntutan empat negara ASEAN itu berkaitan dengan hak yang dituntut pula oleh China.

Ini adalah kerana secara dasarnya Beijing menuntut hampir 80 peratus kawasan maritim Laut China Selatan sebagai hak mereka.

Kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama selepas Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh pada 6-13 Julai lepas berpunca daripada masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Begitu mengaibkan kerana buat pertama kali dalam 45 tahun sejarah ASEAN, kenyataan bersama yang merupakan manifestasi kesepakatan mesyuarat gagal mencapai persetujuan semua ahli.

Punca utama adalah kerana Pengerusi ASEAN iaitu Kemboja berkeras enggan menerima isu pergeseran Filipina dan China di Scarborough Shoal dan definisi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang masing-masing disarankan oleh Manila dan Hanoi sebagai kenyataan bersama ASEAN.

Alasan yang digunakan oleh Hor Nam Hong iaitu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja sebagai Pengerusi sidang adalah kedua-dua isu tersebut bukan masalah ASEAN tetapi masalah bilateral.

Episod tersebut menyerlahkan bagaimana Manila dan Hanoi berpendirian masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan perlu ditangani oleh ASEAN sebagai sebuah pertubuhan untuk berhadapan dengan Beijing. Phnom Penh pula berpendapat negara yang mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN.

Agak kucar-kacir pendirian ASEAN kerana seminggu selepas kegagalan sidang mencapai kata sepakat, satu kenyataan yang digelar konsensus enam perkara dikeluarkan bagi menebus kegagalan sebelum ini.

Inti pati konsensus tersebut adalah untuk mempercepatkan proses penerimaan Kod Tatacara Laut China Selatan. Paling menarik adalah disaran pertelingkahan sempadan maritim mengguna pakai prinsip perundangan antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Walaupun tidak disertakan saranan asal Manila dan Hanoi, tetapi penyataan penggunaan UNCLOS sebagai prinsip penyelesaian pertelingkahan Laut China Selatan adalah pendirian ASEAN yang agak keras kerana selama ini Beijing mengetepikan kehendak perundangan antarabangsa dalam mengesahkan tuntutan mereka.

Walaupun UNCLOS tidak mempunyai peruntukan untuk menentukan kedaulatan kawasan yang dituntut, tetapi definisi mengenai batuan atau pulau yang akan memberi kesan terhadap tuntutan EEZ sesebuah negara adalah begitu rapi dan lengkap.

Begitu pentingnya persetujuan definisi EEZ adalah kerana tuntutan keempat-empat negara ASEAN berlandaskan peruntukan EEZ dalam UNCLOS. Sebab itu garis sempadan maritim yang dituntut adalah spesifik dan nyata.

Masalah dengan tuntutan Beijing pula ialah ia tidak bersandarkan EEZ tetapi hanya berpaksikan kepada sejarah lampau China. Sebab itu garis sempadan yang dituntut adalah begitu kabur dan sukar dinyatakan dengan spesifik oleh Beijing.

Amat mustahil bagi Beijing untuk menerima pakai Kod Tatacara yang mempunyai penggunaan UNCLOS kerana ia langsung tidak memberi kelebihan kepada mereka.

Kesungguhan Beijing untuk menghindari masalah Laut China Selatan dijadikan sebagai isu ASEAN agak berjaya ekoran kegagalan mengeluarkan kenyataan bersama di Phnom Penh.

Strategi bilateral memberi kelebihan kepada Beijing kerana kekuatan ekonomi dan ketenteraan mereka jauh lebih hebat berbanding apa yang dimiliki oleh Manila, Hanoi, Bandar Seri Begawan atau Kuala Lumpur.

Malah pada hari sama konsensus enam perkara dikeluarkan, Beijing telah mengumumkan perasmian bandar Sansha sebagai pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang dituntut.

Sansha yang terletak di pulau terpencil Laut China Selatan bukan hanya mempunyai pangkalan pentadbiran tetapi juga pangkalan tentera. Perkembangan ini adalah fasa terbaru strategi tuntutan China untuk memperkukuhkan tuntutan mereka.

Kejayaan ASEAN mengeluarkan konsensus enam perkara walaupun agak terlewat boleh dibaratkan sebagai pencapaian positif ASEAN menangani isu Laut China Selatan.

Tidak dinafikan bahawa Beijing telah memainkan peranan dalam kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama semasa di Phnom Penh dan tidak keterlaluan jika diandaikan konsensus enam perkara pula berjaya dipersetujui kerana tiada penglibatan China.

Lebih menarik adalah apa yang akan terjadi pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan November akan datang kerana ia akan dipengerusikan sekali lagi oleh Kemboja dengan kehadiran China.

Sudah pasti konsensus enam perkara akan dibincangkan sekali lagi dan jika Scarborough Shoal tidak dibincangkan tetapi amat nyata UNCLOS bakal menjadi bahan pergeseran.

Lebih panas lagi adalah selepas tamat jawatan pengerusi ASEAN oleh Kemboja, ia akan diikuti oleh Brunei, Myanmar, Malaysia dan Laos. Struktur organisasi ASEAN memberi kuasa yang agak luas kepada pengerusi untuk mewarnakan setiap keputusan yang dibuat seperti yang telah dipamerkan oleh Kemboja.

Seperti mana yang diandaikan Beijing telah berjaya mempengaruhi Kemboja. China dari awal lagi telah mengintai bagaimana untuk meyakinkan keempat-empat bakal pengerusi ASEAN bahawa masalah Laut China Selatan adalah isu bilateral.

Situasi akan datang dijangka menjadi tidak menentu kerana dua negara bakal pengerusi mempunyai pendirian bahawa isu tersebut adalah masalah ASEAN dan tidak boleh diselesaikan secara bilateral.

PENULIS ialah Geostrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pegangan agama perkukuh integriti



Oleh : PROF. DATUK OMAR OSMAN

RAMADAN Al-Mubarak datang bersama keberkatan dan kerahmatan, masa untuk kita bermuhasabah untuk bersama-sama melihat di dalam diri kita terhadap amalan, tabiat dan tingkah laku selama ini dalam menjalani kehidupan seharian. Ini juga masa terbaik untuk menilai sendiri sejauh mana integriti kita dengan diri sendiri dan yang lebih penting dengan Allah SWT yang mempengaruhi apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Integriti bukan hanya berkait rapat dengan soal rasuah dan wang ringgit, tetapi jauh daripada itu adalah keyakinan terhadap kewujudan Tuhan dan Maha Pencipta yang menjadikan Dia sebagai Hakim paling berkuasa jika percaya ada kehidupan selepas kematian.

Ini juga berkait rapat dengan kepercayaan terhadap lima teras Rukun Islam dan enam teras Rukun Iman yang diajar sejak awal usia bagi umat Islam. Bukan sahaja kepada umat Islam, mereka yang bukan Islam pun mempunyai teras kepercayaan dan hukum karma yang memandang jijik kepada sikap tidak amanah dan menyeleweng dalam apa jua tindakan dan nilai yang ada. Ini juga adalah prinsip Rukun Negara yang pertama, yang harus dipegang teguh untuk menzahirkan kecemerlangan pada semua peringkat.

Ia menjadi titik tolak integriti yang utama dalam membangunkan sesuatu bangsa yang kuat, sesuatu ummah yang boleh membangunkan tamadun hebat, suatu institusi yang dapat digembleng kekuatannya untuk menzahir pencapaian dengan membangunkan masyarakat, nusa dan bangsanya sekali gus berbangga dipercayai dan dipandang tinggi kepada kekuatan akal budi kita sebagai satu bangsa.

Tiga trilogi budi harus menjadi ingatan bersama iaitu sentiasa berbudi bahasa, berbudi pekerti dan sentiasa berbudi bicara. Ikatan budi yang kuat tidak akan berkompromi kepada perlanggaran kepada nilai-nilai integriti dan sentiasa menjadi pertimbangan utama untuk menunaikan amanah. Tiada kompromi terhadap mereka yang menggadaikan maruah keindahan budi.

Perkara ini juga menjadi tanggungjawab semua yang berada di dalam sesebuah organisasi. Seorang pegawai keselamatan yang memberikan senyuman manis tatkala kita mula memasuki premis organisasi yang memberikan kesegaran untuk memulakan hari yang cemerlang. Kita rasa bahagia apabila pegawai keselamatan kita segak bergaya memeriksa kenderaan lalu lalang, membuat pemeriksaan teliti setiap penjuru organisasi, memastikan harta benda terpelihara dan berbangga tiap kali segala apa yang terkandung dalam deskripsi kerjanya terjaga dan ditunaikan dengan sempurna.

Seorang yang bekerja dan menjaga amanah dalam pejabat, datang dan pulang mengikut masa ditetapkan, tidak membawa balik segala aset pejabat untuk melakukan kerja peribadi, tidak membuang masa dengan kerja-kerja tidak berfaedah kepada tugas dan tanggungjawabnya, mengawal, menyelia dan memastikan tanggungjawab yang diberi dilakukan dengan sempurna termasuk melakukan bayaran mengikut prosedur yang ada. Punchcard sama ada manual mahu pun elektronik bukan menjadi punca menepati masa, tetapi hatilah yang mengingatkan bahawa itu adalah amanah yang dipegang dan ditunaikan.

Bagi universiti atau institusi ilmu, seorang pensyarah atau guru menurunkan ilmunya dengan penuh amanah, sentiasa terkehadapan dalam ilmunya, tidak menyalahgunakan peluang, menjaga tatasusila sebagai pengajar dan pelajar, sentiasa berusaha mendidik anak bangsanya dengan cemerlang, tidak mengambil kesempatan terhadap pelajar dan apa jua yang di bawah kawalan dan kelolaannya, bersikap profesional, tidak memandang rendah dan remeh kepada pelajar bermasalah dan banyak lagi yang harus datang dari hatinya untuk mengelakkan daripada bersikap negatif.

Apatah lagi bagi para penyelidik yang memegang geran besar mahu pun kecil, sedar dan tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya, menganggap geran sebagai amanah besar, sedar bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah amanah dan memastikan hasilnya menepati apa yang dijanjikan dan memberi faedah dan kesan kepada proses keilmuan.

Manakala pelajar juga memegang amanah besar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Mereka sedar dengan tugas untuk bersama-sama membanteras segala perbuatan tidak bermoral dan melanggar nilai integriti yang ada dalam mencari ilmu, tidak mengambil kesempatan terhadap pensyarah dengan melakukan tindakan yang tidak sewajarnya malah berusaha keras untuk memastikan kejayaan dicapai melalui jalan yang betul dan mengikut laluan yang diredai Tuhan.

Bagi ketua jabatan, tentunya amanah itu jauh lebih besar. Agama berpesan bahawa setiap kita ada pertanggungjawaban yang harus dijawab di akhirat kelak. Setiap pemimpin ada orang yang dipimpin untuk diselesaikan pertanggungjawaban di sana nanti. Sama ada seorang ibu dan ayah, seorang pemimpin masyarakat mahu pun pejabat, seseorang itu ada integriti dan amanah yang dipikul yang harus kita menjawabnya kelak.

Ini adalah antara contoh kecil yang bermula dari diri sendiri. Tentunya ada hal-hal yang lebih besar, tetapi jika kita lupa kepada hal-hal yang kecil ini, lupa terhadap pentingnya memulakan dengan diri sendiri, lupa bahawa Tuhan menyaksikan setiap apa yang ada dalam hati apatah lagi yang ditunjukkan melalui amalan dan tindakan, maka bermulalah segala tragedi yang menyedihkan kita. Alah bisa tegal biasa. Demikian pesanan orang yang harus kita pertimbangkan apabila kita memulakan sesuatu termasuklah perkara-perkara yang bertentangan dengan etika dan moral mahu pun adab dan trilogi budi yang jika dibiarkan boleh bersarang dalam diri seseorang.

Kita harus belajar rasa bersalah dan rasa berdosa yang teramat apabila kita tahu apa yang kita lakukan itu adalah satu dosa. Agama jelas mengajar kita tentang makna dosa - iaitu satu perbuatan yang kita tahu salah dan tidak mahu orang lain lihat kita lakukannya jika ada orang lain melihatnya.

Ramadan ini seharusnya berupaya untuk kita bertekad, mengukuhkan ikrar, bermuhasabah dan sentiasa bertanyakan kepada diri, adakah rezeki yang diperoleh ini sebenarnya mendapat keberkatan, adakah ia berbaloi dengan apa yang dilakukan, adakah daripada sumber yang halal atau mencurigakan atau shubhah. Kita harus menjawabnya dengan ikhlas, jika berpegang kepada prinsip agama, yakin dan percaya terhadap apa yang kita yakini dan ikhlas sayangkan agama, bangsa, institusi dan tanah air kita ini.

Hanya dengan cara itu, seseorang dapat sama-sama mengemudi seluruh kehidupan untuk mencapai kejayaan, malah kegemilangan dengan penuh amanah, tanggungjawab dan berintegriti tinggi dalam membawa negara mencapai negara maju dalam acuan sendiri yang dapat meneruskan kelangsungan tamadun hidup kita.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Olimpik London 2012: Pentas kecemerlangan atlet




Oleh HAMDAN AHMAD

SELEPAS Sukan Olimpik Beijing 2008, sukan kali ini akan berlangsung bermula 25 Julai hingga 12 Ogos di kota London, sebuah kota metropolitan. London mengambil masa tujuh tahun dalam membuat persiapan bagi menganjurkan sukan berprestij ini dengan perbelanjaan £9.9 bilion (RM46 bilion).

Siri Sukan Olimpik kali ini melibatkan penyertaan 10,490 atlet seluruh dunia, 302 pingat emas untuk dimenangi dan melibatkan 3.500 pegawai keselamatan. Di sini akan tertumpunya atlet-atlet hebat dunia dalam usaha mahu mempamerkan aksi-aksi hebat mereka.

Antara atlet yang akan turun gelanggang di London ialah Usain Bolt, Michael Phelps, Liu Xiang, Yelena Isinbayeva, Roger Federer dan ramai lagi.

Ada antara atlet ini pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 dahulu dan kali ini mereka berada di kota London untuk beradu tenaga dan kehebatan dengan peserta lain untuk memenangi pingat gangsa, perak atau emas dan pada masa sama untuk memperbaiki rekod pencapaian masing-masing.

Boris Johnson, Datuk Bandar London sudah tentu menjadi individu paling sibuk ketika sukan ini berlangsung bagi memastikan semua tetamu yang datang mendapat layanan yang terbaik.

Begitu juga pegawai keselamatan, mereka juga golongan paling sibuk dalam memastikan keselamatan para atlet dan pengunjung sentiasa terjamin dan bagi mengelak berulangnya tragedi Olimpik Munich 1972.

Falsafah Olimpik adalah berteraskan semangat kesukanan tulen dan juga kecemerlangan pencapaian. Sejak lebih 100 tahun Sukan Olimpik diadakan, salah satu falsafah utama sukan ini diadakan adalah bagi memupuk perpaduan di kalangan para atlet dunia yang bertanding dan masyarakat dunia.

Sukan sudah terbukti mampu merentasi benua dalam konteks memupuk semangat perpaduan dan kesefahaman tanpa mengira perbezaan ideologi di kalangan para atlet dan masyarakat dunia. Kita seharusnya mengangkat setinggi hormat kepada para atlet dari Syria yang turut hadir di London walaupun negara mereka dalam keadaan tidak menentu.

Setiap atlet yang bertanding akan mencuba sedaya upaya menunjukkan kehebatan masing-masing dengan semangat kesukanan tinggi seperti mana yang dituntut oleh piagam Sukan Olimpik itu sendiri. Kalah menang itu memang adat pertandingan. Hanya atlet yang hebat sahaja mampu meraih pingat. Yang lain-lain juga tetap hebat walaupun tewas dalam konteks bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Banyak sebab kenapa ramai atlet beria-ia untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik. Dengan memenangi pingat, para atlet akan disanjungi, dikenali dan menjadi iri hati sesetengah individu  atas kejayaan dicapai. Kejayaan yang dicapai oleh seseorang atlet itu dapat menaikkan imej negara yang diwakili di mata dunia. Sebagai contoh, sebut sahaja nama ahli sukan seperti Usain Bolt, orang ramai akan ketahui akan nama negara Jamaica. Ekonomi Jamaica mungkin tidak sehebat Amerika Syarikat, tetapi negara ini hebat kerana dibarisi pelari pecut unggul dunia.

Di samping itu, para atlet yang berjaya dalam Olimpik, terutama mereka yang memperoleh pingat emas, akan dilimpahi ganjaran kewangan daripada kerajaan dan pihak swasta.

Di Malaysia baru-baru ini ada individu yang menawarkan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain badminton pertama memenangi emas di Olimpik nanti. Tawaran sedemikian sepatutnya dapat mencetus gelombang menaikkan semangat para atlet negara yang akan bertarung di London nanti. Kalaulah dengan ganjaran yang sedemikian, masih lagi atlet negara gagal meraih emas, tidak tahulah apa lagi yang harus kerajaan dan pihak swasta lakukan. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk para atlet.

Pihak kerajaan pula ada menawarkan ganjaran pencen RM3,000 sebulan untuk atlet yang berjaya meraih pingat emas. Difahamkan atlet akan dapat menikmati ganjaran pencen ini selepas Olimpik nanti. Ini amat jauh berbeza dengan kakitangan kerajaan yang hanya memperolehi pencen mereka apabila bersara.

Walau apa pun yang diperkatakan, isu pokok adalah tertumpu kepada kecemerlangan sukan itu sendiri. Kecemerlangan sukan perlu ditonjolkan dan dihayati oleh para atlet dan difahami oleh masyarakat dunia.

PENULIS ialah bekas Pemangku Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/