Jumaat, 4 September 2009

ALFATIHAH BUAT AMIL JAYA

AMIL JAYA

Jenazah Amil Jaya Selamat dikebumikan


KOTA BELUD : Jenazah bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) Cawangan Sabah, Allahyarham Datuk Mohd Ismail Abbas, 70, atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Kampung Pirasan, di sini pada jam 12.30 tengah hari semalam.

Beliau meninggal dunia kerana serangan penyakit jantung di kediamannya di Kampung Bunga Tenghilan, dekat Tuaran kira-kira jam 4 petang kelmarin selepas keluar dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.

Anak keduanya, Lizawati, 45, berkata ayahnya meninggal dunia dalam keadaan duduk di atas sofa selepas mengalami sesak nafas kerana keletihan menaiki tangga rumah selepas pulang dari QEH.

"Arwah ayah duduk di sofa dan minta kipas. Bagaimanapun, Allah lebih sayang akan arwah. allahyarham meninggal dunia dalam keadaan duduk atas sofa," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, semalam.

Beliau meninggalkan dua isteri, Mariam Abu Bakar, 61, dan Rosnah Abu Bakar, 59, tujuh anak, masing-masing empat dengan isteri pertama dan tiga dengan isteri kedua serta 19 cucu.

Nota Hujung:

Ismail Abbas lebih dikenali sebagai Amil Jaya dalam lapangan kebahasaan dan kesusasteraan. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1982. Beliau mula menulis pada tahun 1958 dan menghasilkan puluhan cerpen, serta beberapa buah novel antaranya Cerah (DBP:1976), Ngayau (DBP:1979) dan Bagaton (DBP:1987). Beliau juga menghasilkan tiga buah novel remaja Yanti Si Anak laut (1986), Herwan Anak Kembara (1989) dan Periuk Kera Raksasa (1992). Kumpulan Puisi dan cerpennya terhimpun dalam Antologi Suatu Amanah dan kumpulan cerpen Berhati Nabi Berwajah Ibu (1972) dan Haram (1969).


Sasterawan ini merupakan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (1990) dan penerima SEA Write Award (1992) dari Kerajaan Thailand, Tokoh Pujangga dari UPSI dan menerima anugerah daripada Kerajaan Negara Brunei Darussalam kerana jasanya dalam Kesusasteraan Melayu.


Dalam gerakan bahasa dan sastera, beliau terlibat dalam Persatuan Penulis Sabah (PERPESA), Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) dan pernah menjadi Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA) selain menjadi Ahli Jawatankuasa Penuh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan