Jumaat, 4 September 2009

HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

Isu remeh tak wajar cetus pergeseran Malaysia-Indonesia

PERGESERAN antara dua negara berjiran bukanlah sesuatu yang aneh. Hubungan yang terjalin, tidak sentiasa indah. Walaupun hubungan rakyat dan rakyat di dua negara berjiran adalah baik, ada ketikanya mereka menari mengikut irama dan rentak yang berbeza. Begitulah juga terjadi antara segelintir rakyat Indonesia yang menimbulkan kegawatan yang cuba mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia. Apabila bahan promosi pelancongan Malaysia yang disiarkan saluran The Discovery Channel mengandungi klip video Tarian Pendet, ada pihak di Indonesia yang menyingsing lengan dan sedia bertegang leher. Seperti lazimnya, bila saja ada isu berbangkit antara Kuala Lumpur-Jakarta, segelintir rakyat di sana pantas mahu menjadi wira. Tanpa mengira isu pertikaian sempadan, nasib pembantu rumah asing, lagu kebangsaan atau kisah cinta model jelita dengan putera raja, semuanya mahu dijadikan alasan memprotes. Maka, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sekali lagi menjadi mangsa tunjuk perasaan, poster, sepanduk, slogan anti-Malaysia malah Jalur Gemilang dipijak serta dibakar. Keadaan bertambah rumit apabila Menteri Pelancongan Indonesia turut menari rentak sama mengecam promosi pelancongan Malaysia itu. Kuala Lumpur didakwa cuba mengambil Tarian Pendet yang disifatkan sebagai produk kesenian dan kebudayaan Indonesia dengan memberi gambaran seolah-olah ia milik Malaysia. Sebenarnya, pihak berkuasa Malaysia tiada kena-mengena dengan promosi itu kerana ia dibuat oleh Discovery Channel. Kerajaan juga membuat bantahan kepada saluran televisyen itu kerana menyiarkan promosi yang tidak betul sehingga mencetus kekeliruan.

Sebagai jiran paling akrab, Malaysia-Indonesia mempunyai hubungan yang cukup unik. Di sebalik tema 'negara serumpun' yang sering kedengaran, realitinya mungkin amat berbeza kerana sekecil-kecil perkara pun boleh menjadi modal pergeseran. Khabar angin yang belum tentu benar-salahnya pun boleh mencetuskan ketegangan. Reaksi keterlaluan yang sering diterima dari seberang Selat Melaka amat dikesali. Ia menggambarkan dalam keakraban dua jiran ini, masih ada rasa prejudis yang menebal. Sejarah hubungan panjang membabitkan perkongsian budaya, etnik, agama, tamadun malah keluarga erat antara Malaysia-Indonesia seolah-olah di permukaan saja. Kerjasama dan inisiatif menyuburkan kefahaman yang lebih mendalam dalam konteks hubungan dua hala juga mungkin masih belum membuahkan hasil diharapkan. Kita bersyukur kerana sehingga ini, apa saja isu yang timbul di antara kedua-duanya dapat ditangani dengan baik dan berkesan, menerusi semangat setia kawan dan kekeluargaan sejati. Namun, biarpun wujud sebarang rasa tidak puas hati antara rakyat kedua-dua negara, akhirnya ia berjaya didamaikan. Cuma, kita bimbang parutnya tetap kelihatan dan menyemai bibit perpecahan kemudian hari. Jika selama ini Kuala Lumpur dilihat boleh memahami dan memberi toleransi yang baik dalam pelbagai isu dua hala, kita harap Jakarta juga dapat belajar untuk lebih menghormati sentimen rakyat negara ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan