Jumaat, 4 September 2009

Bahasa Malaysia atau Melayu?

SAYA terpanggil untuk membangkitkan isu bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Penggunaan perkataan untuk bahasa ini sering kali tidak konsisten. Yang mana wajar digunakan untuk menggambarkan bahasa kebangsaan negara?

Sememangnya saya perlukan jawapan ini daripada pakar bahasa dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar dapat menjelaskan dengan sebaik mungkin penggunaan perkataan tepat untuk bahasa kebangsaan kita agar masyarakat dan negara luar tidak keliru dengan bahasa digunakan di Malaysia.

Isu bahasa Melayu atau bahasa Malaysia seingat saya pernah terjadi ketika bersekolah rendah dalam 1990-an. Mula-mulanya bahasa Melayu, selepas itu ditukarkan kepada bahasa Malaysia dan selepas itu digunakan kembali bahasa Melayu.

Namun, kini penggunaan nama bahasa Malaysia digunakan dengan meluas, sama ada oleh pemimpin atau masyarakat umum. Penggunaan bahasa Melayu hanya digunakan pakar bahasa dalam buku dan media cetak.

Saya antara orang yang belajar menggunakan bahasa Melayu dan belajar subjek bahasa Melayu sehingga Tingkatan Enam dan saya sememangnya sayangkan bahasa ini. Bahasa Melayu adalah bahasa yang wujud sejak sekian lama dan serumpun dengan bahasa Indonesia.

Penggunaan bahasa Melayu diiktiraf dunia dan bahasa Melayu juga menjadi kursus diajar di universiti luar negara. Jadi, mengapa kita bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak sekian lama hendak menukarkan nama bahasa itu?

Dalam Perlembagaan juga tercatat bahawa bahasa kebangsaan bagi Malaysia ialah bahasa Melayu. Jadi, mengapa isu penggunaan nama untuk bahasa kebangsaan masih menjadi polemik sehingga kini?

Cuba lihat di Amerika Syarikat yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Inggeris, mengapa mereka tidak tukarkan bahasa Inggeris kepada bahasa Amerika sama dengan nama negara mereka? Inilah jawapan yang dapat saya berikan. Bahasa dipertuturkan bukanlah boleh ditukarkan sesuka hati namanya, kerana bahasa itu mempunyai sejarah dan susur galur sendiri. Bahasa mempunyai ciri-ciri yang membolehkan ia berdiri sebagai bahasa berkenaan.

Jadi, jika kita ada 1Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengapa hendak menukarkan nama bahasa yang berkembang pesat sehingga kini? Kita perlu berbangga menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bukan hanya megah mengatakan kita adalah 1Malaysia.

Saya berharap agar pihak kerajaan dan pakar bahasa Melayu dapat memberi keputusan wajar untuk penggunaan nama bahasa kebangsaan Malaysia agar tidak timbul kekeliruan untuk nama itu. Bahasa pembangun tamadun bangsa.

WARGA PRIHATIN,
Kuala Lumpur.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen