Isnin, 12 Mac 2012

ISU KENEGARAAN : Hanya Yang di-Pertuan Agong ada kuasa panggil Parlimen bersidang


Oleh AHMAD FAUZI MUSTAFA

TUANKU Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada hari ini mencatatkan sejarah sebagai Raja Melayu pertama yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kali kedua merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Malaysia Ke-12.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dilantik bermula 13 Disember 2011 lalu, Tuanku pernah berkenan merasmikan majlis sama pada 23 Februari 1971 bersamaan hari Selasa iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen Ketiga.

Pada waktu itu, Tuanku yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun, pastinya dapat melihat betapa pesat perkembangan institusi Parlimen yang didokong selama ini.

Perkembangan sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan adalah antara amalan unik dipraktiskan dalam dunia ini, yang mana Yang di-Pertuan Agong adalah satu entiti penting sebagai kuasa perundangan atau kuasa legislatif dalam Parlimen Persekutuan di samping dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Tanpa Yang di-Pertuan Agong, dewan-dewan perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya.

Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Tuanku juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhentikan atau membubarkan Parlimen.

Di bawah perkara sama, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, Tuanku boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan.

Semua akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan Yang di-Pertuan Agong walaupun di bawah Perkara 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi Tuanku sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh.

Selain itu, anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh rakyat, Tuanku (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (di bawah Perkara 45), selain di bawah Perkara 60 membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar.

Ini sebahagian fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam kuasa perundangan. Penulis sempat membaca nukilan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mana pada waktu itu mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong Kelima.

Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969.

Penulis sempat menelusuri tarikh-tarikh penting pada waktu itu menerusi penyata rasmi Parlimen Malaysia termasuklah ucapan pertama Titah Agong Tuanku Abdul Halim bertarikh 23 Februari 1971 iaitu bersamaan hari Selasa, jam 2.30 petang.

Sebelum itu, satu majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat telah diadakan pada 20 Februari 1971 iaitu pada hari Sabtu yang mana satu perisytiharan diumumkan seperti berikut (penggunaan ejaan lama bahasa Melayu pada waktu itu seperti termaktub dalam penyata rasmi):

"BAHAWA SA-NYA Parlimen telah di-bubarkan pada Dua puloh haribulan Mach, 1969; DAN BAHAWA SA-NYA ada-lah di-peruntokkan oleh Sekshen 7 (3) Ordinan No. 1 (Kuasa Perlu) Dharurat, 1969 bahawa Parlimen hendak-lah di-panggil bersidang pada suatu tarikh yang akan BETA tetapkan;

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dengan kurnia Allah bagi Negeri dan Wilayah Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, pada menjalankan kuasa yang di-beri kapada BETA sa-bagaimana yang tersebut di-atas.

DENGAN INI memanggil Parlimen untok bersidang dan menetapkan Dua puloh haribulan Februari, 1971, pada pukul dua sa-tengah petang sa-bagai tarikh dan waktu bagi Persidangan Pertama bagi Penggal Pertama Parlimen Persekutuan yang Ketiga, yang akan di-adakan di-Bangunan Parlimen di-Ibu Kota Beta, Kuala Lumpur.

DI-PERBUAT di-Istana Beta di-Ibu Kota Kuala Lumpur, pada dua puloh tiga haribulan Januari, 1971. Dengan Titah Perentah Baginda,

Tandatangan: TUN HAJI ABDUL RAZAK BIN DATO' H U S S E I N, Perdana Menteri."


Sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada era zaman yang dianggap kritikal bagi mengembalikan semula semangat muhibah dan perpaduan di kalangan rakyat jelata, kebijaksanaan dan sentuhan naluri mesra rakyat terserlah dalam titah ucapan sulung baginda yang menyentuh pelbagai aspek terutama mengajak rakyat tidak kira latar belakang dan kaum bersama-sama untuk membangunkan negara.

Tidak hairanlah Tuanku yang merupakan lulusan Wadham College Oxford, United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, memahami nadi denyut rakyat jelata menerusi titah sulung Tuanku di Parlimen Malaysia.

Di sini penulis sertakan sebahagian petikan ucapan Tuanku seperti berikut:

"Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia ma'alum, beberapa hari sa-telah Pilehan Raya di-jalankan pada l0hb Mei, 1969 satu peristiwa burok telah berlaku yang memaksa keadaan dharurat di-ishtiharkan pada 15hb Mei, 1969, dan pemerentahan sechara berparlimen di-gantong sa-hingga keadaan di-dalam negara puleh semula.

Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein telah di-lantek menjadi Pengarah Gerakan dan di-tugaskan untok memulehkan keamanan, mengembalikan pentadbiran yang lichin, dan mewujudkan semula suasana harmoni di-antara kaum dalam negara ini.

Kapada Tun Abdul Razak dan semua-nya yang telah berkhidmat dengan tidak mengira masa dan kepentingan diri sendiri, Beta menguchapkan berbanyak terima kaseh. Jasa dan khidmat bakti mereka sa-sunggoh-nya di-sanjong tinggi oleh negara..."


Yang menarik perhatian penulis ialah titah ucapan sulung Tuanku selaku Yang di-Pertua Agong Kelima di Parlimen Malaysia adalah ketika di bawah era pemerintahan Perdana Menteri Kedua, dan sekali lagi Tuanku berbuat demikian pula kepada anak Tun Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia Keenam, Datuk Seri Najib yang kedua-duanya ialah Ahli Parlimen Pekan di Mesyuarat Pertama, Penggal 5, Parlimen Ke-12.

Keadaan pada era Tun Razak dan Najib amat berbeza. Yang merentasi zaman panjang ini adalah Tuanku Abdul Halim sendiri. Pengalaman, pengamatan dan kebijaksanaan sekali lagi menjadi sandaran buah fikiran Tuanku bagaimana Malaysia harus dipimpin atau ditransformasi ke arah lebih baik dan stabil dengan mengutamakan kebajikan rakyat.

Pasti Tuanku mempunyai pandangan-pandangan jauh menerusi titah ucapan kali ini supaya Ahli-ahli Parlimen Dewan Negara dan Dewan Rakyat dapat memetik kata-kata Tuanku untuk berbahas dan mencari jalan kebaikan buat Malaysia supaya tidak dilanda sebarang malapetaka dalam pelbagai aspek apatah lagi keadaan global yang tidak menentu sekarang. Selamat bersidang.

PENULIS ialah penyelidik kanan Parlimen Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan