Sabtu, 12 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : 10 - 15 Tahun Diperlukan Bagi Membangunkan Sistem Pendidikan Negara Setaraf Negara Maju



SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan negara setaraf atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha untuk mencapai tahap sistem pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang mudah dan perubahan dalam pembangunan sistem pendidikan negara tidak boleh dilakukan terlalu drastik.

"Walaupun begitu perubahan-perubahan tentu akan berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan     dan institusi pendidikan kita yang telah sedia ada akan dapat kita perlengkapkan lagi," katanya ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini, Sabtu.


Beliau berkata langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan negara yang mundur atau ke belakang.

Muhyiddin berkata 'benchmark' sistem pendidikan Malaysia boleh dikatakan bagus tetapi masih belum boleh dikatakan setaraf atau setanding di peringkat antarabangsa.

"Banyak orang kata sistem pelajaran kita baik, telah pun dapat melahirkan generasi Malaysia yang telah dapat membantu memajukan Malaysia pada hari ini.

"Tidak siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini adalah antara lain atas sumbangan sistem pendidikan kita.

"Namun expectation masyarakat di negara ini juga tinggi dan rakyat mahukan sistem pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada sistem-sistem pendidikan di negara-negara maju di dunia pada hari ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.

Katanya mereka yang berminat dalam soal pelajaran diminta tampil untuk mengemukakan idea dan cadangan yang bernas untuk digunakan sebagai asas pertimbangan dalam kajian semula sistem pendidikan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata memandangkan ruang dialog bagi menambah baik sistem pendidikan telah disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu tersebut di luar platform yang disediakan.

Antara perkara pokok yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah mengenai kualiti guru, isu perguruan, tanggungjawab guru, beban tugas guru, peranan guru di dalam dan di luar sekolah, katanya.

"Kita juga fikirkan persoalan yang tidak kurang penting tentang kurikulum dan sistem pentaksiran untuk menentukan bahawa segala apa yang kita ada di sekolah ini dapat diukur dengan satu ukuran yang agak betul untuk melihat sejauh mana anak-anak kita sudah berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Muhyiddin berkata kajian itu juga melihat bagaimana untuk memantapkan sistem organisasi dan sistem penyampaian kementerian, peranan kementerian dan jabatannya di peringkat negeri, daerah dan seterusnya di peringkat sekolah.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membina dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong yang mempunyai 2,510 murid dalam dua sesi persekolahan.

Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong mula dibuka pada 2002 dengan 79 murid. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan