Sabtu, 12 Mei 2012

ISU SOSIAL : Bahaya gadaikan agama


Oleh : Bahrain Samah

Nabi Muhammad SAW sebagai pemberi petunjuk ke jalan ALLAH SWT, membawa khabar gembira bagi umat Islam dan khabar ancaman bagi orang kafir. Dengan diri Baginda, ALLAH bukakan pendengaran dan mata hati ramai manusia yang berada dalam kegelapan; ALLAH selamatkan manusia daripada kebodohan; dan ALLAH terangi jalan-Nya yang lurus sehingga nampak jelas semua orang.

Manusia dimuliakan ALLAH SWT dengan Islam, iaitu diberi hidayah untuk beriman kepada-Nya, keselamatan serta jalan lurus menuju syurga yang penuh kenikmatan. Mereka yang beriman dan bertakwa sentiasa memiliki keistimewaan. Ketakwaan mereka adalah dala mengerjakan suruhan-Nya serta meninggalkan yang dilarang-Nya.

Manfaat takwa lebih daripada itu. Kualiti iman yang sempurna membantu mereka menangkis segala bentuk godaan syaitan termasuk hal kehidupan dunia dan berkaitan keagamaan.

Antara fitnah atau ujian yang ditakuti Nabi Muhammad SAW menimpa umat bukanlah kemiskinan tetapi kemewahan. Kemewahan mudah menjadikan seseorang lupa diri dan mengabaikan agama.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Bukan kemiskinan yang aku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemikian.” (Riwayat Al Bukhari)

Takwa amat penting

Mengabaikan agama berpunca daripada kemewahan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Namun mereka yang bertakwa tidak mudah ternoda dengan pujukan syaitan ini.

Pengabaian agama berlaku dalam bentuk urusan ibadat, kehidupan harian dan urusan dengan manusia lain. Selain kemewahan, populariti dan pangkat juga sering menjadikan seseorang yang tidak bertakwa mudah terjerumus kepada perbuatan yang sama dilakukan orang kafir seperti minum arak, berzina, mencaci maki.

Ada juga orang Islam bersekongkol dengan orang kafir yang mencari jalan untuk membantutkan perlaksanaan undang-undang tertentu (berkaitan syariah) kerana dianggap tidak menyebelahi mereka.

Itulah peri pentingnya menjalani kehidupan Islamik secara keseluruhan. Bukan separuh-separuh, bukan di luar sahaja atau bukan di dalam sahaja. Menjalani kehidupan sebagai Muslim yang tidak sepenuhnya amat membahayakan diri sendiri dan orang lain yang mempunyai kaitan dengannya. Jika mereka ketua keluarga, ini akan merosakkan nilai keislaman dan keimanan keluarganya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: ““Pada suatu hari nanti manusia akan mengalami suatu masa. Hati golongan Muslimin pada ketika itu sama seperti hati orang yang ajam”. (Hadis Thabrani dalam Mu’jam dengan sanad sahih). Maksud ajam dalam hadis ini adalah musuh Islam baik Yahudi, Nasrani ataupun yang lainnya.

Manakala dalam hadis daripada Abu Said al Khudri daripada Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh kalian akan mengikuti perilaku orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sampai-sampai jika mereka masuk ke dalam lubang biawak gurun tentu kalian akan mengikutinya.” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberi peringatan agar umat Islam tidak melakukan perkara yang menyerupai perilaku orang kafir, agar tidak terjerumus dalam kebinasaan. Baginda SAW memberi peringatan ini bukan terbatas untuk golongan sahabat yang hidup sezaman dengannya, malah meliputi seluruh orang Islam yang hidup selepas zaman Baginda.

Ramai yang tidak sedar bahawa pengaruh orang ajam ini disampaikan secara terang atau halus dengan pelbagai cara. Ada yang disampaikan melalui ceramah. Ada juga melalui media. Yang paling menyedihkan jika terdapat Muslim menyokong pemimpin bukan Islam dalam memainkan sentimen atau mengetengahkan isu tertentu yang boleh memporak-perandakan umat Islam.

Amalan serupa

ALLAH SWT melarang umat Islam mengangkat orang yang mengejek dan mempermainkan agama, juga menjadikan orang kafir sebagai pemimpin. ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, iaitu di antara orang yang telah diberi kitab sebelummu dan orang kafir (orang musyrik). Dan bertakwalah kepada ALLAH jika kamu orang beriman.” (Surah Al-Maidah : 57)

Amat menyedihkan apabila hati Muslim serupa dengan hati orang kafir. Apabila hati serupa, mereka membenarkan tingkah laku orang kafir. Jauh lebih berat jika membenarkan adat istiadat berunsur keagamaan mereka.

Apabila hati sudah sama, sebahagian daripada mereka akan sanggup menggadaikan agama hanya semata-mata untuk merapatkan hubungan, meramaikan kenalan atau menempa nama.

Siapakah yang rela untuk dibangkitkan pada hari Kiamat nanti bersama dengan orang kafir yang penuh lumuran dosa atau bersama pelaku maksiat yang binasa? Tidak takutkah kita jika dibangkitkan bersebelahan dengan orang kafir disebabkan kagum, memuji dan menyerupai orang kafir?

Sesiapa yang menyerupai orang kafir hingga akhir hidupnya dan tidak taubat nasuha maka ALLAH akan membangkitkannya bersama orang kafir. ALLAH berfirman maksudnya: “(kepada Malaikat diperintahkan): Kumpulkanlah orang yang zalim berserta teman sejawat mereka dan apa yang dahulu mereka sembah.” (Surah Ash-Shaffat: 22).

Maksud “azwajahum” dalam ayat ini menurut sebahagian pakar tafsir adalah merujuk kepada orang yang serupa dengan mereka. Maksud yang mudah difahami ialah setiap orang akan dibangkitkan bersama orang yang memiliki amal yang serupa dengan dirinya. Orang yang beriman dan takut kepada ALLAH mudah faham apa yang dimaksudkan dalam dua ayat al-Quran berikut.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepada mu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagi mu.” (Surah Al-Baqarah : 120)

Ayat yang kedua pula bermaksud: “Jika mereka berjaya menguasai kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagi mu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepada mu dengan menyakiti (mu); dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir.” (Surah Al-Mumtahinah : 2)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan