Sabtu, 26 Mei 2012

ISU SOSIAL : Gay, lesbian perguna hak asasi langgar fitrah insan



Bersama Ustaz Zaman
bhagama@bharian.com.my

MANUSIA diciptakan Allah SWT dengan fitrah dan hikmah tersendiri mengikut kehendak serta keperluan mereka dalam kehidupan. Ia keperluan yang juga tuntutan fitrah bagi meneruskan kesinambungan zuriat untuk memakmurkan alam semesta ini.

Namun, ada manusia menjadikan kaum sejenis sebagai pasangan sekali gus melanggar fitrah ditetapkan Allah SWT. Ada diciptakan lelaki tetapi berkeinginan menjadi perempuan dan begitu juga sebaliknya.

Ada juga mengenakan pakaian menyerupai lelaki walaupun wanita. Inilah perkara dilarang Baginda SAW dalam hadis daripada Ibnu Abbas bermaksud: “Aku melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari)


Sebenarnya, putaran kisah kaum Lut dipaparkan dalam al-Quran kembali melanda umat disebabkan mereka semakin jauh daripada petunjuk al-Quran. Kisah kaum Lut diulang beberapa kali dalam al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud: “Kejijikan yang tidak pernah berlaku sebelumnya menimpa kaum Lut di mana kesukaan kaum lelaki terhadap lelaki sendiri telah memuncak sehingga masyarakat pada masa itu menjadi pincang.” (Surah Al-A’raf, ayat 80)

Hari ini ia berleluasa dan dikenali sebagai kumpulan gay dan wanita dikenali sebagai les-bian. Begitulah yang berlaku terhadap kaum Lut yang jelas meninggalkan fitrah ditentukan Allah SWT dengan menjadikan kaum sejenis sebagai tempat melepaskan nafsu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Mengapa kamu mendatangi kaum sendiri (homoseks)? Dan kamu meninggalkan kaum wanita yang diciptakan menjadi isterimu. Sebenarnya kamu melampaui batas.” (Surah As-Syua’ra’, ayat 165-166).

Lelaki dan wanita adalah keperluan. Itulah fitrah yang tidak dapat disangkal lagi. Firman Allah SWT: “Itulah ketentuan Allah bagi menerangkan ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Ayat ini menunjukkan keperluan jasad digambarkan Allah SWT tetapi malangnya mereka melanggar fitrah dengan bersandarkan ‘hak asasi manusia’ dan kebebasan demi menghalalkan tindakan.

Sejarah kaum Lut berulang dengan penampilan baru dan mendapat sokongan kuat daripada umat Islam sendiri. Tidak kurang juga yang berhujah dengan logik akal semata-mata tanpa merujuk fakta sebenar.

Ada mendakwa Islam tidak pernah mendiskriminasi golongan gay dan lesbian. Mereka juga mendakwa al-Quran menjelaskan setiap manusia adalah ciptaan Tuhan dan ia termasuk golongan gay dan lesbian.

Mereka berpandangan kononnya Islam menolak dan membenci golongan itu sama sekali tidak selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang Maha Penyayang. Apakah mereka tidak pernah memikirkan segala najis dan kotoran juga adalah ciptaan Allah SWT?

Apakah sejak awal mereka dilahirkan ke dunia sebagai gay dan lesbian? Tentunya tidak kerana mereka diberi pilihan untuk memilih syurga atau neraka yang juga ciptaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan Kami tunjukkan kepada mereka dua jalan untuk dipilih iaitu kebaikan dan kejahatan.” (Surah Al-Balad, ayat 10)

Ini menunjukkan kuasa pilihan di tangan manusia sendiri bagi menentukan kedudukan mereka di akhirat. Kita hendaklah mengetahui bahawa perbuatan terbahagi kepada dua iaitu ikhtiyariyyah (pilihan) dan idhtiroriyyah (tiada pilihan).

Gay dan lesbian adalah perbuatan pilihan individu bagi meletakkan mereka di bawah golongan itu. Islam meletakkan peraturan serta hukum untuk diikut dan dilaksanakan.

Islam menjadikan landasan dan hukum untuk memelihara penganutnya supaya tidak melakukan perkara bercanggah kehendak fitrah kerana homoseksual perkara yang menjejaskan kesihatan serta pertimbangan jiwa sihat.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan