DR ISMAIL IBRAHIM
WARGA Malaysia
seperti kanak-kanak? Itulah komen Irshad Manji ketika ia mengeluarkan
kenyataannya tentang tindakan Kerajaan Malaysia mengharamkan bukunya Allah,
Liberty and Love, iaitu ketika ia menyatakan "cencorship treats citizens
like children.
Cencorship denies
human beings their free will to think for themselves' (penapisan ini menjadikan
warga (Malaysia) seperti kanak-kanak. Penapisan ini juga menafikan hak mutlak
manusia untuk berfikir mengikut kehendak mereka) - terjemahan bebas saya.
Saya berharap
kenyataannya ini tidak mempengaruhi pemikiran warga negara Malaysia bahawa
pelaksanaan peruntukan undang-undang negara kita yang menuntut pengharaman
penerbitan tertentu itu adalah merupakan tindakan yang memperkecilkan pemikiran
dan mentaliti semua warga negara kita, sehingga dengan itu semua warga negara
kita akan merasakan bahawa mereka telah dilayan seperti kanak-kanak mentah yang
tidak tahu berfikir.
Bagi saya tidak
semua perkara dalam dunia ini yang semua warga negara diberikan kebebasan
mutlak, dan tidak ada negara dalam dunia ini yang tidak mempunyai undang-undang
untuk mengehad atau mengharamkan sebarang penerbitan dan media yang dianggap
merbahaya kepada sesebuah negara dan warga negaranya, mengikut adat resam,
budaya, agama, keselamatan dan sensitiviti yang tertentu.
Saya juga
mengharapkan bahawa kerajaan kita tidak perlulah mengambil tindakan ke atas
penulis ini seperti yang sering dilakukan oleh kerajaan-kerajaan Islam lain
apabila terdapat orang luar yang bertindak dan bersuara seolah-olah
memperkecil-kecilkan kerajaan dan mengemukakan pemikiran yang menghina dan
menyelewengkan fakta tentang ALLAH dan agama Islam itu sendiri kerana sebagai
seorang manusia ia bebas mengeluarkan kenyataannya itu, malah kerajaan telah
pun mengharamkan bukunya yang menampilkan idea menyeleweng dan bertentangan
dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Mungkin kerajaan
tidak seharusnya melayan kenyataan itu lagi atau menghiraukan andaiannya
tentang tindakan kerajaan kita yang dikatakan beliau telah menjadikan warga
kita seperti kanak-kanak.
Biarkanlah ia
berkata sebarang apa pun, asalkan rakyat kita memahami isu yang sebenarnya dan
memahami apakah maksud mesej yang hendak disampaikannya dalam buku tersebut
yang telah pun diharamkan.
Negara kita telah
mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi ke tahap yang amat tinggi dan menghormati
hak-hak asasi manusia yang dilindungi oleh undang-undang kita sendiri sebegitu
rupa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kita. Kebebasan bersuara
diberikan kepada semua asalkan tidak melampaui batas dan tidak termasuk ke
dalam pengertian menghasut yang boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat
kita keseluruhannya.
Mungkin kenyataan
penulis ini belum lagi sampai ke tahap menghasut seperti yang terkandung dalam
peruntukan undang-undang kita, tetapi dari sudut etika dan nilai moral, Manji
mungkin telah melampaui batasan ketika dia cuba mengemukakan ideanya bahawa
perutusannya dalam buku ini telah membawakan pengertian "mengkompromi
perintah ALLAH dan kebebasan".
Dalam
kenyataannya ia menegaskan (The irony that this book makes the case for faith.
It empowers readers to reconcile ALLAH and freedom, showing that Muslims can be
independent thinkers and profound believers in a loving God".
Ketika saya
menulis pandangan saya ini, saya pun sedar bahawa dalam masyarakat liberal dan
bebas pada hari ini, mungkin terdapat orang-orang Islam di negara kita sendiri
yang menyokong Irshad Manji dan membantah pengharaman bukunya itu, termasuklah
penerbit tempatan buku ini dalam bahasa Melayu yang bercadang untuk mencabar
perintah Kementerian Dalam Negeri yang mengharamkan buku ini ke mahkamah.
Tetapi bagi saya,
pendirian rasmi yang diambil oleh kerajaan itu haruslah dipertahankan kerana
hal itu dengan sendirinya menggambarkan kepekaan kita kepada ajaran Islam yang
selama ini sering diselewengkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu mengikut
rentak dan lenggang pihak-pihak lain yang ingin melihat Islam dimalapkan
cahayanya di dalam negara kita ini yang masih bertahan dengan segala cabaran
moden dan global yang mungkin ingin melihat negara kita ini juga tunduk kepada
tekanan penjajahan akal fikiran yang bebas dalam mengamalkan Islam yang sejati.
Semua orang sedar
bahawa pendirian rasmi dan tegas dari pihak kerajaan ini sememangnya tidak
dapat menghalang para pembaca kita dari mendapatkan kandungan buku ini
sepenuhnya dari versi digital yang juga disebut oleh Irshad Manji ketika
menutup kenyataannya dengan memberikan alamatnya sekali, termasuk juga
mendapatkan versi bukunya yang telah diharamkan sebelum ini.
Tetapi seperti
yang saya sebutkan di atas bahawa hakikat ini tidaklah menafikan hak kerajaan
untuk menjalankan tindakannya yang tegas mengharamkan buku ini dari tersebar di
depan mata kepala kita seolah-olah kita merestui segala penyelewengan yang
dibawakannya. Isu mendapatkan naskhan digital itu adalah isu peribadi
masing-masing yang tidak dapat disekat lagi dalam dunia maya ini.
Irshad
tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sinisnya lagi ketika dia sendiri sedar
bahawa sesiapa yang ingin membaca bukunya itu maka mereka dapat membacanya
melalui versi digitalnya.
Malah saya merasa
dia agak keterlaluan ketika menutup kenyataannya yang terakhir menyatakan
"saya berdoa agar rakyat Malaysia diberikan keimanan yang mendalam dan
mempertahankan hak mereka yang diberi ALLAH kepada mereka."
Kenyataan inilah
yang menunjukkan siapakan sebenarnya yang cuba memperkecil-kecilkan kedudukan
rakyat Islam di Malaysia yang seolah-olah tidak kuat imannya dan tidak dapat
menggunakan kebebasan berfikir yang diberikan ALLAH kepada hamba-hamba-Nya itu.
Orang itu ialah Irshad Manji sendiri kerana dialah yang sebenar-benarnya cuba
untuk mengajar kita tentang kebebasan dan keimanan, ibarat ketam mengajar
anaknya berjalan betul. Siapakah Irshad Manji yang hendak mengajar kita dan
menghukum rakyat Muslim kita ini? Siapakah dia?
* Dr Ismail
Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan