Jumaat, 25 Mei 2012

ISU SOSIAL: Bahaya jarum ideologi Islam liberal



Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Irshad Manji cuba seleweng akidah ummah menerusi buku ‘sesat’

DALAM bukunya, Allah, Kebebasan dan Cinta, penulis kontroversial yang menyokong seks bebas, Irshad Manji mendakwa perlakuan homoseksual kaum Luth dalam al-Quran adalah samar-samar, sedangkan Allah SWT menyebutnya berulang kali dalam banyak tempat dalam al-Quran.

Katanya dalam halaman 167 buku berkenaan: “Kisah kaum Lut adalah samar. Kamu pasti bahawa kisah itu berkaitan dengan homoseksual, sedangkan ia kemungkinan berkaitan dengan lelaki bukan gay yang merogol lelaki bukan gay yang lain sebagai cara untuk menunjukkan kuasa dan pengaruh mereka.

“Tuhan menghukum kaum Lut kerana mengganggu laluan perdagangan, menumpuk kekayaan dan tidak menghormati orang luar. Perbuatan lelaki merogol lelaki mungkin diamalkan sebagai cara untuk menimbulkan ketakutan di kalangan pengembara.

“Saya tak tahu secara pasti bahawa pandangan ini benar atau tidak. Namun, menurut al-Quran, kamu juga tidak harus merasa pasti bahawa kamu benar. Nah, kalau kamu masih ghairah melaknat golongan homoseksual, bukankah ertinya kamu yang mempunyai agenda gay? Sementara itu, kamu masih belum menjawab pertanyaan saya tadi: Bagaimana dengan kekufuran dalam hati kamu? Untuk berdepan dengan puak Islamo-tribalist anda perlu memberi tumpuan penuh kepada perintah Islam yang utama: Bahawa Tuhan semata-mata, bukan pihak lain, yang memiliki kebenaran mutlak. Manusia tidak kira betapa garau suara kita atau betapa besar pangkat-gelaran kita hanya boleh menjadi pencari kebenaran.”

Demikian antara kekeliruan yang ditimbulkan Irshad Manji yang dikenal pasti Cawangan Kawalan Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain banyak lagi perkara yang dibangkitkan penulis kontroversi itu dalam buku Allah, Kebebasan dan Cinta.

Fakta lain yang mengelirukan dan menyeleweng ialah kata-katanya yang menyeru kepada ijtihad bebas dan menolak ijmak dengan tujuan membuka ruang ijtihad tanpa memiliki disiplin ilmu yang khusus dalam bidang syariah.

Ijtihad dikemukakan Irshad Manji sebenarnya adalah perjuangan untuk membebaskan diri daripada keterikatan terhadap nas-nas syarak yang mengandungi perintah serta larangan berdasarkan fikiran dan hawa nafsunya sendiri.

Fahaman ini adalah inti pati kepada ideologi Islam liberal yang mahu umat Islam menganut Islam tanpa sebarang disiplin dan peraturan, sebaliknya berbeza pendapat, menalar dan mentafsir Islam menggunakan fikiran sendiri.

Kekeliruan lain yang boleh dijadikan rujukan umat Islam supaya lebih jelas lagi pemahaman mereka terhadap keputusan pihak berkuasa untuk mengharamkan buku itu ialah tindakan penulis menghina al-Quran dan Rasulullah SAW.

Pada halaman 120 buku berkenaan, penulis mengambil kata-kata ahli sejarah Muslim al-Tabari yang menceritakan konon Baginda (Nabi Muhammad SAW) mahu membunuh diri dengan terjun dari bukit daripada menyebarkan sebuah risalah yang akan menyebabkannya kedengaran seperti orang sasau.

“Sebagai permulaan, Muhammad melentur nama Tuhan. ‘Rabb’ yang dipakai pada awalnya diganti dengan ‘Allah’ – iaitu Allah yang biasa dipakai oleh pagan Quraisy,” tulis Subhash C Inabdar dalam Muhammad and The Rise of Islam. Namun, kemarahan terhadap dakwahnya tetap meningkat.

Selepas itu terjadi peristiwa ‘ayat-ayat syaitan’. Nabi didakwa tersalah menilai beberapa ayat sebagai wahyu Tuhan dan lalu menyampaikannya kepada sahabat Baginda. Tetapi selepas itu, Baginda didakwa menyedari bahawa ayat itu mengagungkan berhala-berhala pagan. Muhammad kemudian menarik balik ayat itu, dan menyalahkan syaitan atas kesalahan yang dilakukannya. (Halaman 122)

Dakwaan kononnya Nabi SAW ingin membunuh diri seperti dibaca pada halaman 120 adalah satu pendustaan oleh penulis. Imam al-Tabari hanya mentafsirkan ayat 6 dalam surah al-Kahfi ketika Allah SWT memberi gambaran kekecewaan hati Nabi SAW apabila dakwahnya ditolak oleh golongan Musyrikin.

Pada halaman 121 pula, penulis nampaknya terpengaruh dengan pandangan Orientalis yang mendakwa Nabi Muhammad SAW mengubah kalimah ‘Rabb’ kepada “Allah’, iaitu kata nama yang biasa digunakan oleh penyembah berhala Quraisy.

Dakwaan ini adalah biadab kerana penggunaan nama ‘Allah’ dan ‘Rabb’ kedua-duanya digunakan di dalam al-Quran dan bukan ciptaan hawa nafsu Rasulullah SAW. Ini bermakna menuduh Nabi SAW sebagai pereka nama Tuhan adalah sama dengan meragui kesucian al-Quran itu sendiri.

Penulis juga cuba merosakkan nilai akidah dan syariah Islam dengan mencampuradukkan antara Islam dengan fahaman sekularisme. Tiada titik pertemuan antara Islam dan sekularisme kerana faham sekularisme meletakkan agama hanya sebagai anutan ritual semata-mata dan menafikan agama untuk bernegara dan mengurus dunia.

Penulis jelas terpengaruh dengan pemikiran sekularisme Barat apabila menafikan keperluan politik dalam mentadbir urusan agama. Beliau dilihat amat mengagung-agungkan demokrasi liberal Barat yang mementingkan kebebasan individu tanpa terikat kepada ajaran agama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan