Oleh Prof. Madya Dr. Saodah Abd Rahman
IRSHAD Manji yang memperjuangkan lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT) adalah contoh bahawa pengaruh ideologi sekular sudah
tersemat dalam jiwa umat Islam khususnya wanita. Pengaruh sekularisme sudah
lama bertapak di negara Barat sehingga masyarakat di sana hilang identiti
agama. Hasilnya, ramai menjadi penganut agnostic atau ateis.
Umat Islam yang lahir dan dibesarkan di Barat mudah
terpengaruh dengan ideologi yang cenderung kepada penggunaan akal berdasarkan
logik yang hanya dapat dicapai oleh akal fikiran. Sedangkan realiti kehidupan
manusia perlu berteraskan kepada wahyu dan akal kerana perkara berkaitan
metafizik tidak dapat dicapai oleh pancaindera.
Pelbagai bentuk kejayaan tamadun manusia dipaparkan oleh
al-Quran berkaitan kekuatan akal manusia. Persoalannya, adakah kekuatan akal
itu memberi kebahagiaan yang hakiki kepada manusia? Jika kemajuan akal
merupakan faktor utama kepada kebahagiaan hakiki kenapa di Barat sebahagian
besar masyarakatnya menghadapi pelbagai krisis moral yang bertentangan dengan
fitrah kejadian manusia?
Akal jika tidak didasarkan kepada panduan wahyu Ilahi sering
menjurus kepada corak pemikiran yang pelik atau tidak rasional. Pemikiran
begini akan menghasilkan emosi dan perilaku bertentangan dengan fitrah kejadian
manusia. Akal dan emosi perlu disandarkan kepada panduan Ilahi kerana kedua
aspek ini amat penting untuk membentuk corak pemikiran dan tingkah laku
manusia.
Perkara berkaitan kerohanian hanya dapat dicapai melalui
panduan Ilahi. Roh merupakan ciptaan Allah yang dimasukkan ke dalam tubuh badan
manusia. Di dalam roh itu terdapat keintelektualan yang menyebabkan manusia
mampu berfikir, mengawal perasaan, melihat keindahan dan merasai keenakan dan
sebagainya. Jika roh manusia diarahkan kepada bisikan hawa nafsu yang
bertentangan dengan perundangan Allah maka corak pemikiran dan perasaan manusia
bertentangan dengan fitrah kejadian mereka.
Kegiatan LGBT juga dilakukan oleh masyarakat zaman silam.
Kira-kira 4,000 tahun lalu homoseksual merupakan aktiviti kaum Luth di Sodom.
Kegiatan tidak bermoral ini dinyatakan Allah di dalam al-Quran dalam surah 7
(al-A'raf): 80-81 yang bermaksud:
Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya).
(Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: ''Mengapa kamu mengerjakan
perbuatan fahsiah (mungkar) itu yang belum pernah dikerjakan oleh seseorang pun
(di dunia ini) sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk
melepaskan nafsu mu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah
kaum yang melampaui batas''.
Homoseksual bukan sahaja merupakan dosa besar malah ia
dilaknat Allah. Perbuatan demikian bukan sahaja disiksa di akhirat malah ia
akan ditimpa bala di dunia. Bencana yang diutus Allah kepada penduduk Sodom
dijelaskan Allah dalam surah 7 (al-A'raf): 83 yang bermaksud: Dan Kami turunkan
kepada mereka (kaum Luth) hujan (batu), maka perhatikanlah bagaimana kesudahan
orang-orang yang berdosa itu.
Kemurkaan Allah terhadap golongan yang melakukan homoseksual
ini juga disebut di dalam Old Testament, Genesis 19: 24-25 menjelaskan
bagaimana Allah memusnahkan Sodom dan Gomorrah akibat penduduknya melakukan
kegiatan homoseksual.
Bala dan kemurkaan Allah terhadap penduduk bandar itu
dipertontonkan kepada manusia apabila Gunung Vesuvius Itali meletup di mana
bandar-bandar dan penduduknya ditimbus abu gunung berapi dan sampah sarap.
Pompei terkambus sedalam 10 kaki manakala Herculaneum terkubur sedalam 75 kaki.
Sebelum gunung berapi tersebut meluahkan abu dan lumpur
panas ia mengeluarkan bunyi seperti guruh yang menggerunkan. Peristiwa letupan
Gunung Vesuvius ini mempunyai kaitan dengan apa yang dijelaskan oleh Allah
dalam surah 36 (Yasin): 29 yang bermaksud: Tidak ada siksaan atas mereka
melainkan satu teriakan sahaja, maka tiba-tiba mereka semuanya mati.
Ahli-ahli arkeologi yang menggali bandar-bandar itu
mendapati mayat-mayat yang tertimbus, bentuk tubuh badan mereka masih kekal. Gambar-gambar
lukisan yang digantung di dalam bangunan-bangunan yang terkambus itu
menunjukkan corak kehidupan masyarakat ketika itu.
Terdapat gambar lelaki melakukan hubungan seks sesama
jantina dan pelbagai gambar lucah berkaitan hubungan seks di khalayak ramai
termasuk seks bersama binatang. Berdasarkan kepada corak kehidupan yang
dipenuhi hawa nafsu yang melampaui batas maka kemurkaan Allah terhadap mereka
adalah tidak terbatas.
Allah mengekalkan bentuk tubuh badan dalam keadaan melakukan
seks dan sebagainya adalah untuk menunjukkan kepada manusia selepas generasi
tersebut bahawa LGBT adalah amalan yang dilaknat Allah.
Masyarakat Barat yang terkenal dengan corak kehidupan
individualisme kurang prihatin terhadap perubahan struktur sosial sama ada
masyarakat mereka hendak berkahwin sesama jantina atau melakukan zina kerana
konsep kehidupan sekularisme lebih mementingkan materialisme daripada
kerohanian. Konsep kehidupan demikian menyebabkan kebanyakan masyarakat Barat
berada dalam kehausan kerohanian yang terlalu tinggi .
Penularan kegiatan LGBT dalam negara ini menunjukkan bahawa
struktur masyarakat Islam kian hari semakin berubah mengikut arus globalisasi.
Dalam era globalisasi setiap kegiatan di Barat sama ada baik atau buruk mudah
menular masuk ke dalam negara Islam.
Ini disebabkan perkembangan teknologi komunikasi yang
canggih memberi peluang kepada masyarakat Barat mengimport budaya corak
kehidupan mereka yang berlandaskan kepada sekularisme merupakan salah satu
faktor yang menyebabkan kegiatan LGBT menjadi semakin berpengaruh di kalangan
masyarakat.
Wanita Islam tidak sepatutnya menjadi lesbian jika mereka
tidak berminat berkahwin. Corak kehidupan Maryam (ibu Nabi Isa) dan Rabiah
Adawiyyah merupakan model kepada wanita Islam yang bujang. Wanita Islam tidak
perlu mereformasikan agama Islam kerana Islam adalah agama komprehensif.
Kejahilan terhadap ilmu wahyu dan Islam adalah punca utama wanita dan umat
Islam melihat Islam dalam perspektif yang buruk .
Corak hidup yang berlandaskan kepada 'mind your own
business' bukan sahaja menghapuskan budaya kemasyarakatan berunsurkan keagamaan
malah ia juga merupakan salah satu faktor yang menghapuskan hak kedua ibu bapa
mencampuri urusan kehidupan peribadi anak-anak apabila mereka sudah berumur
lapan belasan tahun.
Apabila hak ibu bapa terhadap anak-anak dibatasi berdasarkan
umur anak-anak maka setiap perubahan corak kehidupan mudah diamalkan oleh
anak-anak mengikut cita rasa mereka. Ibu bapa dalam negara ini perlu memerhati
pergerakan anak-anak supaya individu yang menganuti ideologi LGBT tidak dapat
mempengaruhi pemikiran dan tatasusila anak-anak mereka.
Masyarakat Islam perlu menentang penularan pengaruh LGBT ini
kerana kecuaian dalam mengatasi permasalahan ini boleh menyebabkan umat Islam
menghadapi permasalahan kehausan kerohanian yang keterlaluan yang mana boleh
memusnahkan struktur sosial masyarakat Islam.
Penulis ialah pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan