Jumaat, 25 Mei 2012

ISU SOSIAL : Penangan cinta online



DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya.

Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak. Bernasib baik kalau surat itu dijawab. Kini, posmen tidak lagi perlu menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta.

Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook, Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan hubungan cinta.

Medium baharu ini juga tidak mengenal usia, sama ada tua atau muda. Sebab itulah, kita selalu mendengar banyak rumah tangga yang musnah kerana cinta online. Ada yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga. Hal sebegini selalu kita dengar.

Cinta online itu juga adakalanya menyebabkan ramai anak gadis kita yang terpedaya. Tidak kurang juga wanita yang berkerjaya. Bahkan, ada yang terperangkap dengan cinta palsu hingga sanggup melabur puluhan ribu ringgit ke akaun kekasih online yang tidak mereka kenali.

Inilah hebatnya cinta dalam talian, malah ada yang patah hati dan tidak kurang juga yang membawa kebinasaan.

Tahun 2006, Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh diri hanya kerana teman lelakinya, Jose, menyakiti hatinya dengan tiba-tiba memutuskan hubungan mereka secara dalam talian.

Dua minggu setelah Jose tidak lagi membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Jose' sebenarnya tidak pernah wujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapakah jejaka palsu itu.

Lantaran medium online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden, banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih 20 juta pengunjung melakukan janji temu secara online sekurang-kurangnya sekali.


Sifat terbuka

Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara dalam talian? Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Messenger tentu pernah merasainya walaupun anda tidak tahu menghuraikan.

Dikatakan bahawa melalui komunikasi online, manusia akan mengalami disinhibition effects. Dalam erti kata lain, dalam keadaan yang bersifat anonymous, didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Dikatakan juga bahawa manusia lebih cenderung menyatakan rasa hati dengan lebih baik jika dibandingkan secara bersemuka.

Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia berfikir dahulu apa yang patut ditulis dan bagaimana untuk mempersembahkan diri. Ia sukar dalam keadaan perhubungan secara fizikal kerana ada hal-hal yang tidak boleh dilakonkan.

Dikatakan juga, komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar (true self). Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.

Sebab itulah, dalam banyak situasi, ada ramai manusia baik yang boleh kita temui secara dalam talian. Bagaimanapun, jangan pula terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini.

Kita sering didedahkan dengan kisah mangsa yang telah dijual ke luar negara kerana terpedaya dengan cinta palsu, sama ada sebagai keldai dadah atau pelacur. Ini adalah antara musibah di sebalik tabir keindahan dunia online.


Kecurangan

Jalinan online juga sebenarnya memberikan kesan terhadap perasaan cemburu manusia. Dulu, rasa cemburu akan timbul kalau ada pasangan yang bermain mata dengan orang lain. Sekarang ini orang tidak bermain mata lagi. Facebook telah menjadi medium baharu yang tidak ada pada zaman sebelumnya.

Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?

Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi yang terarah kepada rangsangan seks dianggap sebagai sama dengan perlakuan melakukan hubungan seks dengan orang lain. Ia dianggap sebagai satu bentuk kecurangan.

Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu bahawa pasangan lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain, seolah-olah pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini dibuktikan dalam banyak kajian.

Bahkan, wanita juga lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan lelaki untuk sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.


Bagaimana dengan anda?

Hakikatnya, medium online bukan sekadar menjadikan kita lebih mudah menjalin hubungan dengan teman-teman lama atau rangkaian perniagaan tetapi ia juga satu cabaran terhadap rumah tangga dan hubungan cinta.

Ia cabaran baharu yang sedang kita lalui. Bergantung sejauh manakah kita bijak memanfaatkannya, ia juga bakal menjadi medium menjadikan hidup manusia semakin huru-hara.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan