Sabtu, 26 Mei 2012

ISU SOSIAL : Haram buku Irshad Manji keputusan terbaik Jakim



Oleh : MADIHAH BAHARUDIN

LAPORAN media semalam menyiarkan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap tulisan Irshad Manji dalam buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' itu, bahawa ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Lewat petang semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan keputusan mengharamkan buku tersebut. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dipetik berkata, keputusan pengharaman dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap isi kandungannya, yang mengandungi unsur-unsur liberalisme dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam khususnya. Selain itu, isi kandungan buku tersebut dikatakan cuba mempengaruhi pembaca untuk menggunakan akal secara bebas dalam menafsirkan hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Jadi, melihat kepada isu ini, tindakan Jakim mengharamkan penerbitan dan penjualan buku ini dianggap satu tindakan yang benar.

Ia bertindak untuk menjaga kemaslahatan umat Islam seluruhnya.

Seperti yang kita ketahui bahawa semua umat Islam mempunyai tingkat pemahaman, penghayatan dan pengamalan terhadap agama yang berbeza-beza, jadi, faktor penerimaan terhadap sesuatu yang baru berkenaan agama pasti akan ada yang menerima dan menolak. Mereka yang berupaya menolak pasti yang kukuh pengetahuan agamanya, maka, pasti mereka terselamat seandainya buku ini dibenarkan di negara kita. Namun, sebaliknya apabila mereka yang kurang pemahaman agama, mereka akan menerima sedikit sebanyak kandungan buku itu.

Maka, jelas di sini, larangan penjualannya adalah satu cara untuk menyelamatkan kita semua daripada terikut dengan ajaran ini.

Dalam versi bahasa Inggeris, buku ini disebut sebagai "Allah Liberty and Love - Courage To Reconcile Faith and Freedom" manakala dalam versi Melayu dinamakan sebagai Allah Kebebasan dan Cinta. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), pihak mereka telah merampas sebanyak empat buah buku Irshad Manji, satu versi bahasa Inggeris dan tiga terjemahan ke dalam bahasa Melayu yang diterbitkan syarikat tempatan di negara kita. Mereka juga menerima maklumat bahawa terdapat 500 buku edisi terjemahan yang sudah dicetak.

Perkara yang sering dilakukan kita sebelum membaca mana-mana buku adalah mengkaji latar belakang penulis sendiri. Jadi, hasil kajian terhadap penulis buku ini, Irshad Manji, beliau merupakan seorang wanita kelahiran Uganda pada 1968, dan telah menyatakan secara terbuka bahawa dia adalah seorang lesbian. Beliau sememangnya seorang penulis buku, dengan karyanya yang terkenal sebelum ini adalah The Trouble With Islam Today dan karya terbarunya kini adalah Allah, Liberty and Love.

Dalam karyanya “The Trouble With Islam Today”, tulisannya itu mengelirukan dan tersasar dari hukum syarak. Irshad Manji berkata, “I am a reformist not a moderate”. Walau bagaimanapun beliau menggalakkan semua pihak untuk berani melawan arus dan keluar dari lingkungan Islam yang suci. Hal ini benar-benar satu penyataan yang amat membahayakan. Beliau juga pernah mencadangkan bahawa tidak salah untuk wanita Islam berkahwin dengan bukan Islam, mengamalkan lesbian dan homoseksual. Beliau seolah-olah ingin mempertahankan isu kebebasan seks dan moral dan mengharapkan ia untuk menjadi norma dalam masyarakat Melayu.

Karyanya telah diharamkan pada 30 Julai 2009 di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berikutan kandungannya dalam mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Buku tersebut juga pernah menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia mempunyai idealisme yang sama seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie. Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh Jakim, beliau merupakan seorang yang berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminism di samping menjadi salah seorang pendukung lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan pengamatan seorang Muslim, ideologi tersebut bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang didasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.

Manakala bagi karyanya yang terbaru Allah Liberty dan Love, ia juga mengandungi perkara-perkara yang menghina Islam serta perjuangannya mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian. Selain itu, padanya juga terdapat unsur-unsur yang boleh memesongkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai peradaban semasa serta mencabar aliran pemikiran dalam Islam tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih. Lantaran itu, penerbitan buku ini dikhuatiri boleh mengelirukan pandangan masyarakat tentang kaitan antara agama dan budaya dalam kalangan umat Islam.

Jadi, amat logik tindakan Jakim mengharamkan penerbitan buku tersebut. Semua orang Islam perlulah berwaspada dan berhati-hati dengan pelbagai ideologi yang diguna pakai oleh individu mahupun kumpulan tertentu untuk mempengaruhi mereka.

*Penulis ialah Pelajar Jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

1 ulasan: