GEORGE TOWN : Kerajaan akan menaik taraf 63 buah Sekolah
Menengah Vokasional menjadi Kolej Vokasional tahun depan bagi memastikan
bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, usaha itu merupakan
sebahagian daripada penekanan dalam bidang teknikal dan vokasional yang
dilakukan pihaknya untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.
"Sebagai permulaan, 4,500 pelajar di 15 Sekolah
Menengah Vokasional yang telah dinaik taraf kepada Kolej Vokasional telah
memulakan pengajian bagi Diploma Vokasional awal tahun ini dan mereka merupakan
perintis program berkenaan.
"Kita jangkakan 15,000 pelajar akan mengikuti lebih 30
program Diploma Vokasional pada tahun depan," katanya kepada pemberita
selepas menutup Karnival Voktek peringkat kebangsaan kali ke-15 di sini Ahad.
Karnival yang disertai lebih 1,000 pelajar Sekolah Teknik
dan Vokasional seluruh Malaysia itu diadakan selama lima hari sejak Rabu lepas
di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di sini.
Ahmad Tajudin berkata, kesemua pelajar yang mengikuti
pengajian di Kolej Vokasional akan mengikuti pengajian selama empat tahun
meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik secara percuma.
Katanya, pelajar yang menamatkan pengajian di kolej itu akan
mendapat Diploma Vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester
(empat tahun).
"Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif
serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.
"Jadi kita berharap dengan adanya Kolej Vokasional ini
nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka
bersaing di peringkat global," katanya. - BERNAMA
GEORGETOWN - Sistem pendidikan teknik dan vokasional bertujuan untuk menyahut cabaran negara bagi mengisi keperluan dalam bidang kejuruteraan serta kemahiran selaras dengan perkembangan industri negara.
BalasPadamTimbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan penting agar pendidikan teknik dan vokasional mampu melahirkan pelajar berilmu serta berjaya.
"Kementerian Pelajaran berharap semua pihak terutama golongan pendidik dapat mengetengahkan bakat pelajar yang berpotensi mencipta, mengubah dan menggunakan teknologi agar kemajuan yang dikecapi setanding negara-negara maju," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian dalam kata-kata aluan buku cenderamata Karnival Voktek kali ke-XV peringkat kebangsaan yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di sini.
Karnival yang disertai lebih 1,000 pelajar sekolah teknik dan vokasional seluruh negara itu diadakan selama lima hari bermula Rabu lepas dan berakhir hari ini.
Sebanyak lima jenis sukan iaitu bola sepak, bola jaring, ragbi, sepak takraw dan sofbal serta bahas Bahasa Inggeris dipertandingkan pada karnival berkenaan.
Muhyiddin berkata, pihaknya meletakkan harapan yang tinggi kepada Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional untuk mengetengahkan bakat pelajar yang berpotensi dalam bidang kokurikulum melalui pertandingan-pertandingan yang dianjurkan seperti karnival itu.
Katanya, bakat-bakat muda ini bukan sahaja dapat mewakili sekolah masing-masing tetapi hingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu kebangsaan atau ke persada antarabangsa.
Pada masa yang sama, beliau berkata golongan pelajar juga haruslah memperlengkapkan diri mereka dan meningkatkan penyertaan dalam arena kokurikulum di sekolah.
"Hasrat murni Kementerian Pelajaran ini perlu dipenuhi oleh para guru, jurulatih dan pelajar yang terlibat demi melahirkan insan yang seimbang daripada segi akademik dan kokurikulum," katanya. - Bernama