Telefon pintar, tablet, perisian Android dan sistem Macintosh
sasaran utama penggodam
SAN FRANCISCO : Penjenayah siber sudah memiliki senjata baru
yang berkelajuan tinggi untuk tujuan menggodam dan memusnahkan sistem perisian
komputer dengan menyasarkan telefon pintar, tablet dan komputer Macintosh,
kebanyakannya dilancarkan dari Amerika Syarikat.
Satu ‘laporan ancaman’ yang didedahkan lewat Isnin oleh
firma keselamatan komputer McAfee menunjukkan sejumlah kod perosak atau malware
menyasarkan mesin Windows dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Malah, usaha merosakkan sistem Windows dalam tempoh
berkenaan mencatat cubaan paling tertinggi dalam tempoh empat tahun.
Selain itu, serangan malware turut meningkat dari segi
menyerang peralatan telefon bimbit menggunakan perisian Android disokong Google
dan komputer Macintosh yang beroperasi berdasarkan sistem operasi Apple,
menurut laporan itu.
“Dalam tiga bulan pertama 2012, kita mengesan kira-kira
lapan juta malware baru menunjukkan pencipta malware meneruskan pembangunan
berterusan,” kata Timbalan Presiden Kanan, McAfee Labs, Vincent Weafer.
“Kemahiran dan teknik serangan sama digunakan ke atas sistem
komputer peribadi atau PC semakin meningkat dan diperluaskan kepada telefon
bimbit dan Macintosh,” katanya.
Sejak sekian lama penjenayah siber menumpukan perhatian
untuk memasuki PC yang digerakkan sistem Windows kerana ramai orang yang
menggunakannya.
Tetapi, ketika peralatan Apple dan Android semakin digemari
di seluruh dunia, mereka kini menjadi sasaran baru.
“Ketika lebih banyak kediaman dan perniagaan menggunakan
kemudahan itu, serangan akan terus meluas,” kata Weafer.
Selain itu, ketika malware yang merosakkan sistem Macintosh
berterusan bertambah, ia masih kecil dibandingkan apa yang menyerang PC,
menurut McAfee.
Jumlah ‘spam’ atau mesej tidak diundang pada tempoh sama
pula menurun sedikit kepada satu trilion sebulan dengan penurunan ketara
berlaku di Brazil, Russia, dan Indonesia dan meningkat di China, Britain,
Jerman, Poland dan Sepanyol.
Bilangan rangkaian komputer yang dijangkiti virus dirujuk
sebagai ‘botnet’, meningkat hampir lima juta dengan Colombia, Jepun, Poland,
Sepanyol dan Amerika Syarikat dilihat mengalami peningkatan paling tinggi.
Penggodam menggunakan helah seperti perangkap e-mel atau
pautan secara rahsia untuk menjangkiti mesin dengan malware yang membolehkan
mereka mencuri bukan hanya data atau mengesan kekunci setiap kali ditekan
tetapi menggunakan mesin yang sudah dijangkiti untuk melancarkan serangan baru.
Amerika adalah sumber utama pelancaran botnet dan serangan
siber dalam tempoh suku pertama tahun ini, lapor McAfee.
Lebih mengejutkan, penjenayah siber menjual perisian
peralatan malware dan menyewa botnet, menurut pakar keselamatan internet dan
penguat kuasa undang-undang. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan