BARU-BARU ini penulis diperkenalkan dengan aplikasi
Whatsapp. Seperti Facebook dan BlackBerry Messenger (BBM), ia percuma.
Namun awal-awal lagi mungkin bagi mengelakkan kontroversi
seperti yang dialami Facebook ketika ada ura-ura rangkaian sosial ini hendak
mengenakan bayaran, sebelum memuat turun aplikasi ini sudah ada peringatan
bahawa selepas tempoh setahun, pengguna Whatsapp akan diikenakan caj AS$0.99.
Di saat-saat keghairahan pengguna terhadap Facebook semakin
memudar, tidak seperti ketika ia baru-baru diperkenalkan, kehadiran Whatsapp
membangkitkan semula keterujaan kepada peminat rangkaian sosial.
Seperkara yang menarik, jika pengguna Facebook perlu mencari
rakan, mempelawa menjadi rakan dan menunggu diterima menjadi rakan, pengguna
Whatsapp tidak perlu melalui semua proses itu.
Sebaik sahaja memuat turun aplikasi Whatsapp, anda akan
disenaraikan sebagai penggunanya.
Kelebihan
Dan secara automatik juga anda dapat mengetahui sama ada
kenalan dalam telefon anda juga pengguna Whatsapp.
Kelebihan ini juga membezakannya daripada pengguna
BlackBerry (BB) yang seperti Facebook perlu mempelawa kenalan anda menjadi
rakan BBM.
Itupun kalau anda mengetahui nombor pin BBM mereka.
Atas kelebihan inilah mungkin ramai yang kini menggunakan
Whatsapp.
Yang pastinya, ia tidak terhad kepada satu jenama telefon
bimbit.
Tidak seperti BBM yang eksklusif untuk pengguna BB.
Pendek kata, pengguna BB pun boleh menggunakan aplikasi ini.
Namun biasalah aplikasi baru, gajet pun kenalah baru dan
terkini.
Akhir-akhir ini bagaikan satu trend, sebagaimana juga
gelombang K-pop yang melanda, rata-rata peminat gajet telekomunikasi cukup
gemar menggunakan telefon bimbit bersaiz besar - tidak lagi saiz genggaman
tangan -paling popular Samsung Galaxy Tab atau Note.
Saiznya yang besar sehingga melebihi lebar tapak tangan,
tidak lagi dianggap satu kekurangan sebaliknya sesuatu yang trendy.
Memegang Tab atau Note sambil berhubungan dengan contact
Whatsapp seolah-olah memberikan imej individu yang berjaya dan bergaya.
Kebimbangan
Oleh sebab saiznya yang lebih besar daripada telefon genggam,
ia nampak janggal jika disimpan dalam poket depan kemeja lelaki malah tidak
selesa diletakkan dalam poket seluar.
Bagi pengguna perempuan memang tidak ada masalah sebab
dengan senang-senang sahaja boleh dimasukkan ke dalam beg tangan.
Bagaimana pula dengan pengguna lelaki? Takkan mereka pun
kena ada beg tangan?
Namun itu hanyalah `kebimbangan' penulis.
Bercakap soal trend, rupa-rupanya akhir-akhir ini lelaki pun
tanpa rasa janggal memakai beg tangan. Mungkin agar senang menyimpan gajet yang
bukan lagi sebesar genggaman seperti iPad, Tab dan Note.
Jika suatu masa dulu, melihat lelaki muda memaka sling bag
atau beg sandang pun boleh membuatkan orang cepat melontarkan gelaran terhadap
mereka, sekarang rata-rata golongan eksekutif muda menyandangnya.
Tiada lagi mata yang memandang serong.
Masyarakat Malaysia sebenarnya amat bertimbang rasa. Mereka
cukup cepat dan mudah menyerap sesuatu amalan baru menjadi budaya.
Mungkin sifat majmuk yang ada pada rakyat negara ini,
menjadikan kita mudah bertolak-ansur, tidak rigid malah kadang-kala sambil
lewa.
Facebook, BBM, Whatsapp, gajet dan beg sandang mungkin bukan
ukuran atau perbandingan tepat untuk menggambarkan sifat trendy masyarakat
Malaysia, apatah lagi ia contoh-contoh kecil yang tidak
banyak atau mungkin tidak ada kesan negatifnya.
Apa yang diharapkan, sifat trendy dan mudah menyerap perkara
baru itu tidak melangkaui budaya kuning yang boleh mencalar jati diri kita
rakyat Malaysia yang berbudaya timur dan hidup berpaksikan agama.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan