Cabaran dalaman paling mendesak dihadapi Amerika Syarikat pada akhir abad ke-20 adalah penciptaan semula institusi kebapaan sebagai peranan penting kaum lelaki dalam masyarakat. Itulah yang diungkapkan David Blackenhorn yang dicatatkan dalam buku ‘Fatherless America : Confronting Our Most Severe Social Problem’.
Pendapat ini disokong oleh 72 peratus rakyat
Amerika dalam satu pungutan suara yang menamakan ketiadaan bapa dalam rumah
sebagai masalah sosial atau keluarga paling serius yang dihadapi oleh negara
itu. Dianggarkan, 24.7 juta kanak-kanak hidup tanpa bapa kandung di
sisi mereka. Sememangnya peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan pembesaran
anak-anak adalah kritikal, terutama pada zaman serba mencabar ini.
Jika dulu, kebolehan bapa memimpin dan mengurus
keluarga adalah sesuatu yang bersifat ‘instinct’ atau semula
jadi, namun dalam dunia serba berubah ini, kita merasakan perkara ini adalah
suatu kemahiran yang perlu dipelajari, dikuasai dan dikongsi bersama dengan
seramai mungkin golongan bapa.
Hari ini, kita dapati semakin ramai anak-anak
membesar tanpa bapa di sisi mereka. Bilangan keluarga yang diketuai oleh ibu
tunggal terus bertambah. Pada 2000 saja, lebih 620,000 ibu tunggal terpaksa
membesarkan anak-anak tanpa suami.
Untuk sebahagian besar keluarga lain, walaupun bapa
ada, namun hakikatnya seolah-olah bapa itu tidak wujud. Hal ini kerana
bapa-bapa ini tidak berfungsi dan memainkan peranannya yang sebenar dalam
keluarga. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.
Selain faktor bapa yang tidak berkemahiran dan
tidak bertanggungjawab, wujudnya fenomena ‘overfunctioning mum’ (ibu
bekerja yang tidak terlalu bergantung kepada orang lain, serba boleh dan
mengambil alih semua tugas bapa) lebih merumitkan keadaan.
Keadaan ini memberikan kesan jangka panjang yang
bukan sedikit. Sebahagian besar anak-anak yang lahir daripada keluarga tanpa
bapa ini mudah terbabit oleh gejala sosial yang semakin hari semakin parah.
Mari kita lihat statistik berikut:
- Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda untuk menghadapi masalah emosi dan perilaku. Mereka juga berisiko tinggi untuk terbabit dalam penagihan dadah dan alkohol.
- Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko tiga hingga empat kali ganda untuk merokok berbanding remaja yang mempunyai bapa di sisi mereka.
- Dalam satu kajian membabitkan 25,000 kanak-kanak, kanak-kanak tanpa bapa memperoleh purata gred yang rendah. Mereka juga mempunyai aspirasi kolej yang rendah, rekod kehadiran persekolahan yang merosot dan kadar keciciran sekolah yang tinggi berbanding mereka yang tinggal dengan kedua-dua ibu bapa.
- Sebanyak 71 peratus remaja yang mengandung luar nikah adalah remaja yang membesar tanpa bapa.
Semua fakta yang menggerunkan ini sebenarnya cukup untuk membangkitkan semangat
kita, terutama golongan bapa untuk memainkan peranan yang aktif dalam pembinaan
keluarga dan pendidikan anak-anak.
Tidak seperti aspek keibuan, kebapaan jarang
mendapat huraian dan perhatian sewajarnya.
Namun, kemuliaan status kebapaan dalam Islam itu
dirakamkan melalui hadis daripada Abdullah Ibn Amr, katanya Rasulullah saw
bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa
dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.”(Hadis riwayat
at-Tirmizi).
Kebapaan sering dibincangkan dalam konteks
ketegasan, tanggungjawab kepemimpinan dan saraan hidup, juga pelaksanaan
disiplin di kalangan anak-anak. Dalam masyarakat kita, perbincangan mengenai
kebapaan tidak sering diwarnai oleh aspek kasih sayang, komunikasi berhikmah
dan kemesraan sepontan.
Dalam al-Quran, ada banyak saranan yang ditujukan
kepada golongan bapa. Ayat ini bukan saja menyentuh perintah agar bapa menjaga
dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai ‘Peliharalah dirimu dan
ahli keluargamu dari api neraka.’ Ia juga merangkumi ayat yang
menganjurkan bapa agar melengkapi diri dengan kemahiran tertentu dalam mendidik
dan membangunkan anak-anak.
Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang
dicatatkan dalam ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana
seorang bapa harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik
anak-anaknya.
Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang bapa
boleh diringkaskan seperti berikut :
- Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga. Pepatah ada mengatakan bahawa ‘hadiah terbaik daripada seorang bapa kepada anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka’.
- Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan diteladani oleh anak-anak. Antaranya, meliputi aspek kemahiran berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.
Pelbagai strategi lain yang harus digunakan dalam
membesarkan anak-anak dalam dunia yang begitu mencabar ini. Anak-anak akan membesar dengan cepat dan terdedah
dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui persekitaran mereka.
Benarlah
sabda Rasulullah yang memberikan kefahaman bahawa anak itu dilahirkan dengan
fitrah yang bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi
Majusi, Nasrani atau Muslim yang patuh.
Sumber : http://pastiwp.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan