Selasa, 5 Jun 2012

ISU SOSIAL : Perkahwinan campur wadah sebar Islam



Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Semangat perpaduan, tolak ansur antara kaum dapat di pupuk menerusi ikatan dua hati

TERMA perkahwinan campur sebenarnya diperkenalkan pihak Gereja Katholik untuk menggambarkan perkahwinan antara penganut Katholik dan bukan Katholik. Dalam konteks Malaysia, perkahwinan campur membabitkan pasangan berbeza kaum, seperti Melayu dengan Cina atau Cina dengan India.

Islam menggalakkan umatnya bernikah dengan pasangan yang sesuai, tetapi syaratnya pasangan itu juga beragama Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang saja.” (Surah An-Nisaa’, ayat 3)

Berkahwin boleh menjadi antara faktor mendekatkan hubungan antara dua pihak, bahkan antara kaum. Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, perkahwinan campur wajar digalakkan kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan sesama rakyat.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Namun, orang Islam yang memilih berkahwin campur perlu memastikan keislamannya terpelihara. Sebagai orang Islam, dialah sepatutnya menunjukkan contoh pegangan dan akhlak yang baik kepada pasangannya, bukan berperangai lebih buruk atau terikut dengan gaya hidup pasangan.

Ini bagi mengelak salah faham terhadap Islam. Perkahwinan campur juga bukan bermakna menghapuskan budaya, identiti atau nilai positif asal sesuatu kaum. Hanya agama saja yang berubah, bukan bangsa atau kaumnya.

Fahaman agama sempit seperti menghalang pasangan yang menganut Islam berhubung dan berbuat baik kepada keluarga asalnya, atau menziarahi mereka adalah sesuatu yang tidak diajar Islam.

Perkahwinan campur adalah antara cara dakwah menyebarkan ajaran Islam. Menerusi perkahwinan campur, semangat perpaduan antara bangsa dapat dipupuk, meningkatkan semangat tolak ansur, saling memahami serta penyesuaian diri dengan budaya asing kaum lain.

Anak hasil perkahwinan campur antara dua pihak yang mempunyai latar belakang budaya berbeza dapat mendedahkan mereka kekayaan adat budaya dimiliki ibu bapa, sekali gus meningkatkan tahap komunikasi serta semangat bermasyarakat.

Selain itu, anak juga dilatih untuk tidak bersifat perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya orang lain.

Perkahwinan campur boleh menemui jalan buntu apabila pihak terbabit tidak dapat menangani pertembungan budaya dan adat resam antara dua kaum berbeza. Ini ditambah sikap tidak mahu bertolak-ansur menyebabkan berlaku kes perkahwinan campur berakhir dengan perceraian.

Mutakhir ini, pendukung fahaman liberalisme dan pluralisme memperjuangkan terma perkahwinan campur membawa maksud perkahwinan antara dua pihak berlainan agama, bangsa dan warga negara tanpa perlu menukar agama kepada agama pasangan ingin dikahwini.

Perkahwinan campur berlainan agama tidak dibenarkan oleh Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan Islam) dengan lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Surah al-Baqarah, ayat 221)

Seksyen 10, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan, (1) tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah dan (2) tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan