Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
PERASAAN penulis benar-benar tersentak apabila melihat
gambar yang dikongsi rakan di Facebook.
Gambar itu mempamerkan majlis keraian
makan malam anjuran syarikat urus niaga emas yang menggunakan label Syariah dan
mendakwa patuh Syariah dalam operasinya pada bunting sambil diapit beberapa
model wanita berpakaian kurang sopan, berdiri megah mewakili syarikat tersebut.
Jika dinilai daripada gambar majlis keraian tersebut,
syarikat yang berlabel Syariah tersebut amat tersasar daripada roh dan prinsip
Syariah yang sejati.
Tidak hairanlah apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 pada 4 - 6 Julai
lalu memutuskan bahawa operasi dan transaksi jual beli dan pelaburan emas yang
dijalankan syarikat berkenaan sebagai tidak patuh Syariah, lantaran tidak
memenuhi piawai Syariah dalam akad jual beli emas atau disebut dalam istilah
syarakhnya bai’ al-sarf.
Penulis tidak berhajat untuk mengulas fatwa yang diputuskan
Majlis Fatwa berkenaan dalam penulisan kali ini. Apa yang lebih membimbangkan
adalah budaya baru dalam industri komersial kini iaitu menggunakan label dan
istilah agama untuk melariskan produk.
Fenomena sebegini tampak semakin melanda kalangan syarikat
yang tidak dikawalselia (non-regulated companies) lantaran tiada undang-undang
khusus sebagaimana dalam industri pemakanan halal dan kewangan Islam.
Ini berbeza dengan institusi kewangan Islam yang dikawal
ketat aspek pematuhan Syariahnya melalui pelbagai undang-undang seperti Akta
Bank Islam 1983, Akta Takaful 1984, Akta Bank Negara 2009, Akta Pasaran Modal
dan Perkhidmatan 2007 yang dipantau dan dikawal selia Bank Negara Malaysia dan
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Malah aspek pematuhan Syariah di institusi kewangan
berjenama Islam ini meliputi aspek produk, aktiviti dan operasinya.
Oleh itu, Bank Negara mewajibkan setiap institusi untuk
melakukan proses pengauditan Syariah secara berterusan agar tiada unsur yang
menyanggah Syarak selain pemantauan oleh majlis penasihat Syariah dan jabatan
syariah di institusi berkenaan.
Begitu juga dengan syarikat dalam industri pemakanan yang
dikawal ketat oleh Akta Halal dan hanya dibenarkan logo Halal keluaran Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dari semasa ke semasa menjalankan
penguatkuasaan ke atasnya.
Manakala, syarikat yang secara langsung terlibat dalam
kedua-dua industri ini seperti urus niaga emas dan pelaburan mata tampak begitu
rakus menggunakan label agama bagi melariskan barangan jualan selain memperdaya
pelanggan dengan menggunakan istilah syarak yang mengelirukan.
Lebih mengecewakan, ada golongan agama turut bersubahat
dengan syarikat sedemikian dengan memberikan perakuan bahawa segala produk dan
operasi syarikat mematuhi syariah. Walhal, kadangkala mereka tidak pula
meneliti secara tuntas setiap aspek operasi dan aktiviti syarikat yang didakwa
mereka memenuhi prinsip Syariah.
Kebanyakan syarikat itu memanipulasi masyarakat dengan
mewujudkan majlis penasihat Syariah yang didakwa memantau dan memperakui setiap
operasi.
Hakikatnya, tiada siapa yang mengawal selia mahupun
mengaudit setiap aspek operasi dan aktiviti selain mungkin sekadar meluluskan
produk jualan yang kononnya patuh Syariah.
Islam cukup tegas dalam memastikan tiada unsur penipuan dan
perdayaan pelanggan dalam aspek muamalah jual beli dan transaksi ekonomi umat.
Oleh itu, Nabi Muhammad SAW dalam banyak hadis menegaskan antara adab dan
prinsip terpenting dalam berjual beli adalah bercakap benar dan tidak banyak
bersumpah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang
ALLAH tidak akan bercakap dengan mereka dan tidak akan melihat mereka di hari
kiamat kelak. ALLAH juga tidak akan membebaskan mereka. Mereka akan mendapat
azab yang amat menyakitkan.
Abu Dzar berkata: Mereka kempunan dan rugi. Siapakah mereka,
wahai Rasulullah?
Baginda menjawab: Orang yang mengungkit pemberiannya, orang
yang melabuhkan pakaiannya dan orang yang melariskan barangannya dengan
menggunakan sumpah palsu.” (Riwayat Imam Muslim)
Demi kemaslahatan umat, sudah tiba masanya pihak berwajib
mengambil tindakan tegas dan drastik bagi membendung gejala penyalahgunaan
istilah agama demi melariskan produk mereka selain memperdaya pelanggan.
Akta lebih khusus mungkin perlu diperkenalkan bagi
memastikan aspek pematuhan Syariah benar-benar dizahirkan dan dilaksanakan
dalam setiap aktiviti dan operasi khususnya bagi syarikat yang tidak dikawal
selia seperti mana yang berlaku dalam industri halal dan kewangan Islam.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan