Rabu, 18 Julai 2012

ISU SOSIAL : Wujud ruang kerjaya luas untuk belia


Oleh : Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

Lanjut tempoh sara wajib jejas peluang

Dasar baru Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan calon yang memiliki ijazah Sarjana Muda memohon jawatan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak. Pada satu sudut, ia mampu meningkatkan keupayaan guna tenaga sektor awam kerana diharapkan tahap akademik yang lebih tinggi ini akan mampu melonjakkan mutu perkhidmatan serta profesionalisme penjawat awam. Pada sudut lain, ia adalah jalan penyelesaian singkat terhadap isu lambakan graduan yang masih tidak mendapat pekerjaan.

Khabarnya, dasar baru SPA ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada graduan yang sememangnya berharap dapat menamatkan kemarau kerjaya sejak berkonvokesyen. Namun, beberapa persoalan penting harus kita fikirkan secara mendalam berikutan hal ini.

Bercakap soal belia, tumpuan kita seharusnya meluas kepada kelompok berusia 15 hingga 40 tahun keseluruhannya. Semua pihak harus mengakui bahawa peluang kerja buat belia kita semakin mengecil dan kompetitif.

Dalam sektor awam, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh persaraan wajib secara langsung mengecilkan jumlah pemegang ijazah sarjana muda untuk memegang jawatan dan mengembangkan kerjayanya. Hal ini amat jelas terjadi dalam bidang pendidikan apabila ada ramai bakal guru tersadai tidak dipanggil untuk penempatan. Antara puncanya ialah kerana tempat yang sepatutnya kosong masih diduduki kerana guru senior tidak jadi bersara.

Penulis sejak awal lagi bertegas bahawa melanjutkan tempoh persaraan kakitangan awam bukanlah langkah yang tepat dalam perancangan sumber manusia negara. Sekiranya alasan prestasi dan kemahiran menjadi ukuran, ia seolah-olah satu prejudis terhadap kemahiran dan keupayaan anak muda ini, sekali gus ia seolah-olah memperkecilkan keseluruhan institusi pengajian tinggi serta badan latihan profesional yang kita sendiri kawal dan wujudkan.

Anak muda ini harus dimasukkan ke pasaran pekerjaan seberapa awal yang mungkin supaya potensi dimiliki boleh dimanfaatkan sebaiknya. Kesukaran graduan kita mendapatkan pekerjaan kini dirumitkan lagi dengan suasana ekonomi yang sederhana dengan kebanyakan majikan mengehadkan pengambilan pekerja baru. Kini, apabila peluang pekerjaan peringkat lepasan SPM dibukakan kepada graduan, dengan sendirinya masalah pengangguran ini beralih kepada belia lepasan SPM yang tidak berkemampuan memegang skrol ijazah.

Sebenarnya, usaha melayan dan menangani kerenah kumpulan lebih rumit dan menyukarkan. Kumpulan belia lepasan SPM yang tidak berjaya masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi atau kolej pada kebiasaannya disebut sebagai belia tercicir dan jauh daripada arus perdana kehidupan.

Memandangkan sistem pendidikan di negara kita berdasarkan merit pencapaian akademik dan kokurikulum, maka sudah pasti kumpulan ini berada pada ‘kelas hujung-hujung’, iaitu sejak awal persekolahan mempunyai tahap pencapaian akademik yang agak rendah.

Dilihat dari sudut psikologi dan kognitif, berkemungkinan besar mereka memiliki ‘esteem’ diri yang rendah serta mudah terjebak kepada suasana hidup yang negatif. Data daripada Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan ada 468,808 orang calon lepasan SPM pada 2011. Daripada jumlah itu hanya 171,590 orang yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), manakala kira-kira 80,000 orang memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Ini bermakna ada kira-kira 217,278 belia lepasan SPM pada 2011 yang kini sama ada berada pada pasaran kerja atau menganggur, berkahwin atau berada dalam pusat serenti atau juga penjara. Sudah pasti peluang pekerjaan untuk sektor awam hampir tertutup rapat kerana kumpulan ini terpaksa bersaing dengan rakan yang lebih berketerampilan dan bergelar graduan.

Adalah amat membimbangkan sekiranya kita membiarkan kelompok ini tanpa perhatian yang mendalam. Dalam konteks pergerakan belia, semua pertubuhan belia sedaya upaya mendekati kumpulan belia tercicir dengan memberikan mereka info berkaitan kerjaya serta latihan kemahiran khususnya yang berkonsepkan latihan kemahiran peluang kedua.

Namun, jawapan akhir kepada persoalan belia kita ialah dengan menyediakan mereka peluang pekerjaan  yang bersesuaian dengan keupayaan serta mampu menyediakan masa depan. Bernstein (2004) menyatakan ada empat faktor yang menyumbang kepada kegembiraan dan kesejahteraan hidup kebanyakan orang iaitu kesihatan, status ekonomi, pekerjaan dan hubungan kekeluargaan. Justeru, aspek sosioekonomi generasi muda ini perlu kita cari penyelesaian segera untuk mengelakkan mereka terus tertekan dan terjebak kepada sisi negatif kehidupan.

Penulis ialah Presiden Majlis Belia Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan