Oleh : Prof Dr. SIDEK BABA
AL-Quran dalam Surah al-Asr memberi pedoman Illallazi na’amanu waa’milus
saalihat, yang memberikan maksud orang yang beriman adalah orang yang
beramal soleh. Maksud amal soleh di sini amat luas, seluas kehidupan manusia itu sendiri. Ia tidak terbatas dalam bentuk amal yang
khusus seperti solat, puasa, umrah dan haji. Sifat amal soleh ini merentasi
sifatnya.
Amal soleh terdapat dalam pemikiran, percakapan dan amalan, tidak saja
dalam batas rohaniah (ritual) tetapi ia terpancar dalam watak, pekerti dan
perbuatan.
Islam itu diibaratkan sebatang pokok. Akarnya ialah aqidah yang menjadi tautan kuat kepada pokok.
Batangnya ibarat ibadah yang dilakukan supaya pokok itu menjadi teguh berdiri.
Dahan dan rantingnya adalah syariat yang mengukuhkan lagi binaan pokok supaya
lengkap dan bermakna. Buah kepada pokok adalah ibarat akhlak iaitu hasil yang
ranum yang memberi manfaat kepada manusia.
Buah yang ranum ibarat akhlak karimah yang membezakan seseorang manusia
dengan yang lainnya. Inilah risalah Nubuwah yang dibawa Rasulullah SAW supaya
manusia itu beradab dan berada dalam jiwa muttaqeen.
Iman secara mudah membawa maksud percaya. Percaya memberi jalan kepada
keyakinan. Keyakinan ialah puncak hubungan kita dengan ALLAH. Semua orang
percaya bahawa kematian akan terjadi kepada manusia. Tidak ramai orang yang
yakin bahawa kematian adalah natijah akhir kehidupan yang bakal membawa kita
bertemu dengan ALLAH.
Hadis Rasulullah SAW memberikan asas yang sangat jelas mengenai hubung kait
kita yang pergi dengan yang tinggal. Antara lain adalah amal jariah yang
dilakukan ketika hidup. Ilmu bermanfaat yang disampaikan dan meninggalkan anak
yang soleh dan solehah yang mendoakan.
Inti hadis ini sangat jelas bagi kita betapa amal jariah dalam bentuk yang
luas mempunyai hubungan dan natijah apabila kita pergi nanti. Membantu orang
lain dengan pemikiran, tulang urat dan wang ringgit adalah sumber amal yang
sifatnya menyumbang. Melakukan dakwah dan tarbiah, jihad dalam ilmu dan sistem,
keupayaan menyerap kesabaran berhadapan dengan karenah manusiawi adalah jalan
amal yang menyuburkan lagi amal jariah kita.
Ilmu bermanfaat diibaratkan seperti cahaya sifatnya dan mencerahkan bukan
menggelapkan. Jika dikaji, dijana dan direnungkan dengan jiwa tadabbur yang
tinggi, ia menjadi suluh terhadap kejahilan dan ketidaktahuan manusia mengenai
sesuatu.
Apalagi ilmu bermanfaat yang terdapat di Barat dan Timur, disaring daripada
sari pati budaya dan tamadun ia boleh memberikan sumbangan kepada umat Islam
sekiranya integrasi ilmu terjadi dan islamisasi berlaku. Ia mampu mengukuh
epistemologi (asas ilmu) yang islamik dan menyumbang terhadap umat manusia.
Anak yang soleh adalah natijah akhir daripada proses pendidikan yang
terjadi di rumah dan juga di pusat pengajian yang lain. Ibu dan ayah adalah
guru awal kepada anak. Keciciran boleh berlaku di rumah sekiranya ibu bapa
tidak memiliki kualiti didik. Sekiranya keciciran disambung di sekolah dan
dalam masyarakat maka anak bakal tidak menyumbang kepada diri dan keluarga dan
akhirnya menjadi beban kepada masyarakat dan negara.
Anak yang soleh, terdidik dengan pekerti yang baik dan teladan yang tinggi,
ilmu yang benar dan bermanfaat, seorang dai’ dan murabbi dan sentiasa melihat
kehidupan ini adalah suatu perjuangan (jihad) bakal melakukan kebaikan dan
kemakrufan di dunia dan memberi kesan kepada kedua-dua ibu bapa yang telah
pergi.
Justeru amal yang difahami dengan maksud yang luas tidak saja memberi
maksud duniawi yang tinggi tetapi juga maksud ukhrawi yang hebat. Di sinilah
letaknya peranan pendidikan untuk mengekal dan mengembalikan manusia kepada
fitrah. Mengekal dan mengembalikan manusia kepada fitrah adalah suatu jihad
yang amat besar. Sekiranya jihadul amal itu diterjemahkan dalam sistem ia bakal
menyuburkan sistem dengan nilai islamik dan secocok dengan binaan fitrah insan.
Melakukan kebaikan kepada manusia menerusi amal yang baik boleh memikat
dirinya untuk istiqamah atau kembali kepada fitrah. Amal dalam bentuk contoh
teladan adalah faktor terbaik memikat hati manusia kembali kepada fitrah.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagaimana amal dirinya dalam bentuk akhlak
terpuji berjaya memikat hati insan untuk kekal dan kembali dalam keadaan
fitrah.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan