Oleh : MOHAMAD SHAFIQ
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan di bawah akta DBP (Pindaan dan
Perluasan) 1995 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967(Disemak 1971) yang secara rasminya meletakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa
ilmu, dan bahasa perpaduan antara kaum di negara ini.
Di bawah peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu telah
diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Melalui peruntukan tersebut, bahasa Melayu
haruslah digunakan dalam apa-apa bentuk sekali pun, dan perlu digunakan dalam
majlis-majlis rasmi kerajaan mahupun di peringkat jabatan.
Namun, pengiktirafan yang diterima oleh bahasa Melayu ini bukan bermakna
bahasa kaum-kaum lain terbantut perkembangannya. Contoh yang terdekat adalah
bahasa Mandarin dan bahasa Tamil yang tidak dihalang oleh kerajaan untuk
dikembangkan. Ini terbukti apabila bahasa Mandarin dan Tamil bebas diajar di
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),
serta sedikit di sekolah kebangsaan jika mendapat permintaan.
Langkah DBP memperkenalkan sistem audit bahasa di semua peringkat jabatan,
terutama jabatan-jabatan kerajaan adalah wajar. Hal ini penting kerana ia
sebagai satu langkah mengembalikan fungsi asal bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan di bawah peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan.
Ini disebabkan fenomena masyarakat yang gemar menggunakan bahasa Inggeris
sehingga merebak kepada urusan-urusan rasmi, menyebabkan bahasa Melayu semakin
hari semakin dipinggirkan. Tidak hairanlah jika wujudnya ungkapan 'sekerat
belut, sekerat ular' yang menggambarkan penggunaan bahasa rojak yang semakin
serius dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Penggunaan bahasa yang
bercampur-campur ini menyebabkan bahasa Melayu semakin hari semakin hilang
identiti kebahasaannya.
Tidak dinafikan, banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya fenomena
sedemikian. Antaranya ialah kepesatan pembangunan negara dari segi ekonomi dan
juga pengaruh media massa. Namun, kedua-dua faktor ini bukanlah penyumbang
utama dalam kemerosotan penggunaan bahasa Melayu. Yang paling penting ialah
kesedaran dan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Malah, kita
juga tidak boleh mengharapkan orang lain mempertahankan bahasa Melayu jika
orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankannya.
Tambah menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Melayu yang suka
menggunakan bahasa Inggeris tidak kena pada tempatnya. Malah kadang kala yang
dibawa lawan bercakap itu bukannya orang asing tetapi orang Melayu sendiri.
Persoalannya, di manakah sensitiviti kita sebagai penutur jati bahasa Melayu
sehinggakan berat mulut untuk berkomunikasi di dalam bahasa sendiri? Hal ini
kita kembalikan kepada persoalan utama iaitu soal jati diri dan kecintaan kita
terhadap bahasa Melayu.
Justeru, langkah DBP mewujudkan sistem audit bahasa harus dipuji kerana
sudah sekian lama DBP seolah-olah mati dari fungsi asalnya dalam memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara.
Malah, cukup menggembirakan apabila cadangan ini turut mendapat sokongan
daripada banyak pihak, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
yang akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan
penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (Sinar Harian 13 Julai 2012).
Di samping itu, Kementerian Kewangan juga turut mengarahkan bank dan
syarikat-syarikat insurans untuk menggunakan bahasa kebangsaan, terutama dalam
urusan-urusan rasmi.
Malah, tidak ketinggalan Kementerian Pengajian Tinggi yang meletakkan
sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, mahu melihat peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada
peringkat negara semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi bahasa serantau
dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia.
Maka, langkah pengauditan bahasa ini adalah salah satu titik awal menuju ke
arah pengantarabangsaan bahasa Melayu di peringkat yang lebih global.
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan