KUALA LUMPUR 17
Julai - Satu garis panduan bagi mengawal penggunaan alat komunikasi di sekolah
akan ditetapkan untuk mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
dalam kelas.
Timbalan Menteri
Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, ia termasuk mengehadkan penggunaan
telefon bimbit dengan melarang pelajar menggunakannya sewaktu pembelajaran dan
akan mengambil tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan tersebut.
"Kementerian
dalam proses merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan
menyenaraikan peraturan yang wajib dipatuhi.
"Ibu bapa
tidak perlu bimbang dan melihat perkara ini secara negatif, sudah tentu kita
tidak akan membiarkan pelajar taksub dengan alat komunikasi mereka, malah, kita
akan mengajar mereka menggunakan peralatan itu dengan betul," katanya pada
sidang akhbar selepas menutup Pertandingan Pidato Tingkatan Peringkat Wilayah
Persekutuan di sini hari ini.
Beliau mengulas
kebimbangan ibu bapa berhubung keputusan kerajaan membenarkan para pelajar
membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai
tahun depan.
Menurut Ka Siong,
garis panduan itu akan turut menetapkan had masa yang membolehkan pelajar
menggunakan alat komunikasi berkenaan selain dipantau para guru di sekolah.
Katanya,
kementerian juga tidak akan sesekali membenarkan pelajar menggunakan telefon pada
waktu pembelajaran dan guru-guru diberikan kuasa penuh merampas atau mengambil
tindakan tegas terhadap pelajar yang melanggar kesalahan tersebut.
"Sekiranya
pelajar menyalahgunakan kebebasan yang kita berikan, tindakan tegas seperti
mendenda dan melarang pelajar terbabit dari menggunakan telefon di sekolah akan
diambil," tegasnya.
Ka Siong
menjelaskan, keputusan membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah
sejajar dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan
pelajar.
"Sebelum ini
ibu bapa pernah beberapa kali meminta kami membenarkan anak-anak mereka membawa
telefon bimbit ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak
masing-masing," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan