UMAT Islam kini gigih menjalankan ibadah puasa
Ramadan. Apakah pandangan sains mengenainya?
Bukan umat Islam saja berpuasa.
Secara am, bagi seseorang yang berpuasa, sekitar 12 sehingga 24 jam berlalu
sebelum badannya yang kelaparan mula mencari sumber tenaga baru - iaitu bekalan
lemak dan karbohidrat berlebihan dalam badan.
Dua pengertiannya - pertama, puasa yang kurang daripada 12 jam tampak
kuranglah kesan fisiologinya. Itulah agaknya antara hikmah orang Islam berpuasa
sehari suntuk.
Kedua, jika kita habis bersahur sekitar 5.30 pagi sebelum masuk imsak,
maksudnya badan kita mula menggunakan lemak berlebihan sekurang-kurangnya 12
jam kemudian - sekitar 5.30 petang - kurang dua jam sebelum berbuka,
Jadi bayangkan kalau kita kemudian berbuka dan sahur dengan makanan kaya
lemak dan karbohidrat yang melebihi jumlah lemak dan karbohidrat yang 'dibakar'
badan kita dalam tempoh dua jam itu... Padanlah badan tak kurus-kurus!
Banyak lagi manfaat berpuasa, termasuk:
1. Membantu
detoksifikasi, iaitu mencuci bahan toksin atau beracun dari badan.
2. Membantu badan pulih
lebih cepat
Apabila berpuasa, tenaga yang tidak digunakan dalam sistem penghadaman
dialihkan kepada sistem lain badan seperti sistem imun atau daya lawan penyakit
dan penggantian. Proses menggantikan sel rosak pula lebih lancar sehingga menghasilkan
sel, tisu dan organ lebih sihat.Inilah antara sebabnya binatang berhenti makan
apabila cedera dan manusia hilang rasa lapar ketika sakit selesema.
3. Boleh memanjangkan
usia.
Satu kajian pada 1930-an, misalnya, menunjukkan cacing tanah yang tidak
diberi makan dari masa ke masa dapat hidup jauh lebih lama - pelanjutan usianya
itu ibarat seorang manusia dapat hidup lagi 600 sehingga 700 tahun.
Bagaimana pula puasa Ramadan secara khusus?
Banyak kajian turut menunjukkan ia tidak memudaratkan, malah mendatangkan
manfaat.
Misalnya, puasa Ramadan didapati menurunkan berat badan di samping paras
gula, lemak dan kolesterol LDL (sejenis kolesterol yang memudaratkan) dalam
darah. Tidur waktu Ramadan juga lebih nyenyak.
Kesemua ini sepatutnya membantu kita, orang-orang Islam, menjadi lebih
fokus lantas lebih produktif. Namun, adakah kita memanfaatkannya?
Selanjutnya, didapati kesan-kesan berfaedah tersebut pudar tidak lama
selepas Ramadan. Maksudnya, berundurnya Ramadan, hilanglah juga segala disiplin
kita perihal pemakanan.
Pun usahlah mengharapkan segala manfaat itu jika kita kurang menghayati
tatacara berpuasa.
Misalnya, satu kajian (2011) ke atas 173 keluarga Saudi mendapati seperlima
mereka bertambah perbelanjaannya untuk makan semasa Ramadan. Dua pertiga mereka
pula melaporkan naik berat badan sejurus selepas Ramadan.
Yang menarik, dua pertiga daripada mereka yang belanja makannya naik juga
melaporkan naik berat badan.
Oleh itu, patuhilah sunah berpuasa, yang termasuk segera berbuka, lewatkan
sahur dan berbuka dengan kurma dan air. Kesemuanya ada asas saintifiknya.
Beberapa tip lain berpuasa:
1. Makan
bahan 'karbohidrat kompleks' pada waktu sahur.
Ini kerana ia lambat dihadam, jadi kita tidak mudah lapar terlalu awal. Makananlah
bijirin seperti beras barli, gandum, oat, semolina, kekacang, tepung gandum
wholemeal dan beras perang (unpolished rice).
2. Makan
'karbohidrat jernih'
(refined carbihydrates) yang cepat dihadam dalam tiga hingga empat jam semasa
berbuka untuk memulihkan paras gula dalam darah dengan cepat. Ini termasuk makanan yang mengandungi tepung putih dan gula seperti kurma.
3. Elakkan makanan
bergoreng, terlalu pedas dan terlalu banyak gula seperti gula-gula yang
boleh menyebabkan masalah penghadaman dan naik berat badan.
4. Minum cukup air sejak
berbuka sehingga masuk tidur agar mengelakkan masalah kurang air dan
merangsang detoksifikasi dalam badan.
Apa pun kata sains mengenai manfaat berpuasa, kita terus berpuasa sebagai
satu kewajipan tanpa mengharapkan apa-apa melainkan keredaan-Nya.
Sebagai mana firman Allah swt dalam ayat 183 Surah Al-Baqarah:
"Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang yang beriman terdahulu daripada kamu, supaya kamu
bertakwa."
Semoga puasa menambahkan takwa kita - sesuatu yang sukar diukur sains di
dunia ini - di samping terhindar daripada golongan yang disebut dalam sabda
Nabi saw riwayat Ibn Majah ini:
"Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun
daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga."
Bagi mereka yang terus mengelamun tentang rukun Islam ketiga ini, sedarilah
bahawa Dialah yang Maha Mengetahui apa
yang baik untuk diri kita, kerana kita makhluk ciptaan-Nya.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan