Oleh : Anwar patho Rohman
Kebenaran guna gajet tak bantu tingkat mutu pendidikan,
undang banyak masalah
Tahun depan, tidak mustahil poster bertulis, “Sila matikan telefon bimbit
atau gajet anda ketika guru sedang mengajar” akan ditampal di bilik darjah. Di
kawasan sekolah pula, poster bertulis “Penggunaan telefon bimbit atau gajet
dibenarkan sebelum dan selepas waktu sekolah atau pada masa rehat saja,”
mungkin akan ditampal di papan kenyataan dan setiap koridor.
Poster berkenaan ditampal bertujuan mendisiplin murid sekolah, selain
memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelajaran susulan
murid dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet komunikasi ke sekolah pada
2013.
Bagaimanapun, kebenaran itu hanya akan menjadi kenyataan selepas
undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, menurut
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Pindaan itu perlu bagi menggalakkan pendidik dan pelajar menggunakan
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada abad ke-21 dan selaras langkah
untuk melaksanakan pengajaran maya dan program ‘1Bestari’ di seluruh negara.
Bagaimanapun, keputusan Kementerian Pelajaran itu nampaknya mengundang kontroversi
dan polemik kerana banyak pihak, khasnya ibu bapa termasuk guru menentangnya.
Tiada alasan kukuh dikemukakan, namun secara umumnya, ibu bapa dan pihak
sekolah menganggap kebebasan itu hanya membawa lebih banyak keburukan
berbanding kebaikan sama ada kepada murid, guru dan ibu bapa.
Pada masa sama, guru, masyarakat dan ibu bapa berpendapat, penggunaan
telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu
pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah seperti
kemungkinan berlaku kes kecurian telefon bimbit atau gajet dibawa anak mereka.
Di samping itu, ibu bapa dan guru bimbang jika murid dibenarkan membawa
serta menggunakan telefon bimbit, mereka akan menjadi leka untuk belajar kerana
asyik ‘mengulit’ tanpa henti telefon bimbit dan gajet masing-masing.
Walaupun kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet seperti tablet itu
bersyarat, namun ibu bapa menganggap keputusan itu masih kurang relevan dan
membebankan.
Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon
bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997.
Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke
sekolah secara bersyarat menerusi satu pekeliling bertarikh 23 Disember 2005,
namun ia ditarik balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu
dikeluarkan.
Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke
sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan
majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon
bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.
Tambahan pula, jika diteliti, telefon bimbit yang dijual di pasaran kini
ialah jenis telefon pintar iaitu mempunyai ciri-ciri dan aplikasi canggih yang
memudahkan sesiapa saja melayari internet, bersembang dalam laman sosial,
mengambil gambar, merakam video dan suara tanpa had batasan.
Dari sudut positif, penggunaannya dapat membantu mengembangkan minda dan
kreativiti murid di sekolah khasnya untuk mencari maklumat, namun ia juga mampu
mencetuskan lebih banyak isu disiplin kerana besar kemungkinan murid
menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral.
Memang diakui, telefon bimbit dan gajet seperti tablet sudah menjadi
fenomena serta keperluan dalam kehidupan kita sehari-hari, namun adakah ia
berupaya mendorong murid di sekolah menggunakannya secara bijak dan terkawal
apabila dibawa ke sekolah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan