Isnin, 23 Julai 2012

ISU ALAM SEKITAR : Kitar Semula: Di manakah Kita?



Oleh : Rosmidzatul Azila Binti Mat Yamin

Usaha membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah. Buktinya, hasil kajian terbaru Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) mendapati bahawa peratusan rakyat di negara ini mempunyai kesedaran untuk melakukan kitar semula surat khabar masih lagi pada tahap yang tidak memberangsangkan iaitu hanya sebanyak 40 hingga 45 peratus sahaja.

Melihat kepada peratusan yang minimum ini, ia secara jelas menggambarkan bahawa tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini masih lagi jauh daripada matlamat asal program ini diperkenalkan. Entah di mana silapnya apabila sehingga ke hari ini tahap kesedaran kitar semula masih sukar untuk dipertingkatkan walaupun pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membudayakan amalan ini di Malaysia.

Malah, disebabkan oleh kegagalan membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat juga, ia telah mengakibatkan masalah pencemaran sampah sarap semakin berleluasa dan sukar untuk dibendung. Kurangnya tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula telah mengakibatkan jumlah sampah yang masuk ke tapak pelupusan sampah juga sukar untuk dikurangkan.

Situasi ini amat menyedihkan memandangkan kita sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara Islam seharusnya mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi dan terkehadapan dalam membudayakan amalan kitar semula. Walaupun perkataan kitar semula tidak disebutkan secara langsung di dalam al-Quran, namun ayat-ayat yang tersirat berkaitan amalan ini sebenarnya banyak dinukilkan di dalamnya seperti larangan melakukan pembaziran sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "...janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" (Surah al-An'aam, ayat 141)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "...dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Israa', ayat 26-27)

Daripada ayat di atas jelas menggambarkan bahawa pembaziran merupakan satu amalan yang keji dan wajib dihindarkan oleh manusia yang beriman kepada Allah. Kefahaman yang jelas berhubung perkara ini seharusnya dapat diterapkan dalam jiwa masyarakat untuk mengaitkannya dengan amalan kitar semula sebagai satu wadah bagi mengelakkan pembaziran dan mengoptimumkan penggunaan sumber sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam kepada manusia.

Selain daripada perkaitan dengan amalan pembaziran, kitar semula juga turut mempunyai perkaitan secara tidak langsung dengan penjelasan-penjelasan berkaitan fenomena alam yang juga banyak diterangkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita.

Antaranya sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pada pertukaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (Keesaan dan Kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan."(Surah al-Baqarah, ayat164)

Ayat ini dan banyak lagi ayat yang seumpamanya di dalam al-Quran menerangkan tentang kitaran-kitaran yang sangat penting kepada kehidupan manusia iaitu kitaran yang terjadi kepada bumi sehingga berlakunya pertukaran malam dan siang, kitaran hidup manusia dan kitaran air yang menjadi nadi kehidupan setiap makhluk hidup di atas muka bumi. Perkara-perkara ini memperlihatkan bahawa konsep kitar semula sebenarnya telah dinyatakan secara tidak langsung dalam al-Quran yang mempunyai kepentingan yang tersendiri terhadap kehidupan sejagat.

Penjelasan-penjelasan berhubung perkaitan-perkaitan berkenaan seharusnya direnung dan difahami dengan sedalam-dalamnya oleh manusia untuk ditransformasikan kepada konsep kitar semula bahan-bahan terbuang demi menyelamatkan alam sekitar daripada terus menjadi mangsa kejahilan kita. Dengan pemahaman yang jitu berhubung perkara ini sahaja dapat melentur hati-hati yang keras untuk menerima amalan kitar semula sebagai satu budaya hidup.

Amalan yang ditonjolkan oleh junjungan kita Rasulullah SAW dalam mempraktikkan kitar semula sewajarnya kita contohi pada hari ini. Dalam sebuah hadith telah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menjahit dan menampal kasut Baginda. Perbuatan berkenaan telah memanjangkan lagi jangka hayat baju dan kasut Baginda. Kisah ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW sendiri mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang dalam kehidupan Baginda.

Dalam hadith yang lain pula telah diriwayatkan bahawa sahabat Baginda, Saidina Abu Bakar pernah berpesan kepada keluarganya agar mengkafankan beliau dengan baju yang beliau miliki. Ini kerana, beliau berpendapat bahawa kain yang baharu boleh dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup. Di sini memperlihatkan kepada kita bahawa sahabat Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap yang sama dengan Rasulullah SAW iaitu mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang.

Melihat kepada kedua-dua kisah di atas, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita juga telah melakukan perkara yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat Baginda? Seharusnya perbuatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda diteladani oleh seluruh umat manusia sepanjang zaman. Dengan membudayakan amalan kitar semula dan mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang, kita bukan sahaja dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan pembaziran, tetapi juga dapat memelihara alam sekitar daripada diancam kemusnahan.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik IKIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan