Isnin, 23 Julai 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Kualiti, kuantiti membeli di bulan Ramadan



Oleh :  ARIF ATAN

BARU-BARU ini gempar apabila terdapat beberapa sandwich berisi jarum dalam tiga buah pesawat Delta Air Lines dari Amsterdam menuju ke Seattle, Atlanta dan Minneapolis. Berita tentang tahap keselamatan makanan dalam syarikat penerbangan mungkin kes terpencil.

Lazim yang kita dengar adalah keracunan makanan seperti dalam musim bulan Ramadan sekarang ini. Ketahuilah bahawa tidak semua makanan yang nampak sedap di bazar Ramadan itu selamat dimakan.

Kuasa membeli yang tinggi dimiliki oleh umat Islam sepanjang bulan puasa ini patut digunakan secara berpada-pada dan berhemah.

Kita sebenarnya terdedah kepada ancaman keselamatan dan kesihatan dalam makanan yang diambil akibat sikap sebahagian peniaga makanan yang tidak menitikberatkan soal kebersihan apatah lagi kesucian dalam penyediaan makanan.

Oleh itu, sebagai pengguna kita wajar berwaspada sebelum membeli. Pastikan juadah berbuka atau mungkin untuk bersahur yang diperoleh tidak memudaratkan buat jangka pendek mahupun jangka panjang. Soal bagaimana makanan itu disediakan mungkin di luar kemampuan kita untuk menilainya sama ada bersih dan selamat dimakan.

Itulah sebabnya, kita perlu peka dan memanfaatkan segala pancaindera yang ada semasa makanan itu terletak di atas meja jualan.

Sebelum membeli pastikan penjualnya berpakaian bersih dan lebih baik jika berapron. Perhatikan juga cara mereka mengendalikan makanan yang dipesan atau dipilih oleh pelanggan sebelum ini.

Jika penjual mengambil makanan yang ditunjuk tanpa memakai sarung plastik atau menggunakan penyepit ditambah dengan kukunya yang panjang eloklah beredar ke gerai lain.

Usah juga terlalu mudah menghulurkan wang tanpa melihat keadaan fizikal makanan termasuk baunya terlebih dahulu.

Lebih elok jua memilih makanan yang masih dalam keadaan panas. Bukan suatu yang menghairankan apabila ada sesetengah peniaga memasak sesuatu makanan itu banyak kali atau terlalu awal seterusnya meningkatkan risiko makanan cepat basi.

Dalam masa yang  sama, pengguna yang berkualiti dalam membeli juga tetap mematuhi amalan pemakanan yang sihat dengan tidak mengambil makanan yang banyak minyak atau lemak dalam sajian berbuka mereka.

Selain itu, faktor kuantiti makanan yang dibeli untuk berbuka puasa juga patut diberi keutamaan. Umat Islam usah rambang mata dengan lambakan makanan yang terhidang di sepanjang bazar Ramadan sehingga membeli tidak cukup tangan.

Walhal, dalam bulan puasa perut kita masih lagi tetap satu tidak bertambah. Jadi, mengapa membeli seperti untuk makan sebulan?

Berjimat dan membeli seadanya adalah contoh pengguna bijak dalam menggunakan kuasa beli yang ada.

Malah, itu jugalah yang dituntut dalam semangat bulan Ramadan yang mahu mendidik kita menjauhi pembaziran.

Jelas, bulan Ramadan mendidik kita untuk menjadi pengguna yang menekankan aspek kualiti dan kuantiti dalam berbelanja bukannya hanya menggangap bulan puasa itu "syurga" makanan semata-mata.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan