DUA atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu
dan Frenceay Titus dari Sabah masing-masing dinobatkan Olahragawan dan
Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang.
Abdul Mubin, 21, pemenang pingat emas bagi kategori berat
badan 77kg dipilih sebagai olahragawan apabila mencipta rekod baharu kebangsaan
dengan angkatan 171kg dalam acara clean & jerk, memadamkan rekod lama 170kg
bekas atlet negara Mohd Hidayat Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau
Pinang pada 2003.
Abdul Mubin berkata beliau rasa terharu dan gembira apabila
diberi penghargaan sebagai Olahragawan Sukma Pahang dan ia menjadi pembakar
semangat untuk terus maju dalam sukan angkat berat.
"Saya tidak sangka dipilih sebagai olahragawan kerana
atlet menembak mengutip lebih banyak pingat daripada atlet angkat berat...namun
ia bukan satu perkara yang mudah," katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Mubin yang juga atlet kebangsaan berkata beliau
berharap kejayaannya memecah rekod kebangsaan menjadi inspirasi kepada atlet
muda yang baru berjinak dalam sukan angkat berat.
Sementara itu, Frenceay yang meraih pingat emas bagi
kategori berat badan 58kg, berjaya meleburkan rekod kebangsaan bagi acara
snatch serta memperbaharui rekod kejohanan dalam acara clean & jerk.
Gadis keturunan etnik Dusun itu melakukan angkatan bebanan
81kg bagi acara snatch, memadamkan rekod lama 80kg manakala memperbaharui rekod
kejohanan bagi acara clean & jerk dengan angkatan 95kg.
Atlet kelahiran Kundasang itu berkata beliau rasa bangga
dipilih sebagai Olahragawati Sukma kerana sebelum ini belum ada atlet angkat
berat wanita yang mewakili Sabah mendapat
penghargaan tersebut.
"Saya rasa gembira kerana usaha selama ini berbaloi
apabila bukan hanya berjaya meraih pingat emas tetapi mendapat gelaran
Olahragawati Sukma.
"Diharap dengan kejayaan ini memberi suntikan semangat
kepada saya untuk lebih bersungguh-sungguh apabila beraksi pada kejohanan yang
lebih besar seperti Sukan SEA Myanmar tahun depan," katanya.
Frenceay, 21, berkata tiga kunci kepada kejayaanya ialah
mengikuti latihan dengan bersungguh-sungguh, mematuhi arahan yang diberikan
jurulatih dan perlu ada semangat tidak mengenal erti putus asa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan