Oleh WAN ZUKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my
Salah satu papan iklan syarikat
multinasional yang menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi pada satu lokasi
di bandar raya Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU 8 Ogos - Anehnya, di negeri dan negara
yang bahasa Melayu merupakan bahasa rasminya kita masih lagi terpaksa berkempen
sesama sendiri dalam usaha mendaulatkan atau meletakkan ia di tempat
sewajarnya.
Malah diadakan program Bulan
Bahasa saban tahun di seluruh negara dengan pelbagai kegiatan menyemai
kecintaan dan memperluaskan penggunaannya di samping ikrar dan tekad pihak
berkuasa mempertahankannya.
Kerap kedengaran diadakan seminar
atau apa sahaja pertemuan khusus untuk membincangkan masa depannya, justeru
lahir pelbagai resolusi, usul bernada rayuan, desakan dan laungan agar
kedengaran dan diberi perhatian.
Anehnya, kita berhabis masa dan
wang untuk tujuan itu yang akhirnya bagaikan pesta bermusim kononnya
mempertahankan sesuatu yang sebenarnya menjadi milik sendiri dan tidak perlu
dipersoalkan sesiapa.
Jika bahasa dikatakan sebagai
jiwa bangsa, alangkah kacau dan celarunya jiwa bangsa kita apabila semakin
ramai yang merasakan sukar menggunakan atau berbahasa ibunda dalam perhubungan
harian terutama dengan bangsa lain.
Maka, di negara ini, makin ramai
rakyatnya yang gagal bercakap dalam bahasa itu dengan baik mengetepikannya
dalam urusan perniagaan dan perkhidmatan sekali gus makin melenyapkan jati diri
mereka malah jati diri bangsa.
Seorang pencinta bahasa, Sulong
Taib berpendapat, di negeri dan negara yang diterajui oleh bangsa sendiri soal
bahasa sebenarnya tidak perlu didesak dan dipandu arah oleh sesiapa dalam
memperjuangkannya.
"Tetapi apa sebenarnya yang
telah kita lakukan, di luar sedar sebenarnya kita meruntuhkannya. Betapa mudah
kita ke tepikan bahasa sendiri seperti kesediaan menggunakan bahasa Inggeris
untuk lokasi-lokasi atau produk atas nama pelancongan.
"Melucukan, seolah-olah
tiada ayat yang sesuai dalam bahasa Melayu maka wujudlah nama-nama Kuala
Terengganu Waterfront, Payang Walk, T-Shoppe dan lain-lain. Lihat juga di papan
tanda perniagaan dan perumahan di merata negeri.
"Apakah pelancong tidak akan
datang dan orang tidak membeli jika ditulis atau dinamakan dalam bahasa Melayu.
Apakah mereka ingin melihat nama dan bukannya segala tarikan yang sepatutnya
disajikan," katanya yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah
Kebangsaan Cendering, dekat sini.
Inilah yang turut mengecewakan
Gagasan Pendidikan Melayu Kebangsaan (Gagasan) negeri Terengganu dan bersama
Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat),
mereka mengadakan sidang meja bulat baru-baru ini.
Ia suatu usaha kecil mereka agar
sekurang-kurangnya suara mereka didengari pihak berkuasa bandar raya di negeri
Warisan Pesisir Air ini kerana bahasa itu warisan yang tidak harus
dikesampingkan.
Mereka ingin menyatakan rasa
kesal dan bimbang dengan gejala pengabaian dan pencabulan bahasa Melayu
termasuk di kalangan pihak berkuasa dan orang Melayu sendiri di mana sahaja
kini.
Sidang meja bulat mengenai masa
depan bahasa itu dipengerusikan Munsyi Dewan, Nawi Ismail dan turut dihadiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang kemudiannya menerima
resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
Penyertaannya amat menggalakkan
dengan 40 peserta yang diundang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan
termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), institusi-institusi pengajian tinggi serta wakil-wakil pertubuhan bukan
kerajaan.
Sebanyak 17 resolusi digariskan
termasuk penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan perlu mencerminkan
kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan bukannya sebagai bahasa
pinggiran dan diperlekehkan dengan pelbagai alasan.
Mereka antara lain berharap
kebijakan dan kemahuan pemerintah wajar diperteguhkan untuk menguatkuasakan dan
melaksanakan semua dasar yang berkaitan dengan bahasa itu dalam semua urusan
terutama dalam soal pengiklanan, bahan penyebaran dan paparan umum.
Mereka juga mendesak pihak
berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dalam penamaan sesuatu tempat atau
meluluskan papan iklan melantik panel merujuk kesalahan bahasa atau merujuk
kepada agensi bertanggungjawab seperti DBP sebelum meluluskannya.
Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar
Syed Mohamad berkata, mungkin kerana bahasa itu tidak memberi sebarang pulangan
dari segi pengaruh politik dan ekonomi maka ia tidak memerlukan langkah segera.
"Ada ahli politik dan
pemimpin yang menegaskan tidak bangga dengan bangsa dan warisannya semata-mata
untuk lunak didengar oleh bangsa lain dan dapat menarik sokongan mereka,"
ujarnya.
Katanya, bagi golongan itu bahasa Melayu tidak perlu diperjuangkan dan mereka sedia mengetepikannya kerana
apa yang lebih utama adalah peluang mendapatkan kedudukan dan kuasa.
"Ada pula yang merasakan
penggunaan bahasa Inggeris lebih gah dan memberi kesan lebih besar terutama
dalam perniagaan apatah lagi jika ia dikaitkan dengan budaya ilmu dan
pelancongan," katanya.
Menurut beliau, segala usaha
memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang atau mereka yang mencintai
bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati para pemimpin segenap lapisan
masyarakat.
Beliau memetik kenyataan Ketua
Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan yang menyebut: "Kalangan bukan Melayu, meskipun
ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu prihatin
terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk
mempertahankannya.
"Adalah perlu diakui ada
penjawat awam, sarjana dan kalangan sektor lain yang memahami erti dan
sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara, tetapi pada
masa sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan
nasib bahasa Melayu di bumi sendiri,'' katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan