Oleh : Azmi Hassan
TINDAKAN Tel Aviv menegah empat
Menteri Luar daripada memasuki Ramallah, Tebing Barat Palestin untuk menghadiri
mesyuarat khas anjuran Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sememangnya
sudah diduga dan tidak mengejutkan kerana perjumpaan tersebut mempunyai
matlamat menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Mesyuarat Luar Biasa Peringkat
Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin yang sepatutnya berlangsung Ahad
lepas terpaksa dibatalkan kerana Menteri Luar dari Malaysia, Bangladesh,
Indonesia dan Cuba gagal mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Israel
untuk ke Ramallah.
Walaupun Tebing Barat ditadbir
oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) tetapi hal ehwal keselamatan termasuk urusan
keluar masuk dikawal oleh rejim Israel. Terdapat dua cara sah untuk ke Tebing
Barat iaitu sama ada melalui Jordan atau Israel. NAM telah memilih laluan
Jordan menerusi penerbangan helikopter dengan harapan untuk mengelak masalah
diplomatik jika menggunakan laluan dari Israel.
Memang benar dalil yang digunakan
oleh Tel Aviv untuk tidak memberi kebenaran kerana empat negara tersebut tidak
mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi hakikatnya laluan yang
digunakan hanya melalui ruang udara kawalan Israel dan bukannya memerlukan
penyinggahan di Israel.
Walau apa pun alasan yang
digunakan adalah begitu jelas Tel Aviv sedaya upaya mahu menggagalkan hasrat
NAM kerana perjumpaan tersebut julung-julung kalinya diadakan di Ramallah oleh
sebuah organisasi yang besar untuk memberi sokongan kepada perjuangan rakyat
Palestin.
Perjumpaan Ramallah tersebut
sepatutnya mengumpulkan 13 Menteri Luar yang mewakili Jawatankuasa NAM mengenai
Palestin yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Cuba, Algeria,
Mesir, Jordan, Afrika Selatan, Zimbabwe, Zambia, Senegal, Colombia dan India.
Pada akhir perjumpaan tersebut
ahli jawatankuasa dijangka akan memperakukan penyataan bersama yang dinamakan
Deklarasi Solidariti Palestin untuk memperkuatkan sokongan NAM terhadap
perjuangan Palestin.
Walaupun kekuatan deklarasi
tersebut hanya terletak pada faktor simbolik kerana dikeluarkan di Ramallah,
tetapi jangkaan kesannya kepada persepsi masyarakat antarabangsa terhadap
kekejaman rejim Israel adalah begitu signifikan.
Tel Aviv begitu gusar kerana
deklarasi tersebut juga akan menzahirkan sokongan NAM terhadap hasrat Palestin
untuk mempertingkatkan status pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) kepada status negara bukan anggota. Presiden Mahmoud Abbas dijangka
memperakukan hasrat tersebut ketika Perhimpunan Agung PBB yang dijadualkan
berlangsung pada 27 September akan datang.
Pengalaman pahit Israel ketika
Palestin diterima sebagai ahli dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lepas telah
mengajar Tel Aviv untuk mengatur strategi awal menghalang hasrat Palestin di
PBB.
Pentingnya Palestin sebagai ahli
PBB negara bukan anggota kerana ia akan memberi laluan mendapat khidmat
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengheret perlakuan jenayah rejim
Israel terhadap rakyat Palestin ke muka pengadilan antarabangsa.
Usaha mempertingkatkan status PBB
Palestin telah dilakukan pada tahun lepas melalui Majlis Keselamatan PBB tetapi
berhadapan kebuntuan kerana tentangan daripada Amerika Syarikat (AS). Tetapi
usaha terbaru ini dianggap istimewa kerana ia mendapat sokongan NAM.
Walaupun NAM pada hari ini
dianggap sebagai tidak releven dan kurang berpengaruh, tetapi apabila dikaitkan
dengan kemelut Palestin, gabungan kedua-dua faktor tersebut adalah begitu hebat
sekali. Selain dianggotai oleh 120 negara tetapi apa yang paling menarik adalah
komposisi negara ahli.
Memang benar sebahagian besar NAM
diwakili oleh negara dari benua Afrika (53), Asia (39), Amerika Latin (26) dan
hanya Belarus dan Azerbaijan yang mewakili Eropah tetapi secara keseluruhannya
keahlian tersebut mewakili dua pertiga keanggotaan PBB.
Ketika Yasser Arafat
mengisytiharkan kemerdekaan Palestin secara unilateral pada tahun 1988 di
Algeria, sebanyak 130 negara menyokong hasrat Palestin. Jika diungkit kembali
ketika pengundian keahlian Palestin dalam UNESCO pada tahun lepas yang
menyaksikan 107 negara menyokong dan hanya 14 menentang dan ditambah dengan
sokongan NAM pada ketika ini, senario inilah yang paling digeruni oleh Israel.
Malaysia sebagai anggota NAM
telah memainkan peranan yang begitu positif dengan menganggotai Jawatankuasa
NAM Palestin. Struktur NAM yang tidak mempunyai sekretariat bergantung penuh
kepada inisiatif pengerusi yang pada ketika ini dipegang oleh Mesir yang begitu
cenderung terhadap perjuangan dan nasib rakyat Palestin.
Tetapi bermula 26 Ogos ini,
Teheran akan mengambil alih jawatan Pengerusi NAM selama tiga tahun. Malaysia
dan ahli NAM yang lain perlu berhati-hati supaya isu Palestin ini tidak
tenggelam oleh perkara yang dianggap lebih panas.
Apa yang paling digusari adalah
Israel akan mempergunakan isu jawatan pengerusi yang disandang oleh Teheran
untuk mengaitkan NAM dengan pembangunan nuklear Iran. Atau pun Teheran akan
memperalatkan jawatan pengerusi untuk memperjuangkan hak membangunkan program
nuklear mereka.
Walau apa pun senarionya sama ada
dimulakan oleh Israel atau Iran, jika pembangunan nuklear menjadi kaitan utama
NAM, maka sudah pasti isu Palestin akan ketinggalan dalam agenda NAM.
Petunjuk awal hala tuju NAM akan
diketahui hujung bulan ini apabila Teheran akan mempengerusikan Sidang Kemuncak
NAM kali ke-16. Perjumpaan Ramallah adalah sebagai persediaan awal sebelum
sidang kemuncak untuk perbincangan agenda Palestin dan Mahmoud Abbas telah
menyatakan persetujuan untuk hadir.
Penting juga bagi semua ketua
negara NAM hadir dan tidak sekadar hanya menghantar wakil sebagai simbol
sokongan kepada Palestin walaupun sidang kemuncak tersebut akan dipengerusikan
oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad yang pada ketika ini dianggap sebagai
pemimpin diktaktor sama taraf dengan pemimpin Syria dan Korea Utara.
PENULIS ialah Geostrategis
Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan