KUALA LUMPUR : Keputusan kemasukan ke Institut Pengajian
Tinggi Awam bagi program lepasan Sijil Tinggi Persekolahan, matrikulasi dan
asasi untuk calon yang tidak ditawarkan dalam pemilihan awal, boleh diketahui
esok mulai 12 tengah hari.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan
Mustafa berkata calon boleh mendapatkan maklumat itu melalui hotline 03-8870
6767, helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau laman web http://upu.mohe.gov.my. http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my,
https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my. Semakan juga boleh dibuat
melalui SMS dengan menaip UPU RESULT (no kad pengenalan) dan hantar ke 15888,
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata calon yang terpilih merupakan calon yang
tidak mendapat tawaran ke IPTA dalam pemilihan awal kerana tidak bersetuju
ditawarkan program pengajian luar pilihan, dan melibatkan mereka yang mendapat
PNGK 2.8 ke atas.
"Proses pemilihan dilaksanakan mengikut pilihan calon
atau rayuan, atau pilihan bidang calon, atau mengikut program pengajian yang
mempunyai kekosongan dan bersesuaian dengan bidang pilihan calon,"
katanya.
Beliau berkata keputusan tawaran ini adalah muktamad dan
calon tidak dibenar mengemukakan rayuan terhadap tawaran itu.
Calon yang berjaya akan mendaftar pada 1 dan 2 September,
dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar
Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-8870 6767 atau 03-8870 6777, katanya. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan